Apabila aku
imbas sekali-sekala (terutamanya dalam kesyahduan dan ketenangan bulan puasa
ini) segala tulisan serta entri-entri yang merakamkan cerita-cerita terdahulu
tentang perjalanan hidup aku hingga sekarang, terus momen menjadi sangat
nostalgik. Betapa seronoknya aku bersama kawan-kawan yang lama dan baru melalui
semuanya itu demi pengalaman.
Ya, mungkin
muda itu terlalu cepatnya berlalu. Sedangkan aku jarang-jarang sekali mengakui
bahawa usia itu sememangnya lebih rindukan ketuaannya.
Tentang kerja
dan persahabatan, tentang kasih-sayang dan keluarga, tentang idea dan
inspirasi, tentang impian dan matlamat. Itu antara initipati-intipati dan
sorotan-sorotan kisah yang kerap menjadi buah ilham tulisan blog peribadi aku
ini. Entah ke mana hilangnya semangat aku untuk terus merakamkan semua itu
dengan malar sejak dua menjak ini, aku sendiri pun begitu segan untuk mendedahkan jawapannya.
Perkongsian tidak
akan lengkap sekiranya tidak ada orang-orang yang mahu faham isi perjuangan
hidup yang masih sedang cuba aku ikhtiarkan. Ada tu memang ada, cuma dulu itu
tidak semacam sekarang. Namun itu tidaklah bermakna aku sedang sugul bermangu
sesal kerana aku yakin bahawasanya takdir dan nasib itu boleh kita cipta
sendiri.
Masa dan
waktu akan menjadi penentu sama ada menjadi atau sebaliknya semua kerahan usaha, ikhtiar dan
perjuangan aku menuju hasrat segala hasrat.