Ahad, Oktober 13, 2019

DEMI YANG TERCINTA!

Esok adalah hari penentuan untuk sebuah tarikh.

Telah aku tetapkan selama 44 hari sejak Awal Muharam dalam fasa memperbaiki dan memperniatkan diri menjadi yang lebih baik. Dan pada tempoh tersebut, aku telah nekad untuk mara dengan segala kekuatan dan kudrat yang ada dalam diri dalam usaha mengubah nasib. Aku tidak pasti dan tidak tahu di atas segala kelemahan serta kenaifan tindakan aku ini akan membuatkan esok lebih bermakna atau sebaliknya. Tetapi yang aku yakini adalah aku perlu lakukan demi YANG TERCINTA!

Semoga Allah beserta Panji-Panji Keagungan-Nya mengizinkan segala.

Amin.

Sabtu, September 28, 2019

Masih Mencari Jawapan.

Dalam hidup ini, aku sentiasa mencari jawapan kepada persoalan-persoalan hidup yang semakin lama semakin panjang dan mencabar buat diri.

Setiap persoalan yang timbul sudah pasti hadirnya daripada tiga rasa ini:

  1. Ingin tahu
  2. Tidak puas hati
  3. Bingung dan bungkam

Aku tidak pernah berhenti bertanya. Aku tidak berhenti mencari penyelesaian dan pelerai pada setiap kuirositi hidup yang diturunkan Allah Taala. Ini salah satu cara kita mencari peranan dalam hidup dan sifat pertanggungjawaban.

Kenapa begitu, mengapa begini. Siapa itu, siapa ini.

Dan begitulah seterusnya sampai sampai hayat aku di dunia ini.

Jumaat, September 27, 2019

Validiti Menulis.

Rasanya antara terapi paling berkesan dan baik bagi diri aku adalah dengan menulis.

Mungkin paling hampir atau paling sama dengan membaca.

Menulis adalah untuk merencana, meluah, merekod dan membuktikan bahawa segala butir perasaan dan idea aku ini valid untuk dijadikan modal untuk survival hidup.

Terutama sekali apabila diri kini sentiasa dirundung dead end.

Khamis, September 26, 2019

Membuka Pesona Segala.

Aku bangun dari tidur hari ini masih mengingatkan dia.

Masih lagi berusaha sedaya upaya mencari ilham dan ikhtiar bagaimanakah caranya untuk aku dapat bersamanya semula.

Jika aku biarkan sahaja perasaan ini terus sendu berlalu tanpa berlaku apa, maknanya aku ini adalah seorag lelaki yang tidak punya upaya. Yang lemah bukan sekadar pada kata-kata tetapi juga pada daya.

Dalam tempoh bernazar ini, aku tetap mahu teruskan.

Dan aku akan teruskan sampai petanda hidayah itu tiba dengan tiba-tiba membuka pesona segala!

Isnin, September 23, 2019

'Amounted Pressure'

Amount of pressure yang sedang aku hadapi sekarang ini adalah sangat luarbiasa.

Akan tetapi ia terpaksa dikawal.

Mujur sudah ada pengalaman-pengalaman hidup yang membenteng semua tekanan tersebut. Tekanan ini adalah disebabkan oleh sikap dan tabiat aku sebelum ini yang terlalu:

  1. Pentingkan diri sendiri
  2. Besar kepala
  3. Ego
  4. Tidak fikir masa hadapan
  5. Lupa Allah

Ya. Apabila kita lupa Allah dan lalai atas segala ketaatan terhadapnya, asbab dan kifaran akan datang tepat waktu. Dan pada hakikat inilah sekarang aku benar-benar diuji. Aku diuji hebat kerana mengabaikan segalanya.

Aku tahu Allah masih sayangkan aku.

Sebab itulah aku terima semuanya yang mendatang ini dengan seadanya.

Selasa, Ogos 20, 2019

Bertahan

Bukan senang untuk bertahan setiap hari jika tidak banyak sokongan yang sewajarnya aku dapat dan perlu datang pada tepat waktu. Mungkin sahaja aku sudah lama bertahan sejak sekian lama, ada masanya bila sudah tidak dapat bertahan pun.. aku masih pura-pura dapat bertahan.

Bertahan dari sakit.

Bertahan dari ujian.

Bertahan dari emosi.

.. dan macam-macam lagi.

Apa pun begitu, bertahan ini adalah sejenis sabar. Makin lama aku bertahan maka makin tinggilah tahap dan nilai kesabaran aku itu.

Selasa, Julai 30, 2019

Hari Ini Aku Demam.

Entah apa pasal, hari ini aku demam.

Jenis demam yang selalu aku akan rasa dan alami setiap tahun. Bermula dengan resdung, sakit belakang, waktu tidur yang canggung dan pening kepala yang tidak menentu.

Semuanya itu akan membawa kepada satu perkara sahaja:

Demam urat.

Akan tetapi ada besar kemungkinan itu semua adalah salah aku sendiri. Tidak menjaga serba serbi.

Sabtu, Julai 27, 2019

Punca Tidur Lewat.

Sejak kebelakangan ini, aku risau tentang pola tidur dan waktu tidur seharian.

Mula-mula, aku terbiasa dengan waktu tidur lewat.

Kemudiannya, aku semakin lama semakin tidak peduli pada waktu-waktu yang sudah aku sia-siakan tadi untuk tidur dengan tempoh serta jadual lebih wajar.

Contoh:

Mungkin aku perlukan masa tidur 6 hingga 7 jam sehari.

Ini bermakna sekiranya aku masuk tidur pukul 12 tengah malam, aku perlu bangun pada pukul 6 atau 7 pagi.

Realitinya, semua contoh yang aku nyatakan tidak berlaku.

Aku tidur bila masa aku betul-betul rasa mengantuk dan tidak berkemampuan lagi untuk membaca, menonton dan melayan sebarang item di skrin komputer.

Ya. Itu punca aku tidur lewat.

Tiada displin atau kekerasan hati untuk menghindar daripada membuka komputer apabila tiba waktu tidur. Sesuatu yang aku rasakan perlu diubah segera untuk waktu tidur dan rehat lebih baik.

Jumaat, Julai 26, 2019

Perasaan Yang Hebat!

Aku masih ingat pada waktu-waktu yang mana aku sentiasa sahaja bersemangat untuk menulis setiap hari di dalam blog ini.

Pada ketika itu aku merasakan tidak lengkap rasanya hari jika tidak ada sebarang entri baru dan perkongsian yang dirakamkan. Dan itu semua berlaku secara semulajadi dan begitu mudah tanpa dipaksa-paksa atau disuruh-suruh.

Entah ke mana perginya semua itu.. aku perlu caru semula dan kembalikan ke dalam diri.

Kerana sesungguhnya ia adalah satu perasaan yang cukup hebat!

Rabu, Julai 24, 2019

Melawan Bosan.

Salah satu daripada cabaran paling besar dalam hidup aku adalah melawan tekanan bosan.

Bosan bagi aku adalah apabila tidak ada apa-apa lagi perkara atau aktiviti menarik apatah yang merangsang untuk bergerak ke hadapan.

Dalam erti kata lain: Rutin

Tetapi aku juga bukanlah jenis manusia yang cepat dan mudah mengalah pada kebosanan yang datang menghimpit. Bila mana ia makin terasa.. semasa itu jugalah aku akan lawan dan terus melawan!

Isnin, Mei 20, 2019

Masih dalam kerugian.

Ya. Macam biasa aku akan cakap: "Masa berjalan begitu pantas"

Walaupun bukannya dihamburkan secara colloquial, aku tetap masih lemah dan kurang berdaya bab pengurusan masa yang cekap serta efisien jika dikira-kira pada trek rekod aku sejak dulu.

Tahun ini juga menampakkan prestasi yang sama.

Merugikan.

Tetap apa daya. Itukan sudah salah sendiri.

Ahad, Mei 19, 2019

Dua Blog Harian Kekal Setakat Hari Ini.

Aku hanya berniat manu menyimpan dua premis blog harian yang kekal sahaja buat masa ini.

Satu sudah tentunya yang ini. Yang sudah hidup sekian lama sejak 15 tahun nan lalu. Yang satu lagi adalah yang terbaru berbahasa Inggeris sepernuhnya di faizalmukhtar.wordpress.com

Cuma ada satu masalah.

Yang baru itu aku boleh kongsi dan peroleh previewnya di media sosial lain untuk dibaca oleh khalayak. Tapi kenapa yang blogspot ini tidak boleh?

Bantuan diperlukan segera.

Terima kasih.



Jumaat, Mei 17, 2019

Menahan Viral

Lebih kurang sedekad aku, perkataan 'viral' bukanlah sesuatu yang lazim digunakan dalam perbendaharaan kata harian kita semua.

Jangan kata itu, 'tular' juga bunyinya begitu janggal.

Namun dek kerana perubahan iklim sosiobudaya masyarakat digital yang makin agresif, viral atau tular itu tadi sudah menjadi darah daging. Jika tidak ada sebarang bahan tularan pada satu hari tertentu, maka ia kini dianggap janggal pula. Malah bosan.

Bosan kerana tiada kebergantungan untuk membahan.

Fitrah manusia memang begitu.

Mungkin kerana konten paling mudah serta senang untuk ditular adalah asal manusia itu sendiri.

Selasa, April 16, 2019

RESOLUSI 2019 | No. #10

Sejak dari awal tahun ini, saya sudah mula berfikir dan merancang-rancang untuk menyusun senarai azam baru untuk tahun 2019.

Dan disebabkan saya memiliki saya tabiat suka berlengah-lengah dan terlalu terperinci dalam membuat keputusan apatah lagi memulakan satu usaha sehingga terlaksana, maka hari ini dengan rasminya saya akan mencatat senarai penuh 10 Azam Baru untuk Tahun 2019.

No. #10
Memulakan diet pemakanan sihat secara serius serta-merta!

Adalah sangat penting untuk saya mulakan pada tahun ini dan sekarang. Dengan usia yang semakin lama semakin menambah serta makin makin menua, maka segala macam makanan dan minuman yang masuk dan keluar daripada tubuh badan saya harus saya pantau dan ambil kira dengan teliti.

Kerana ada benda dalam hidup kita boleh dikawal. Ada benda dalam hidup kita tidak boleh dikawal.

Makanan dan kesihatan adalah kedua-duanya sekali.

Badan saya akan sakit bila tidak dipedulikan dan diendahkan. Begitu juga dengan makanan yang saya ambil kerap saya tidak peduli dan asyik masuk iktu sedap sahaja.

Banngkit tidur pun sudah tidak seenak dan serasa dulu. Semuanya gara-gara makanan tidak sihat dan minuman bergula tinggi yang ada di dalam tubuh saya.

Saya tekad untuk mula berubah dengan perbanyakkan kesedaran soal ini.

Bermula dengan 5 itinerari di bawah:

  1. Banyakkan minum air kosong masak
  2. Makan tepat masa 4 kali sehari (4 square meal a day, Breakfast-Lunch-Dinner-Supper)
  3. Kurangkan makanan bergula, bergaram dan berperasa tiruan
  4. Kurang minuman berkarbonat
  5. Elakkan makanan ringan yang menjadi tabiat buruk sejak sekian lama

Rabu, April 03, 2019

Penafian bukan cara aku.

Aku sedang melalui fasa yang amat sukar dan mencabar dalam hidup setakat ini.

Biar apapun yang terjadi sekarang tetap harus diakui semuanya berpunca daripada aku sendiri dan bukannya salah atau silap mana-mana pihak atau orang lain.

Bukan sekali dua aku bertarung tetapi dengan apa yang pernah dan telah terjadi, hadapilah dengan hati yang kental kerana hidup perlu diteruskan.

Aku tidak mahu hidup dalam penafian.

Isnin, Februari 04, 2019

Daya dan dalih.

Dengan adanya semangat yang sedang membara di dalam diri sekarang ini, maka tidak ada alasan lagi untuk aku berdolak-dalik atau melengahkan segala apa yang perlu diperlakukan segera sekarang.

Ada perkara mustahak sedang dan akan dilaksanakan berterusan hingga 31 Mei nanti.

Itu sasaran besar aku untuk tahun 2019.

"Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih" kata orang.

Jumaat, Januari 25, 2019

Motivasi. Motivasi. Motivasi!

Salah satu daripada motivasi utama dan semangat baru yang membuatkan aku bersemangat semula untuk meneruskan blog ini adalah Seth Godin.

Beliau adalah Mahaguru Marketing yang tiada tolok bandingnya.

Kagumnya aku pada dia adalah disebabkan istiqomah melampau terhadap semua tulisan di blognya, seths.blog setiap hari tanpa gagal. Ternyata mengagumkan bukan hanya tahap konsistensi dan kerajinan padu tetapi isi kandungannya yang sentiasa membimbing.

Sekaligus 'menendang' aku untuk memacu blog ini ke hadapan!

Rabu, Januari 23, 2019

Masih Mengomik.

Cara aku membaca komik sekarang sudah banyak dan jauh berbeza dengan bagaimana aku mula-mula jatuh cinta dengan ketagihan itu lebih 30 tahun lalu.

Dulu, aku sepertimana ramai budak-budak yang baca dan layan komik akan mula jatuh cinta dengan komik dengan kecantikan lukisannya. Kemudian tidak lama selepas itu, jalan cerita dan segala watak yang ada di dalamnya. Langsung terus membina dengan elemen estetika dan pengaruh nilai budaya, sejarah dan falsafah lanjut remaja menuju dewasa.

Kalau awal bacaan betapa benci dan menyampahnya aku pada Mignola.. kini segala isi kandung serta susur galur salasilah karya beliau aku akan jejak atas ketaksuban yang teramat sangat.

Aku tidak hanya membaca dan melayan tetapi sekarang menelaah dan mengkaji sebagai sebuah nuansa dan nuansa berharga yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana naskah kreatif lain.

Selasa, Januari 22, 2019

Move on ke pejabat baru.

Tinggal lebih kurang 3 minggu lagi sebelum aku dan kawan-kawan terpaksa keluar dari pejabat yang kami duduk sekarang.

Bukan sebab kami tidak bayar sewa.

Bukan sebab kami buat hal.

Bukan juga sebab kami tidak uruskan pejabat dengan baik.

Tetapi kami terpaksa keluar kerana kontrak dan perjanjian dengan pemilik asal pejabat kami ini tidak diuruskan dengan kemas oleh orang yang mula-mula menyewa di sini yakni bekas pemilik syarikat yang menyewa pejabat.

Maka kami terpaksalah move on.

Isnin, Januari 21, 2019

Balas budi.

Ingatkan aku.

Ingatkan aku pada satu hari nanti apabila aku sudah memiliki kebebasan kewangan dan kekayaan seadanya untuk membalas segala jasa baik serta budi semua orang yang pernah membantu aku di waktu aku memerlukan.

Pada waktu itu, aku mungkin terlupa.

Pada waktu itu, aku mungkin enggan.

Pada waktu itu, aku mungkin tidak sedarkan diri.

Ingatkan aku. Tolong ingatkan aku.

Khamis, Januari 17, 2019

Konsistensi Azam.

Hari ini aku menulis seperti hari-hari lain sejak tahun baru dengan harapan momentum yang diharapkan.

Bukan soal displin atau konsistensi sebenarnya perlu dipersoalkan di dalam diri.

Cuma sebentuk susunan displin berterusan tanpa ada rasa paksaan. Supaya nanti semua azam dapat dijadikan arus kesempurnaan dengan jalinan idea dan ilham sepanjang masa dan zaman.

Rabu, Januari 16, 2019

Challenge.

Dengan pelbagai kandungan dan intipati yang ada dalam dunia media sosial sekarang, terlalu banyak idea telah dizahirkan hari demi hari.
Aku beri contoh #10YearChallenge yang baru tular ini. Ini sejenis barang baik untuk media sosial.
Ini tularan yang jatuh di bawah kategori cabaran atau challenge. Adakalnya cabaran-cabaran tersebut menarik dan elok disebarkan. Adakalanya sampai ke tahap mengarut, buang masa, gila tidak masuk akal dan bodoh tahap haram jadah.
Sama ada mahu perhatian atau popular, manusia perlu berpandu akal.
Jangan sampai jadi baghal.

Selasa, Januari 15, 2019

Tertekan.

1. Dalam keadaan kita sedang menguruskan dan menangani banyak tugasan, ada masanya kita akan dilanda tekanan. Dalam konteks ini: Aku sedang dilanda tekanan.

2. Tekanan pada lazimnya akan membuatkan kita tidak selesa, tidak tentu arah dan akhirnya panik sekali-sekala.

3. Aku panik dengan cara aku sendiri. Bila panik, aku akan buat kerja dengan flow atau kadar kelajuan yang lebih berganda daripada biasa.

4. Ada kalanya kerja siap dan cantik juga. Selalunya kerja akan tidak siap dan huru-hara hasilnya.

5. Aku beriltizam mahu merubah sikap itu dan merancang lebih baik kerana ia sudah jadi bad habit.

Isnin, Januari 14, 2019

Error & Trial

Ketika aku sedang menulis entri post hari ini (dengan penuh semangat!), ada sejenis peringatan dan senario yang sudah lama tidak aku alami sejak menulis di sini.

Senario: Menulis dengan panjang lebar, mencurahkan segala isi idea dan komited untuk menyiapkan satu posting cantik.

Peringatan: Save sebelum sirna.

Seorang blogger tegar yang pernah melalui situasi bodoh di atas akan pasti berasa marah, kecewa, malas dan separa putus asa untuk memulakan semula entri yang tidak back-up tadi. Jujurnya itu adalah situasi klasik andainya kau seorang culas blog.

Whatever.

Aku nak buat lagi balik sebab tadi punya write up sikit punya baik.

Apa nak jadi.. jadilah. Aku rasa dulu-dulu pun lagi teruk dari tadi pun aku pernah rasa. Sampai banyak kali jugalah aku hampir nak surrender dan give up menulis di sini!

Ahad, Januari 13, 2019

IGTV


Sebagai satu lagi inisiatif konten terbaru untuk 2019, saya telah menambahkan lagi satu saluran dan siaran baru menerusi Instagram TV atau IGTV.

Nampaknya muatnaik konten serta kandungan video menerusi IGTV sedikit mudah dan pantas berbanding YouTube dan Facebook. Cuma ada dua perkara yang perlu saya fikirkan (runsingkan?) iaitu:

1. Menjana kewangan + trafik tontonan
2. Video hanya dalam format sudut menegal (vertical angle)

Apapun begitu, tetap sesuatu yang positif bagi saya yang sedang bersemangat ini!

Jumaat, Januari 11, 2019

Mencari Template Baru



Bermula awal tahun ini, gerakan besar-besaran telah digerakkan untuk aku overhaul banyak benda.

Antara yang paling jelas sekarang adalah blog ini.

Portal yang paling lama dan paling awal sekali aku usahakan sejak awal terbitannya pada tahun 2004. Maka sempena permulaan baru serta mungkin juga sambutannya yang ke-25 ini, aku rasa sudah sampai masa aku renovasi rekaan serta aturannya luar dalam supaya tampak lebih fresh.

Blog Archive

Cari Blog Ini

Dikuasakan oleh Blogger.

A Block of Text

A Block of Text


Hi. Saya kenal anda. Mungkin anda tidak kenal saya. Tiada masalah. Mari berkenalan!

About Me

About Me

Blogger templates

ENTRI TERBARU

DEMI YANG TERCINTA!

Esok adalah hari penentuan untuk sebuah tarikh. Telah aku tetapkan selama 44 hari sejak Awal Muharam dalam fasa memperbaiki dan memperniat...