Khamis, November 28, 2013

Semangat 'comeback'!

Melihat segala opsyen-opsyen yang ada di hadapan aku, ternyata ruang dan peluang untuk aku menjadi lebih baik dari apa yang sedang atau telah berlaku kepada aku sebelum ini adalah begitu prospektif.

Aku yakin dengan usaha berterusan dan semangat yang tidak kenal erti putus asa, harapan itu akan tetap menyala. Ini formula lazim. Semua orang boleh laksanakan andainya mahu capai  segala apa yang dicita. Pernah beberapa kali aku melihat dan menyaksikan ia terjadi. Orang yang biasa-biasa jadi luarbiasa. Orang yang miskin menjadi kaya. Orang yang ‘nobody’ menjadi ‘somebody’. Orang yang tiada apa-apa kini sudah jadi ada-ada. Itu semua dengan menggerakan diri dengan usaha dan kerja keras. Bijak dan cerdik itu akan datang dengan sendirinya.

Malam tadi, aku sempat duduk dan mendengar idea dan luahan seorang kawan yang pernah naik kaya, jatuh kaya dan mahu kaya lagi. ‘The rise and fall of a business mind’. Kali ini semacam dia mahu menyerap semangat yang ada disekeliling. Sudah lama katanya mahu mencari masa yang sesuai untuk buat ‘comeback’. Rezeki orang itu kadang-kadang apabila dikongsi dengan kita, memang rasa dia punya semangat. Semangat itu datang hanya dengan dua cara: Sama ada ia datang dengan sendirinya dari dalam atau ia perlu dicari dengan ruang dan peluang yang ada tadi.

Kali ini aku harapkan, bukan fatamorgana lagi.  

Rabu, November 27, 2013

Wang dan kita, berpisah tiada.

Nampaknya dalam hampir sebulan menuju ke tahun hadapan, aku banyak berfikir bagaimana untuk merancang dengan baik. Maklumlah, individu cerewet dan partikular seperti aku ini selalunya akan menyediakan seberapa banyak rancangan ‘fallback’ dan Plan B yang jitu seandainya apa yang dirancang tidak menjadi.

Yang meruncing dan selalu menjadi cabaran tegar sudah tentunya kewangan.

Wang ini bukanlah segala-galanya tetapi ia amat penting untuk menyelesaikan banyak perkara, tambah-tambah lagi perkara yang bersangkut-paut dengan masalah. Masalah manusia moden selalu aku perhatikan rata-ratanya banyak dapat diselesaikan dengan wang. Dari yang kecil sehinggalah yang besar-besar belaka, semuanya guna penyelesaian tunai.

Aku jujurnya terus-terusan masih mencari formula bagaimana mahu neutralize fahaman ini. Ia tidaklah salah dan tidaklah ia 100% benar. Atas nama kemewahan dan kebendaan, wang tetap menjadi sandaran pada setiap masa. Dari buka mata sesudah tidur sampailah tersandar semula di pembaringan untuk tidur semula. Harus diakui, ia terjadi juga kepada aku. Mungkin kerana aku ini tidak berapa bijak mengurus kewangan atau aku ini ada menanggung hutang atau aku ini memang sengaja membiarkan diri masuk ke dalam perangkap ciptaan.

Apa pun alasannya, aku perlu kuasai wang dengan apa cara sekalipun.

Isnin, Oktober 21, 2013

Kekuatan ada di mana-mana.


Macam-macam cerita sejak dah lama tak menulis kat sini. Dari cerita yang memberangsangkan sampailah ke cerita yang cukup mencabar minda dan pancaroba. Macam biasa, hidup kena terus. Semuanya sudah siap tertulis untuk kita semua habiskan cerita masing-masing dalam dunia ni.

Aku harap dan mohon diberi kelangsungan kekuatan untuk meneruskan perjuangan. Banyak lagi nampaknya yang harus diperlakukan hari demi hari.  

Jumaat, September 20, 2013

Rabu, September 11, 2013

Memerangi resdung.

  1. Sebenarnya resdung ini memang antara perkara yang paling dibenci sekali. Walau apa pun juga situasinya, tidak selesa langsung. Dan aku masih lagi memerangi perkara ini.
  2. Bila tidak sihat, maka fikiran tidak dapat fokus. Mudah melayang dan merewang entah ke mana-mana perginya. Aku harap satu hari nanti, resdung ini dapat pergi selama-lamanya (walaupun amat sukar kerana aku tidak rajin pantang dan berjaga-jaga soal makanan dan kesihatan)
  3. Kalau kurang ‘fit’, mungkin ada juga ikhtibar yang boleh diperoleh. Aku tahu yang diri ini ada kelemahan dan ada kekurangan. Masih ada fungsi kesedaran dan kemanusiaan terhadap pencapaian-pencapaian yang ingin dipenuhi segera atau kemudian.
  4. Jadi seperti biasa, harus sabar sajalah. Sebagai manusia, kesabaran adalah kunci kepada kematangan. Selalu. Setiap masa.

Selasa, September 03, 2013

Kelahiran 'The Idealistik'

Aku sekarang sedang aktif mengusahakan blog sampingan aku dengant tulisan-tulisan yang terarah kepada perkongsian pengalaman dan ilmu yang telah terhimpun selama ini. Tujuan aku menulis di blog itu adalah demi merekodkan semula secara tersusun dan terperinci segalah pendapat aku secara profesional terhadap bidang yang aku ceburi selama ini iaitu bidang penulisan kreatif dan apa sahaja yang seangkatan dengannya.

Diharapkan kepada semua pengikut dan pembaca setia laman blog ini dapat ziarah ke sana untuk mendalami apa yang terkandung di dalam benak fikiran aku. Blog ini akan tetap kekal sebagai ruangan kisah peribadi aku secara eksklusif. Terima kasih. 

Aku namakan blog itu http://theidealistik.blogspot.com/

Rabu, Ogos 28, 2013

The Science of being Lone and Alone



It’s nothing we haven’t heard before: the modern human presented as a slave to Facebook likeage, afraid of being seen sans-Instagram filter, preferring “poking” to actual touching but has 5,000 friends. The debate rages on over whether social media makes us lonelier and more self-absorbed than ever with the verdict usually being that it does. 

Regardless, social media isn’t going anywhere anytime soon.

This visualization is a fresh and subtly soul-wrenching reminder of the way our screens can become cells of solitary confinement. It drives the point home with a carefully parsed video narration that might make you consider, for a second, throwing your computer out the window and starting a Luddite Revolution (but how would you recruit members without Twitter?)

I became addicted to online socializing through social media. This started to bother and intrigue me at the same time. There’s something about simplicity, I think, that makes the message stronger: We collect friends like stamps, sacrificing quality for quantity.

Khamis, Ogos 15, 2013

Nikmat berhari raya

Sudah lebih seminggu berhari raya tahun ini. Syukur kepada Allah kerana masih diberikan kesempatan untuk nikmat yang tiada tandingannya ini.

Banyak yang dipelajari sepanjang Ramadan yang berlalu. Tentang penghargaan dan penganugerahan. Tentang kurnia dan rahmat. Tentang cinta dan kerinduan yang mendalam pada waktu-waktu yang hanya datangnya tidak selalu. Namun, Syawal ini adalah hari-hari keraian. Hari kemenangan kerana beroleh sesuatu untuk diri-diri yang memahami erti sejati. Aku pun begitu. Raya ini banyak yang pertama dan banyak juga yang berakhir. Begitu indahnya musim suci sehinggakan hati ini sering diuji dengan berahi dan juga hakiki.

Nampaknya masih ada kekuatan dalam diri yang harus dikerah lagi. Sementara masih muda. Sementara masih berupaya. Akan aku cuba selagi yang terdaya.

Orang lain dengan cara yang lain. Aku dengan cara aku sendiri.

Ikut kesedaran. Ikut kemampuan.

Yang penting, hari raya ini aku mahu semua tahu aku tetap semangat untuk terus berkongsi rasa.

Gembira aku pada Dia.

Kerana pada Dia aku berharap dan bermohon segala.

Isnin, Ogos 05, 2013

Balada Seorang Teman

Inilah lagu kau pinta dulu, balada seorang teman
Yang berbekal dengan satu tekad, mencari jalan pulang
Kisah gejolak jiwa dan badan, tersirat dan suratan
Cuba menghapuskan kesakitan, merintih, meraung pinta keadilan

Atas nama sebuah cinta maknawi
Lagu nama perjalanan sepi

Bahu kanan dan kirinya, adalah teman akrab
Memikul beban asmara birahi, tiada kehabisannya
Tubuh manusia ini kekadang lupa dia manusia
Sebutir pasir sebuah pantai, batu-bata dari sebuah kota

Cerminlah, cerminkanlah kejadian ini
Di dalam sebuah panggung sandiwara rasa

Hey musuh! Berikan namamu sebenar
Ayuh tunjukkanlah wajahmu
Ayuh bentangkanlah permainanmu
Hey hidup! Kau humbankan ku di penjara ini
Apakah bentuk emansipasiku merupakan sebuah pusara
Tak cukup kau hempapkan beban kenikmatan ini padaku
Sedang kau tahu tahap mana ketahananku
Itulah yang kau mahu dari jiwa ini

Apalah pasir yang menjadi kaca
Kaca menjadi cangkir
Apalah tangan yang membentuk cangkir
Apalah mulut yang meminum air
Aku nantikan hujan mawar
Tak ingin lagi kehilangan

Turunlah hujan mawar
Basahkan bumi sahara ku
Biarku bermandi
Seribu warna pelangi
Biarku hapus rindu
Dalam pelukan cita maknawi

Inilah lagu kau pinta dulu, balada seorang teman
Yang berbekal dengan satu tekad, mencari jalan pulang
Kisah gejolak jiwa dan badan, tersirat dan suratan
Cuba menghapuskan kesakitan
Meraung, meminta suaranya
Kedengaran
Oh.. kau rindu
Apalah pengujungmu.


Ahad, Jun 30, 2013

Tetap terus juang

Sedang dalam usaha untuk mencari dan terus mencari kunci rezeki, aku kini kerap ditemukan dengan pelbagai persimpangan. Persimpangan yang menjemput aku memilih. Sama ada yang aku pilih itu akan menguntungkan dan membahagiakan aku atau sama ada ianya akan terus-terusan membuat aku menunggu dengan lebih lama lagi. Dan aku sesungguhnya tidak suka untuk tergolong dalam golongan yang ketinggalan dan menyesal di kemudian usia.

Jujur bicara, apabila dihadapkan dengan masalah-masalah, tidak kira masalah itu masalah yang kecil dan remeh atau masalah itu masalah yang besar dan meruncing, aku akan cuba dengan sedaya upaya aku untuk mencari jalan penyelesaiannya. Cumanya sekarang ini, semakin lama dirasakan masalah-masalah yang aku sedang tangani itu begitu menghimpit dan memaksa aku untuk berfikir dengan lebih kuat dan keras lagi. Aku dapat rasakan tanggungjawab yang bakal aku pegang dan laksanakan tidak lama lagi akan terus memuncak, hari demi hari. Dan salah satu daripada tanggungjawab yang terbesar aku pikul sekarang adalah tanggungjawab kewangan.

Kewangan ini sifatnya materi dan sementara. Walalupun ia tidak utama jika dibandingkan dengan keperluan-keperluan dan kehendak-kehendak duniawi dan akhirat yang lainnya, ia tetap penting dalam menyelesaikan banyak perkara yang berpusing sekitar urusan tanggungjawab itu tadi.

Diharapkan aku terus diberikan peluang oleh Allah untuk menghimpun lebih banyak ilham dalam mencari sumber kewangan yang berpunca daripada pencari kunci rezeki itu tadi. Aku tidak boleh putus asa. Aku tidak dapat mudah mengalah. Aku harus terus juang dan aku harus terus buktikan selagi ada kudrat, selagi ada daya dan selagi ada kemudahan muda dan bekalan tenaga yang penuh kobar dan semangat ini. Kerana aku yakin dan sangat percaya, ada yang lebih sengsara dan lebih susah daripada aku. Dan aku juga tahu, setiap ujian dan cubaan itu pasti ada hikmahnya yang tersendiri untuk aku hadapi dan harungi dengan seadanya.

Sabtu, Jun 08, 2013

Pertunangan


Dengan rasminya, aku sekarang sudah bertunang dengan seorang gadis idaman hati yang sangat aku sayangi dan hormati. Untuk mencari cinta sepertinya, ia mengambil masa lebih 3 dekad lamanya. Ikatan ini akan seterusnya disematkan menjadi simpulan yang abadi dalam masa kurang 12 bulan akan datang.

Doa, usaha, ikhtiar, tawakal, setia, semangat, janji, jujur, sabar.

Itu pedoman kami berdua menuju detik Ijab dan Qabul kelak. Amin : )

Isnin, Jun 03, 2013

"You've grown stronger here than I ever could've imagined. The only way to know how strong, is to keep testing your limits"   
- Jor El to Clark Kent for the first time in the Fortress of Solitude

Dalam masa 5 hari dari sekarang, satu lembaran baru akan tercipta dalam sejarah hidup aku.

Ianya penting kerana ini merupakan satu momen besar pendefinasian aku sebagai manusia yang perlu dan mahu melangkah ke sebuah lagi tingkatan baharu dalam hidup. Sebuah proses pendewasaan yang pada pendapat aku dapat membuktikan sejauh mana kita dapat zahirkan kesungguhan dalam meneruskan kehidupan itu sendiri. Untuk menilai kekuatan aku sendiri, untuk menguji keteguhan aku dalam berkeputusan.

Maju terus!   

Selasa, Mei 28, 2013

Time for a change (or two)

Bila sampai masa kita dijemput untuk bersama-sama meniti arus peredaran zaman, maka lapangkanlah dada dan bukakanlah hati. Walau betapa payah serta sukarnya ia, pasti akan mendatangkan manfaat di kemudian hari.

Hari ini aku berpeluang untuk melihat dan merasai sendiri dua benda yang paling aku hajati untuk dimiliki suatu hari nanti. Dua benda yang diperlukan untuk mempersiapkan diri supaya tidak ketinggalan dalam masyarakat moden hari ini: Sebuah smartphone yang canggih dan sebuah tablet yang stylo. Mudah-mudahan dipercepatkan rezeki supaya aku dapat memilikinya untuk mencari-cari punca rezeki yang baru pula.

Dulu enggan kini perlu, dulu sisih sekarang mahu! : )



Hakikatnya sekarang, buakn soal mahal atau murah. Realitinya adalah apabila kita sudah cukup matang untuk menilai serta mempersiapkan diri untuk masa hadapan, gajet-gajet seperti ini memang banyak membantu. Bayangkan suatu masa dahulu, betapa liat dan degilnya aku untuk berubah. Macam-macam alasan yang aku berikan. Sehinggakan tidak ramai yang sanggup 'reason' dengan aku lagi. Namun apabila ramai kawan-kawan yang rapat dengan aku (yang rata-ratanya juga sama degil dengan aku) sudah mula berhijrah dan bertukar kepada iPhone dan Samsung Galaxy, aku terasa hati.

Terasa hati in a good way. 

So, sekarang aku berkeputusan dan bermatlamat untuk ke arah HTC One yang teramatlah seksinya. Untuk tablet, nafsu aku bergejolak untuk memiliki Surface RT dengan Type Cover keyboard yang super cool.

Another reason I guess would be that a businessman have to move with the times and market. And I am that kind of businessman. I suppose those reasons are relevant enough. For the time being, lets get those nut cracking and work harder and harder like never before. Orang di luar sana akan tinggalkan kita kalau kita terlalu banyak alasan untuk merubah dan bertangguh-tangguh demi sesuatu yang baik untuk masa hadapan. Untuk merasmikan lagi semangat baru ini, aku tukar juga warna background blog kepada warna yang lebih cerah dan terang sebagai tanda berkobarnya jiwa! 

Khamis, Mei 09, 2013

Di pihak yang benar dan hak


Keadaan semasa sekarang ini, ramai yang mahu buktikan tentang hak dan perjuangan. Sebagai manusia, itu lumrah. Yang membezakan sesama kita jelas hanyalah ilmu dan pengalaman. Kiranya seseorang itu punya ilmu dan pengalaman yang baik, maka mereka boleh pilih dan boleh tahu tanpa sebarang curiga dan keraguan di pihak manakah yang patut mereka berada.

Aku memilih untuk berada di pihak yang ada ilmu dan pengalaman. Insya Allah.

Kita ini bukan dari golongan pejuang yang sanggup bertumpahan darah dan berperang demi menegakkan yang hak dan menumpaskan yang bathil. Kita merdeka tanpa sebarang konflik meruncing yang berpanjangan, tanpa perang senjata dan tanpa campur tangan pihak musuh.

Kita ini merdeka dengan cara damai dan dengan cara bincang.

Sebab itulah kini apabila rakyat sudah semakin sedar yang mereka selama ini telah dipermainkan dan diperbodohkan golongan yang konon-kononnya menjaga hak rakyat, mereka bangkit dan tentang demi menjaga hak-hak itu. Yang pandai dan bijak, tahu apakah jenis ‘udang yang berselindung di sebalik batu’. Yang pandai dan bijak juga sedar batu jenis apakah yang digunakan untuk melindungi udang-udang itu. Yang tidak ada usul dan asal periksanya, akan terus dipermainkan dan diperbodohkan. Akan terus rasa selesa dengan gula-gula dan hadiah-hadiah dari mereka yang seolah-olah menggalakkan rakyat mengharap sangat kerajaan dan tidak mahu berapa berkerah tenaga dan usaha untuk mencipta harta dan mencari kejayaan sendiri.

Dalam dunia akan sentiasa ada dua pihak.

Aku rasa dan yakin aku berada di pihak yang benar, di pihak yang hak.

Semoga Allah melindungi kita semua.

Amin

Khamis, April 25, 2013

Berdaya


Ayahanda ada pernah bercerita pada aku: Apabila keadaan mendesak dan memaksa, manusia sanggup lakukan apa saja asalkan matlamat serta hajatnya tercapai.

Sekarang ini banyak bukti-bukti terwujud hasil daripada kenyataan ayahanda aku itu. Tambah-tambah lagi sekarang musim berkempen pilihanraya. Daripada cara yang halal hinggalah kepada cara yang tidak berapa nak halal. Mereka semua ada matlamat. Mereka semua ada hajat. Itu semua sendiri mahu ingat kerana berpolitik di negara ini sangat kompleks. Kiranya salah seru, macam-macam perkara boleh timbul, boleh tergadai dan boleh tenggelam. Sebab itu ramai yang aku tengok lebih banyak bertindak menggunakan nafsu dan serakah dari akal dan fikiran. Masing-masing dah besar. Masing-masing dah tahu.

Namun, keadaan mendesak dan memaksa yang sedang aku alami sekarang ini langsung tidak sama dengan apa yang berlaku tadi. Aku dalam keadaan mendesak dan memaksa kerana aku perlu didesak dan perlu dipaksa demi kemajuan serta kebahagiaan masa hadapan. Aku perlu lebih gigih, aku perlu lebih kental, aku perlu lebih kuat dan aku perlu lebih tabah mencari rezeki. Rezeki ini sebenarnya ada di mana-mana. Dan aku pasti ramai orang sudah tahu akan perihal itu. Apa yang berlaku pada aku sekarang memang mencabar tetapi tidak sesekali aku menganggapkannya sebagai sesuatu yang susah apatah lagi menyusahkan. Pendek kata, bila timbul rasa nak cakap susah atau menyusahkan saja, cepat-cepat aku fikir, “Ada orang lain lagi sengsara dari kau, Faizal. Setidak-tidaknya kau masih sihat, tubuh dan anggota lengkap dan cukup serba-serbi”. Mencari duit dalam zaman moden sekarang ternyata memerlukan lebih dari sekadar modal batin dan zahir, lebih dari sekadar ikhtiar dan usaha, lebi dari sekadar azam dan semangat.

Aku nampak matlamat dan hajat itu ialah permulaan mencari sumber rezeki.

Bila matlamat itu betul dan direstui, insyaAllah ia akan datang juga pada tangan-tangan yang berhak.

Bila hajat itu benar dan diredhai, insyaAllah ia akan sampai juga pada diri-diri yang perlu.

Jelas, ini satu cubaan untuk memujuk diri sendiri supaya sabar dan banyak-banyak muhasabah jiwa. Bukan senang nak senang, kata orang. Dan orang yang bercakap tentang itu 100% betul. Harapan aku agar supaya segalanya diberkati dan diberikan keredhaan yang secukupnya. Aku mahu menjadi manusia yang mampu menukarkan sesuatu yang ‘tidak boleh’ kepada yang ‘boleh’ dengan cara aku. Supaya esok, lusa apabila aku sudah dewasa dan matang dari hari ini, aku boleh pesan pada mereka:
“ Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Tapi kau kena buat keputusan kalau kau nak hidup, sama ada daya atau dalih ”   

Isnin, April 08, 2013

Rezeki esok datang sekarang


Kepenatan, keletihan, kelenguhan dan kesengalan aku sekarang ini tidak akan dapat memberi alasan yang sewajarnya nanti apabila penyesalan hari esok muncul. Selagi aku belum tiba waktu itu, aku harus juang dengan peluang.

Kerana yang datang tidak sama dengan yang dijemput.

Sabtu, April 06, 2013

Malu pada diri sendiri


Apabila berjanji pada itu dan ini pada orang lain, selalunya aku akan tersedar agak lewat bahawasanya aku ini ada keterbatasan. Tidak sempurna, tidaklah juga maksum. Apa yang terjadi sejak kebelakangan ini cukup membuatkan aku tersentak.

Entah rezeki itu dekat, entah rezeki itu jauh.

Aku malu pada diri sendiri.

Jumaat, Februari 08, 2013

Lots of thing to get over with. Fast.


Ini situasi aku sekarang: Banyak perkara yang aku perlu selesaikan dalam satu jangka masa yang aku rasa cukup mencabar. Majoritinya memerlukan aku bertindak pantas. Tahap kecekapan aku untuk mengurusi perkara-perkara yang tersebut kelihatan begitu memuncak ke tahap yang sudah hampir mendekati had. Aku kena cari jalan untuk selesaikan beberapa situasi (yang separuh daripadanya adalah berputar sekitar situasi kewangan) demi melepasi satu fasa besar dalam hidup.

Famili aku. Kawan-kawan baik aku. Cinta hati aku. Aku sangat menghargai mereka secukup-cukupnya. Kerana mereka selalu ada di saat-saat aku memerlukan dan sentiasa datang untuk memberikan bantuan dan sokongan walaupun selalunya aku tidak sama sekali mengharapkan mereka berbuat yang demikian. Ini mungkin kerana sudah lumrah hidup aku yang tidak suka menggunakan perkataan ‘masalah’ sebagai alasan meraih simpati. Atau mungkin kerana aku tidak suka menyusahkan orang lain dan meminta-minta sangat. I think I’ve been that in my younger days. Not good, not advisable and definitely not worth while. Aku yakin dan mampu untuk mengecapi apa saja niat serta idaman yang dihajatkan selagi ada tenaga, kudrat dan ikhtiar yang gerakkan dari dalam dan luar. Yang dalam itu adalah semangat dan yang luar itu adalah inspirasi. Ia ada dan akan tetap ada selagi mahukan ia datang menjemputku untuk berusaha keras dan gigih. As usual dan always, kejayaan tidak akan datang dengan mudah tanpa ada unsur-unsur positif yang aku nyatakan tadi. Aku mahukan kebahagiaan kerana itulah punca utama kesenangan hati dan kelapangan jiwa.

Tatkala ini, aku sedang diuji. Sama ada ia makin memberat atau membeban, terpulang pada Yang Maha Esa kerana hanya Dia Yang Maha Tahu. Memang kadangkala ianya lebih mudah untuk hanya putus asa dan tidak lakukan apa-apa untuk dapatkan yang terbaik tetapi itu bukan cara. Pengalaman telah banyak mengajar aku untuk mencari dan terus mencari sehingga ketemu dan berpuas hati apa yang aku carikan. Aku tahu ada ramai lagi orang yang lebih susah dan sengsara daripada aku di luar sana. Aku tahu ada yang lebih tidak bernasib baik dan malang. Aku tahu ada anugerah yang Dia mahu berikan pada aku, asalkan segala dugaan dan persona dunia ditangani dengan kekuatan. Lumrahnya hidup, yang kuat dan tabah sahaja yang akan diberikan ‘kekayaan’.

Masuk jalan sana, keluar jalan sini. Lalu lorong situ, lintang lorong sini. Naik ikut atas, turun ikut bawah. Apa saja kaedahnya, aku sanggup lakukannya. Asalkan satu hari nanti, apabila sudah sampai ke destinasi,  aku akan rasa gembira dapat membantu semua yang hargai dan sayangi.

Rabu, Januari 23, 2013

Rezeki dan nikmat itu indah


Memang benar rezeki Tuhan itu ada di mana-mana. Dari langit atau di balik gunung dan bukit, apabila ia telah tertulis milik kita, ia tetap akan menjadi milik kita semua juga adanya dan seadanya. Nikmat untuk hanya yang layak dan berhak. Itulah sebenar-benar keberkatan.

Dan setiap kali rezeki itu muncul, di kala itu jugalah aku rasa amat bahagia dan bersyukur.

Selasa, Januari 22, 2013

Zaman adventurous aku yang tidak akan hilang


Aku telah menghabiskan banyak masa dan berjam-jam lamanya di hadapan komputer. Habis semua ceruk dan sempadan Facebook, YouTube dan segala macam website aku buka. Apa yang aku cari? Hanyalah sesuatu yang membenarkan aku kepada lebih banyak persoalan dan kemungkinan. Ini selalunya akan membuatkan aku di dalam dilema. Sama ada aku ini banyak membuang masa. Atau aku sedang berusaha untuk mencari dan terus mencari ilmu dan pengetahuan melalui internet.

Semasa kecil dahulu, semasa tiada kewujudan internet, aku sudah pun mula adventurous. Cuma adventurous secara offline dan online adalah dua perkara yang ketara berbeza.

Bayangkan zaman itu. Bayangkan zaman sekarang. Aku yakin ada yang mencemburui diantaranya.

Sabtu, Januari 05, 2013

Azam Generic 2013


Sudah hampir seminggu masuk tahun baru. Inilah entri pertama aku untuk 2013.

Dengan rasa jujur, tahun ini aku mahukan yang terbaik sepanjang hidup so far. Aku mahukan yang terbaik dalam segala bidang dan lapangan yang sedang diusahakan. Secara profesionalnya, aku mahu lebihkan menulis dari tahun-tahun yang sebelum ini kerana terlalu banyak harus diperlakukan. Dari sudut niaga, aku mahukan pertumbuhan yang lebih baik berbanding sebelumnya juga. Pencapaian tahun lalu adalah memberangsangkan, tahun ini diharapkan lebih banyak lagi pintu rezeki akan terbuka untuk memajukan taraf ekonomi aku dan syarikat. Ini adalah satu azam wajib aku. Mengukuhkan status kewangan itu penting demi memajukan diri dan orang-orang disekeliling.

Kemudian lanjutan daripada azam-azam tahun lalu, aku mahu lebarkan siri-siri penjelajahan aku untuk terus meneroka potensi diri. Untuk mencari dan terus mencari apa yang boleh lagi aku lakukan di muka bumi ini selagi berpeluang untuk melakukannya. Aku berdoa agar sentiasa dikurniakan kesihatan dan anugerah kekuatan demi itu. InsyaAllah, semua ini boleh dicapai dengan semangat dan usaha kuat.

Blog Archive

Cari Blog Ini

Dikuasakan oleh Blogger.

A Block of Text

A Block of Text


Hi. Saya kenal anda. Mungkin anda tidak kenal saya. Tiada masalah. Mari berkenalan!

About Me

About Me

Blogger templates

ENTRI TERBARU

Masih dalam kerugian.

Ya. Macam biasa aku akan cakap: "Masa berjalan begitu pantas" Walaupun bukannya dihamburkan secara colloquial, aku tetap masih l...