Rabu, Oktober 26, 2011

Retrospektif | AIE


(sebuah testimonial bersempena Siri Workshop Manteraworks 2011 (Signature series) - 'AIE IKON KOMIK TANAHAIR' pada hari Khamis Oktober 27, 2011 di Auditorium Utama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara UiTM Shah Alam, Selangor Darul Ehsan)


Seperti orang lain, saya mula mengenali Aie atau nama pendaftar kewarganegaraan sebenarnya Shaari bin Sulong melalui lukisannya yang unik, tersendiri dan terang-terangan 'cantik' dipandang mata. Pertama kali membaca dan melayani karya beliau, ketika itu jugalah saya mula mengesani bahawa seorang kartunis sepertinya akan menjejaki sebuah legasi besar dalam scene komik dan kartun negara di masa akan datang. Seingat saya, kartun pertama beliau yang sempat saya baca dan tekuni adalah 'Koma' yang keluar di majalah Jenakarama, tidak silap yang diterbitkan pada tahun 1991. Saya ikuti setiap stroke, setiap lenggok garis lukisan dan setiap alunan ilustrasi watak dan perwatakan karakter yang dimunculkan dari panel ke panel. Ternyata beliau merupakan kelinat yang serba 'new' dan 'fresh' berbanding kartunis-kartunis lain yang saya pernah ikuti pada ketika itu. Walaupun saya pada masa itu masih kanak-kanak dan masih lagi mentah untuk menilai dan memberikan komen namun disebabkan kegemaran dan minat saya yang begitu mendalam dalam kartun dan animasi TV atau filem, membuatkan saya tertarik pada sesuatu yang unik dan 'one-of-a-kind' seperti kartun hasil lukisan Aie itu.

Selang beberapa tahun selepas itu, muncul pula majalah 'Ujang' pada tahun 1993. Di sinilah terlihat identitidan keterampilan sebenar Aie sebagai seorang pelukis komik dan kartun yang sejati. Bermula dengan 'Abe', 'Pak Andak', 'Blues untuk Aku' dan bermacam-macam lagi hasil serba menarik daripada beliau, membuatkan saya terus-menerus terikat mengikuti perkembangan kerjaya seni beliau. Di masa ini juga, saya telah mengangkat kartun dan komik ke daerah yang lebih serius dalam arus seni kreatif yang mengalir ke segenap diri. Rata-rata teman sebaya lain yang telah meningkat awal remaja dan meninggalkan zaman kanak-kanak sudah mula melupakan rancangan kartun pada setiap petang dan awal pagi hujung minggu. Tetapi tidak buat saya. Kartun tetap menjadi wadah harian dan wacana suapan batin saya dari hari ke hari, dari waktu ke waktu, dari ketika ke ketika yang berlanjutan hinggalah ke hari ini. Apa yang saya nampak adalah sebuah alam fantastik yang tidak mungkin akan membosankan serta membantutkan daya fikiran malah dapat pula mencambah segala bentuk ilmu dan pengetahuan yang ada. 'Ujang' yang tampil memberikan sinar cahaya dan kesegaran udara baru dalam angkatan kartun dan komik tanahair pada dekad 90an muncul dengan nama-nama seperti Gayour, Nik, Duku, Bijan, Sukun, Tembakau, Yaz Malee, Ah Liow dan berderet-deret lagi nama baru pasca dekad 80an yang menjadi milik mutlak majalah 'Gila-Gila'. Bertambah ironiknya, beberapa kartunis-kartunis majalah 'Ujang' datangnya dari 'Gila-Gila'. Mereka tampil dengan gaya dan karisma tersendiri serta tidak keterlampauan sekiranya saya labelkan mereka selebriti kartun dan komik Malaysia, hasil daripada strategi dan sentuhan kepimpinan kartunis Ujang. Keadaan ini telah melahirkan suatu fenomena besar dalam lapangan seni kartun dan komik tanahair akibat keberanian serta revolusi besar-besaran yang di bawa oleh 'Ujang' yang diterajui Ujang@Ibrahim Anon sendiri. Ia telah memecah segala tradisi yang pernah ada dan telah wujud sebelum ini. Aie yang juga tersenarai dalam angkatan era baru kartunis ini terus-terusan memeranjatkan saya setiap kali beliau keluar dengan hasil-hasil terbaharu. Kadangkala malah kerapkali, sekiranya ada acara-acara umum seperti Pesta Buku Antarabangsa ataupun pameran-pameran yang melibatkan kartunis 'Ujang' yang boleh dan sempat saya kunjungi, pastinya saya tidak akan terlepas peluang untuk menghadirkan diri untuk mendapatkan autograf dan lakaran kartun daripada Aie dan rakan-rakannya yang lain. Dan selalunya saya akan agak kecewa juga kerana Aie sebenarnya jarang muncul dalam acara-acara ini. Kalau datang pun, tidak lama dan tidak diumumkan kerana beliau muncul dengan secara tiba-tiba. Tapi saya tahu dan faham, dia sudah pastinya sibuk dengan kerja-kerja lukisan dan penghasilan karya terbarunya di studio yang bakal keluar dalam edisi 'Ujang' akan datang.

Semuanya bagaikan berjalan dan berlangsung dengan lancar. Hinggalah pada suatu masa di penghujung era 'Ujang' di bawah Ujang pada tahun 1996/97, segalanya seolah-olah semacam menjadi mendung membungkam dek kerana isu kontroversi, dilema, masalah dan sepak-terajang dunia korporat nan keparat, fundamentalis materialisme yang sama-sekali bercanggah dengan perjuangan seni dan kiblat kreatif kartunis-kartunis itu tadi. Akibat kekalutan ini, impak negatifnya telah mula menular di merata-rata. Aie juga tidak terlepas daripada krisis tersebut.

Maka beberapa tahun pada hujung dekad 90an, saya sudah lama tidak melihat atau terlihat apa-apa karya terbaru daripada kartunis dan pekomik kegemaran saya itu. Sehinggalah pada tahun 2001, saya telah disapa oleh seorang sahabat karib (dia kini berkhidmat sebagai seorang DJ stesyen radio) dan menunjukkan sebuah majalah komik baru yang diberi nama 'Aku dan Sesuatu'.

Keadaaan emosi saya pada ketika itu seakan-akan 'surreal' kerana tidak percaya Aie berjaya membuat 'comeback' dengan sebuah karya grafik novel original yang cucuk dengan gaya, identiti, personaliti dan pembawakannya.

Sayang sekali, edisi pengenalan 'Aku dan Sesuatu' itu dicetak amat terhad dan sahabat saya itu adalah antara pemilik bertuah yang berjaya mendapatkan isu sulungnya. Puas saya mencari dan mencari tetapi menemi jalan buntu. Buat kali pertama, koleksi karya-karya Aie saya sejak mula mengumpulnya pada tahun 1991 telah 'berlubang'. Apapun, kegembiraan yang tidak terperi mula meresap ke dalam diri saya kerana saya terlalu berharap Aie akan mengeluarkan karya terbaru setelah menyepikan dirinya sepanjang dua-tiga tahun kebelakangan ini semenjak revolusi dan reformasi besar-besaran majalah 'Ujang'. Apabila sebuah majalah berformat grafik novel seperti ini keluar, saya yakin dan percaya Aie tidak akan menghampakan dan mendukacitakan peminat-peminatnya termasuk diri saya sendiri.

Namun begitu, jangka hayat grafik novel 'Aku dan Sesuatu' ini juga tidak kekal lama. Aie kembali menyembunyikan diri setelah tidak sampai 30 isu pun komiknya berada di pasaran. Hinggalah saya dapat tahu dan sedar yang masalah-masalah kerakusan monopolis dan ketamakan birokrasi punah-ranah orang gila niaga sekali lagi merencatkan dan merosakkan segala-galanya.

Saya pada waktu ini sudahpun menamatkan pembelajaran pengajian tinggi tanpa ijazah (kerana tidak sanggup mengulangi subjek yang saya tidak suka berulang-ulang kali) telah dibukakan pintu rezeki yang teramat besar kerana berjaya memulakan karier saya sebagai jurnalis/penulis di sebuah syarikat penerbitan majalah terbesar di negara ini. Kemanisan ini makin menjadi-jadi apabila saya diarah untuk melaporkan diri ke jabatan yang baru ditubuhkan iaitu Jabatan Komik.

Sememangnya dan senyatanya:
" Impian boleh menjadi kenyataan "

Saya dengan secara mengejut dan tidak tersangka-sangka diletakkan satu pejabat dengan kartunis-kartunis masyhur tanahair seperti Gayour, Padi, Kobis Bungo dan lain-lain. Selang tidak sampai setahun, lebih ramai lagi kartunis-kartunis dari seluruh negara telah sama-sama berkarya dalam majalah yang baharu diterbitkan oleh syarikat tersebut.

Sehinggalah padan suatu hari yang tiada diduga, saya dan semua tenaga kerja yang terlibat dalam pembikinan dan penerbitan majalah komik dan kartun itu telah didatangi oleh ikon dan idola saya selama ini iaitu Ujang dan kemudiannya Aie.

Disinilah bermulanya hubungan profesional kami dalam bidang seni komik dan kartun secara rasmi setelah bertahun meladeni karya-karyanya. Pertama kali mula-mula berkenalan dengan beliau di pejabat, ternyata Aie adalah seorang seniman yang rendah diri, 'soft-spoken' dan sensitif pada isu-isu yang mewajibkan beliau berasa sensitif. Dari kartunis dan ilustrator sepenuh masa, beliau langsung dinaikkan pangkat sebagai ketua ilustrator dalam masa yang amat singkat. Insan berbakat besar seperti beliau memang layak-selayak-layaknya mendapat pengikhtirafan sedemikian, tidak kiralah di mana jua pun berada.

Tempoh Aie berkhidmat di syarikat itu juga sekali lagi tidak panjang. Sudah sampai ke peringkat ini, akhirnya saya sudah mengerti kenapa beliau memilih dan berkeputusan untuk sering kerap berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lainnya.

Saya yang seolah-olah mengikuti jejak langkah beliau, turut berhijrah ke tempat lain dengan niat untuk berguru dan memanjang pengalaman saya dalam bidang komik dan kartun terutama sekali dalam jurus penulisan skrip dan cerita. Dari sebuah studio penerbit komik antarabangsa, ke rumah produksi televisyen dan filem tempatan, ke markas penyiaran terbesar negara sehinggalah ke makam saya yang termutakhir iaitu dunia penerbitan buku di sebuah syarikat pengeluar buku nombor satu di Malaysia sekarang ini.

Saya walaupun berkelana ke sana dan ke mari, tidak pernah langsung memutuskan silaturrahim mahupun terlupa sepertimana sebelumnya untuk mengikuti perkembangan kerjaya dan berita-berita profesion terbaru Aie.

Ini berlanjutanlah kepada apa yang bakal saya dan beliau akan persembahkan kelak di Auditorium FSSR, UiTM Shah Alam yang bergerak bawah projek 'Siri Workshop Manteraworks 2011 (Signature Series)' kendalian saya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Saya berharap dan berdoa agar segala usaha dan ikhtiar kami menampilkan semula Aie kehadapan masyarakat dan khalayak ramai dapat kembali menyedarkan dan mengingatkan kita betapa seorang karyawan besar dan ikon komik dan kartun negara sepertinya dapat diberikan tempat yang sewajarnya dan seadil mungkin. Kerana kewujudan seniman pejuang dan ikon sepertinyalah, kita semua masih terilham, tetap terinspirasi dan beridea sentiasa.

Kita jumpa nanti di sana dan lihat apa yang boleh kita kongsikan bersama.


MAJU MARA BUAT SEMUA!



Salam,

Faizal Mukhtar
Wazir Manteraworks

Khamis, Oktober 06, 2011

'Aku kalau buat takde yang simple. Semua benda aku buat betul-betul dan kemas biar orang boleh tahu ini bukan kerja malas. Simple bukan cara aku'

HIGHLIGHT HARI INI:

  • Berjumpa dan berdiskusi dengan Firdaus Ariff dan Naim Jaafar untuk projek sinergi bersama Manteraworks
  • Berjumpa dan berdiskusi dengan legenda kartun dan komik Shaari Sulong untuk siri projek grafik novel Manteraworks
  • Berdiskusi secara online dengan Roshfaizal Ariffin untuk sessi career and professional talk akan datang di FSSR UiTM Shah Alam

Rabu, Oktober 05, 2011

'Syabas, bro. Gua dah baca dah MONYET ANGKASA... Tak sabar nak tunggu sambungannya!'

HIGHLIGHT HARI INI:

  • Launching secara rasmi Facebook Manteraworks
  • Berdiskusi secara online dengan Rajif Moksin untuk siri komik terbaru
  • Berdiskusi secara online dengan Wan Nazwani Wan Johan untuk projek pengajian dan penulisan skrip terbaru
  • Berdiskusi secara online dengan Yazid Kamal Baharin untuk sessi career and professional talk akan datang di FSSR UiTM Shah Alam
  • Berjumpa dan berdiskusi dengan Azhar Ahmad, kartunis dan self-proclaimed visualizer untuk projek siri grafik novel Manteraworks
  • Berjumpa dan berdiskusi dengan Adi Nazri, designer Manteraworks

Selasa, Oktober 04, 2011

'Satu sebab yang aku boleh ngam dengan kau sampai sekarang ialah PASSION LUARBIASA kau pada komik'

HIGHLIGHT HARI INI:

  • Launching siri grafik novel PERTAMA Manteraworks - 'Monyet Angkasa' oleh Bophairy Baharum untuk slot Oktober 2011
  • Mendapatkan konsultasi profesional daripada kartunis dan animator, Adnan Samsudin
  • Set-up temunjanji esok (5 Oktober) dengan kartunis dan self-proclaimed visualizer, Azhar Ahmad untuk siri projek grafik novel Manteraworks
  • Set-up temujanji Khamis ini (6 Oktober) dengan legenda kartun dan komik Shaari Sulong untuk siri projek grafik novel Manteraworks
  • Komik artis dan animator Kamal Masrun menawarkan tugasan kerja secara tetap di Ipoh, Perak

Isnin, Oktober 03, 2011

'Nanti datang la lepak bila free. Kita boleh cerita panjang'

( *Bermula dengan entri hari ini dan entri-entri yang berikutnya, aku akan menulis dengan format baru. Ini bermakna pengisian blog aku kali ini adalan berkonsepkan jurnal + travelogue harian. Maka, ada satu lagi blog yang disediakan khas untuk penulisan yang lebih peribadi dan personal. Tujuan adalah supaya semuanya lebih fokus dan lebih terarah kepada perincian-perincian kepada penumpuan matlamat. Ini semua adalah resolusi lazim dalam pembaharuan fasa kehidupan manusia dari satu pengalaman menuju ke pengalaman berikutnya. Terima kasih )

HIGHLIGHT HARI INI:

  • Berjumpa dan berdiskusi dengan Azhar Abdullah, Presiden PeKOMIK untuk projek siri grafik novel Manteraworks
  • Berjumpa dan berdiskusi dengan Mushadie Mustaffa, mantan Naib Presiden PeKOMIK
  • Berjumpa dan berdiskusi dengan Adi Nazri, designer Manteraworkds dan Shahida Bahari
  • Tugasan translation animasi untuk Shamsull Hashim
  • Set-up temujanji Khamis ini (6 Oktober), dengan Firdaus Ariff dan Naim Jaafar untuk projek sinergi bersama Manteraworks
  • Prep untuk launching projek siri grafik novel online Manterworks, 'Monyet Angkasa' bersama Bophairy Baharom

Seperti yang aku sasarkan, masa untuk kembali pro-aktif dan agresif dalam membangunkan kembali karier aku bermula Oktober ini. Beberapa breakthrough berjaya dilaksanakan hari ini bermula dengan pertemuan dengan Presiden PeKOMIK. Akan ada projek terbaru bersamanya yang bakal muncul November ini. Semua masih dalam proses pra-produksi. Kemudian, dengan ketibaan rezeki yang muncul dengan, Sham offer aku buat translation untuk skrip animasinya. Walaupun hanya dengan upah RM30, aku buat juga kerana aku 'terdesak' dan 'memerlukan'. Sejurus selesai kerja itu, aku langsung ke Darussalam SS15 dan lepak dengan designer dan antara orang kanan aku paling taat setia, Adi Nazri plus Shahida. Kebetulan masa lepak ternampak Prem@Mushadie. Terus ajak lepak sama dan borak panjang pasal komik, animasi, IPCC dan beberapa perkara berbangkit lain.

Dalam pada semua itu, aku dan Bop buat pertama kalinya bergabung karya dan idea untuk launching siri grafik novel 'Monyet Angkasa', sebuah hasil terbaru yang boleh lah dianggap sebagai langkah awal aku untuk bikin comeback semula setelah sekian lama tidak ada penulisan tetap dan konsisten. Ia adalah komik aku daripada dua lagi komik baru yang bakal muncul pada bulan November dan Disember. Ini termasuk juga pertemuan susulan aku denan Firdaus Ariff dan Naim Jaafar pada hari Khamis nanti.

Aku mahu early start-up untuk 2012.


p/s: Semalam Shahida, partner-in-crime Adi kata aku dah nampak kurus. Aku masih tidak pasti sama ada itu relevan atau sengaja berseloroh.

Ahad, Oktober 02, 2011

Sabtu, Oktober 01, 2011

Time for a 'game-change'

Today is the day that I have to set and re-set things again. I've seen this coming. And it is time everything has to make way for a new wave of makeovers once more. For whatever reason(s) that will come now, let's make it worthwhile.

Time is of the essence.

Blog Archive

Cari Blog Ini

Dikuasakan oleh Blogger.

A Block of Text

A Block of Text


Hi. Saya kenal anda. Mungkin anda tidak kenal saya. Tiada masalah. Mari berkenalan!

About Me

About Me

Blogger templates

ENTRI TERBARU

DEMI YANG TERCINTA!

Esok adalah hari penentuan untuk sebuah tarikh. Telah aku tetapkan selama 44 hari sejak Awal Muharam dalam fasa memperbaiki dan memperniat...