Khamis, Julai 10, 2014

Terus Juang, Nederland!

Pasukan yang aku sokong selama ini setiap kali berlangsungnya kejohanan bertaraf antarabangsa dan penuh prestij seperti Piala Dunia 2014 yang sedang berlangsung di Brazil sekarang ini telah pun menamatkan perjuangannya pada peringkat Separuh Akhir menentang Argentina menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi tadi.

Memanglah sesuatu yang amat hampa terutama sekali apabila kita hanya perlu melangkah setapak sahaja lagi ke Perlawanan Akhir bertemu Jerman.

Empat tahun lalu, kita kecundang di tangan Sepanyol 0-1 di Afrika Selatan pada Perlawanan Akhir. Ianya berjaya ditebus dengan kecemerlangan 5-1 pada perlawanan pertama Peringkat Kumpulan. Namun tekad untuk kembali ke pentas kejuaraan harus ditangguh empat tahun lagi di Russia 2018.

Apa pun terjadi, kita harus terus juang.

Selamat tinggal Arjen Robben. Selamat tinggal Wesley Sneijder. Selamat tinggal Van Persie.

Semoga yang patah, tumbuh dan yang hilang, berganti.

Selasa, Mei 27, 2014

Kerana hanya dengan menulis

Apabila tiba kembali kerinduan untuk menulis, aku akan mencari jalan untuk menulis.

Kerinduan itu datang pada tiap-tiap hari sehinggakan terdetak di dalam hati: Apakah ini satu bentuk kerinduan atau adakah ianya rutin dan tabi'i bersifat peribadi semata? Ianya jelas terbukti di dalam Facebook. Aku menulis dengan bersungguh-sungguh. Status demi status, kapsyen demi kapsyen, cerita demi cerita. Aku perlu berkongsi demi meluahkan.

Aku ketagih untuk memberikan mereka sedikit daripada kisah yang aku lalui.

Ini membuatkan aku, suka pada mereka. Kerana mereka ada yang naif.

Jumaat, Mei 09, 2014

Hutang-hutang aku

Hutang-hutang aku pada orang lain memang banyak. Ada hutang wang Ringgit Malaysia, ada hutang harta benda, ada hutang budi dan amali, ada hutang ilmu dan pengetahuan, ada hutang yang tiada ternilai harganya. Semua hutang-hutang ini mestilah dibayar walaupun ada yang tidak dituntut. Sama ada susah atau mudah, adalah menjadi tanggungjawab aku dan hak mereka untuk aku 'membayarnya' semula. Kerana bagi, selagi ada nyawa di dunia dan selagi ada kesempatan masa - perlulah laksanakannya dengan baik supaya kelak nanti berkat segalanya.

Mudah-mudahan aku ini diberikan tenaga dan kekuatan untuk melunaskan segala hutang-hutang piutang yang semakin lama semakin menggunung itu!

Rabu, April 16, 2014

Bila orang boleh buat, kenapa tidak aku?

Bekerja sendiri sememangnya satu cabaran dan dugaan yang cukup besar apabila setiap kali aku membuat keputusan untuk tidak makan gaji. Andai makan gaji, bajet dan peruntukan wang aku akan berjadual. Menunggu hujung bulan untuk gaji atau tengah bulan untuk elaun atau komisen bulanan. Ianya sudah berlangsung beberapa kali dalam hidup aku sejak menjadi profesional dalam lapangan yang aku usahakan. 

Kini, aku bergerak solo semula. Memang risiko yang mendebarkan apabila memandangkan tahun ini adalah tahun yang mana aku 'wajib' kaya. Tahun ini adalah tahun aku menjadualkan diri aku untuk berkahwin dan berumahtangga. Tahun ini hampir genap sedekad aku tamat mengaji dan mula bekerjaya mula-mula dulu di Karangkraf. Tahun ini juga aku mensasarkan diri aku sebenarnya untuk cuba dengan segala daya upaya aku untuk mencari seberapa banyak lubuk-lubuk rezeki untuk aku berkemungkinan tidak bekerja makan gaji lagi. Makan gaji ini selalunya membuatkan aku kurang selesa kerana terhimpit dengan tekanan majikan dan jadual rutin yang cepat membosankan aku. Aku perlu lebih proaktif dan agresif dalam menjana pendapatan supaya aku dapat keluar dan bebas daripada kepompong ekonomi ciptaan aku sendiri.

Aku nampak bila ramai orang boleh buat dan berjaya, kenapa tidak aku?  

Selasa, April 15, 2014

Melebarkan sayap lagi.

Selepas seharian dan semalaman di Alor Star, aku kini kembali ke KL. Tempoh keberadaan aku di bandar Kedah itu adalah atas tujuan persatuan dan bisnes. Dasar korporat yang cuba aku perkenalkan ke dalam Pekomik bukanlah satu tugas yang mudah kerana aku perlu meyakinkan ramai pihak dan ramai individu. Terutama sekali mereka-mereka yang skeptikal dan meragukan kemampuan aku menerajui persatuan. Bagi aku, apa-apapun yang penting adalah usaha tenaga dan ikhtiar semangat yang berterusan. Terima kasih aku juga kepada Tok Guru Gayour telah memberikan peluang baru buat aku melebarkan lagi sayap.

Alhamdulillah, misi aku ke sana mencapai sasaran yang aku harapkan bagi peringkat permulaan ini. Mencabar tapi praktikal. Malah aku yakin, kadar keberhasilannya untuk pembangunan persatuan di masa akan datang adalah amat bermanfaat.

Aku kembali bermukim di perpustakaan lagi buat sementara waktu dan melaksanakan tugas-tugas yang sudah aku jadualkan untuk beberapa tempoh ini. Kerja memang banyak. Jadi, kena cepat dan perlu disegerakan. 

Sabtu, April 12, 2014

Hari ini, aku memalaskan diri depan TV.

Hari ini aku banyakkan habiskan masa depan TV. Memandangkan malam tadi aku bermalam di rumah adik aku di Shah Alam yang kebetulan pula melanggani saluran kabel Astro, aku pulun habis dari pagi sampai ke malam. Memang tidak produktif dan produktif dalam masa yang sama. Tidak produktif sebab aku hanya 'memalaskan' diri di depan TV. Produktif sebab aku akan gunakan alasan menonton TV itu tadi sebagai mencari bahan rujukan dan sumber kepada projek-projek yang aku sedang laksanakan sekarang.

It is sweet being a writer. You always have excuses for everything : )

Jumaat, April 11, 2014

Seni baca buku.


Nampaknya masa-masa yang telah lama aku tangguhkan untuk bersama dengan buku-buku kini sedang dirasai penuh nikmat. Mengenali diri, aku memang seorang collector dan pembaca yang tegar. An avid reader and a book enthusiast. Rasanya tidak pernah pun dalam sehari yang mana aku tidak menyentuh bahan bacaan sejak dulu lagi aku faham dan tahu membaca. Baik suratkhabar, majalah ataupun buku. Tambah-tambah lagi komik-komik kesayangan aku.

Membaca ada banyak kelebihannya. Aku suka membaca di atas banyak sebab. Akan tetapi ada satu sebab utama yang paling ketara adalah kerana 'seninya'. Seni membaca atau seni bersama buku ini begitu tinggi nilainya. Kau duduk bersendirian di dalam bilik atau di dalam perpustakaan atau di warung makan atau kedai mamak, sekaligus kau akan hanyut dengan dunia yang kau pilih sendiri. 'Asmaradana' dengan alam buku begitu menggamit zahir dan batin. Begitu memukau sukma dan sanubari hinggakan tiada terperi keresapannya. Magis hanya masing-masing yang tahu.

Tambah-tambah lagi yang ada di hadapan aku ini adalah buku-buku yang kena dengan jiwa aku. Memang muktamad dan sahih tidak hadap benda lain lagi. Lain macam dia punya layan.  

Khamis, April 10, 2014

Mendapatkan semangat di sini.

Hari ini aku lapangkan masa untuk berdamping semula dengan satu mukim istimewa yang sudah lama tidak aku kunjungi:

Perpustakaan. Pusat Sumber. Kutub Khanah.

Masih lagi menjadi tempat kegemaran aku. Sejak dari kecil, sejak dari sekolah, sejak dari universiti dan kini hinggalah ke zaman kedewasaan aku. Mukim ini amat-amat cocok dengan jiwa serta sanubari aku yang suka berdamping dengan buku, gemar bersendirian apabila berfikir dalam-dalam, malah serba-serbi yang aku perlukan untuk berkarya ada di sini. Ketenangan yang aku mahukan juga wujud disekeliling. Karakter dan watak yang ada di sini turut memahami kehendak aku.

Sebenarnya, aku rindu sangat mahu menulis secara serius dan konsisten semula. Malahan, aku sendiri tidak pasti entah bilanya aku menulis secara serius dan konsisiten dahulu. Untuk itu, demi masa yang berjalan pantas - aku harus kejar ia. Aku harus seiringan dengan waktu-waktu yang memerlukan aku senantiasa berada di barisan hadapan. Aku tidak mahu penyesalan menghimpit aku di kemudian hari. Kerana ya, memang betul apa orang-orang lama katakan: "Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiadalah gunanya". Pendapatan itu yang aku mahukan sekarang. Untuk masa depan. Untuk keluarga. Untuk mereka-mereka yang aku sayang. Terutamanya sekali bakal isteri aku yang akan aku nikahi tidak lama lagi. Kehendak atau keperluan, masing-masing ada kepentingannya yang tersendiri.

Maka tidak adalah kehendak dan keperluan yang paling tinggi dan yang paling mulia sekali selain daripada CINTA.

Rabu, April 09, 2014

Sekarang ini bukan masanya untuk berhenti.

Perjalanan aku mungkin masih panjang. Namun aku harus juga lakukannya tanpa henti, tanpa jemu dan tanpa ada masa untuk meragukan pada kemampuan diri. Nikmat kesihatan dan kekuatan serta kurnia bakat dan kemampuan ini akan aku laksanakan dengan sebaiknya.

Hari ini aku teruskan lagi perjuangan aku untuk mencari kemudahan di hari esok.

Diharapkan ianya bermanfaat.

Banyak telah berubah dan banyak juga yang masih kekal sama. Aku lazimnya akan mengambilnya sebagai ikhtibar satu-persatu kerana sebagai manusia yang punya kekuatan dan juga kelemahan, pertimbangan akal dan fikiran perlu segerak. Maka, aku cuba cari jalan itu.

Jalan yang dapat melapangkan segala kekusutan. Yang dapat menenangkan semua kebuntuan yang melanda sejak dari dulu. Aku rasakan sudah terlalu lama aku tidak berbuat apa-apa yang boleh membuatkan aku lebih kuat dan gigih dari ini.

Apapun yang terjadi, aku percaya pada berkat usaha.

Ahad, April 06, 2014

Dah tua, macam ni la...

Bulan ini aku akan banyak menguruskan dan menyelesaikan beberapa perkara yang telah selama ini aku:
  1. Abaikan
  2. Lengahkan
  3. Lupakan
  4. Terlepas pandang
  5. Sia-siakan
Kebanyakan daripada perkara-perkara yang sedang aku tangani ini bersangkutan dengan hal kerja dan urusan peribadi. Antaranya adalah penyusunan dan pentadbiran jadual waktu, akumulasi/disertasi kewangan dan perkembangan niaga serta lain-lain lagi. Maka dengan ini usaha harus dilipat-gandakan seperti sebelumnya. Aku perlukan seberapa banyak bantuan dan pertolongan daripada sesiapa sahaja yang sudi meringankan beban kerja aku. 

Rasa 'tua' dah mula terasa dalam diri. Sedikit demi sedikit. Perlahan dengan perlahan. Stress woo!

Ahad, Mac 09, 2014

Selera ikut suka hati kita.

Terlalu banyak yang hendak diperkatakan. Terlalu banyak juga yang hendak disampaikan.

Maka sudah pasti, akan banyak jugalah yang mahu didengari.

Oleh kerana itu, keadaan sekarang ini merupakan keadaan yang amat kritikal malah penting untuk kita saling memerhatikan sesama kita. Mana tahu pada esok lusa, ada yang betul dan ada pula yang salah. Ini sama sekali akan membuatkan nilai diri kita melonjak naik atau merudum turun. Baik untuk aku. Baik untuk semua.

Percayalah. Tepuk dada. Tanyalah selera.

Blog Archive

Cari Blog Ini

Dikuasakan oleh Blogger.

A Block of Text

A Block of Text


Hi. Saya kenal anda. Mungkin anda tidak kenal saya. Tiada masalah. Mari berkenalan!

About Me

About Me

Blogger templates

ENTRI TERBARU

Masih dalam kerugian.

Ya. Macam biasa aku akan cakap: "Masa berjalan begitu pantas" Walaupun bukannya dihamburkan secara colloquial, aku tetap masih l...