Sedang dalam usaha untuk mencari dan terus
mencari kunci rezeki, aku kini kerap ditemukan dengan pelbagai persimpangan. Persimpangan
yang menjemput aku memilih. Sama ada yang aku pilih itu akan menguntungkan dan
membahagiakan aku atau sama ada ianya akan terus-terusan membuat aku menunggu
dengan lebih lama lagi. Dan aku sesungguhnya tidak suka untuk tergolong dalam
golongan yang ketinggalan dan menyesal di kemudian usia.
Jujur bicara, apabila dihadapkan dengan masalah-masalah, tidak kira
masalah itu masalah yang kecil dan remeh atau masalah itu masalah yang besar
dan meruncing, aku akan cuba dengan sedaya upaya aku untuk mencari jalan
penyelesaiannya. Cumanya sekarang ini, semakin lama dirasakan masalah-masalah
yang aku sedang tangani itu begitu menghimpit dan memaksa aku untuk berfikir
dengan lebih kuat dan keras lagi. Aku dapat rasakan tanggungjawab yang bakal
aku pegang dan laksanakan tidak lama lagi akan terus memuncak, hari demi hari. Dan
salah satu daripada tanggungjawab yang terbesar aku pikul sekarang adalah
tanggungjawab kewangan.
Kewangan ini sifatnya materi dan sementara. Walalupun ia tidak utama
jika dibandingkan dengan keperluan-keperluan dan kehendak-kehendak duniawi dan
akhirat yang lainnya, ia tetap penting dalam menyelesaikan banyak perkara yang
berpusing sekitar urusan tanggungjawab itu tadi.
Diharapkan aku terus diberikan peluang oleh Allah untuk menghimpun
lebih banyak ilham dalam mencari sumber kewangan yang berpunca daripada pencari
kunci rezeki itu tadi. Aku tidak boleh putus asa. Aku tidak dapat mudah
mengalah. Aku harus terus juang dan aku harus terus buktikan selagi ada kudrat,
selagi ada daya dan selagi ada kemudahan muda dan bekalan tenaga yang penuh
kobar dan semangat ini. Kerana aku yakin dan sangat percaya, ada yang lebih
sengsara dan lebih susah daripada aku. Dan aku juga tahu, setiap ujian dan
cubaan itu pasti ada hikmahnya yang tersendiri untuk aku hadapi dan harungi
dengan seadanya.