Isnin, November 30, 2009

Chelsea. Kejaguhan kau kini tiada tolok bandingnya.

Dalam kelompok big 4, Chelsea dah tumbangkan ke semua big 3 (konon) lain iaitu Mengenchesteh United, Liverfool termasuk dan yang terbaru - Arsenal malam tadi dengan jaringan besar juga.

Ada lagi yang nak persoal teraju takhta dan kejaguhan budak-budak aku musim ini??

Majlis berkabung pasukan merah secara berjemaah ramai-ramai secara rasmi oleh Drogba malam tadi.

Jumaat, November 27, 2009

Rebiu: NUR KASIH

Dalam pensejarahan drama TV Melayu di negara ini, hanya ada beberapa gugusan slot cerita sahaja yang mencapai tahap kepuasan yang mengesankan, memberikan suntikan yang sungguh mendalam, mantap dalam sampaian mesej dan moral serta mencipta ribuan dan mungkin juga sejuta pengikut setia saban minggu untuk menontonnya. Dan kebanyakan dari siri bermusim ini terwujud pada era 80an dan awal 90an, yang mana rata-ratanya diungguli oleh sitkom dan hanya segelintir sahaja drama yang benar-benar hebat. Opah, Naik Tangga Turun Tangga, Rumah Kedai, Santan Berlada, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, 2+1 dan beberapa lagi adalah sebagai contohnya. Semenjak itu, aku berpendapat dan mengamati bahawa hampir semua cerita-cerita bermusim atau bersifat episodik drama Melayu di TV cuba dan terus mencuba mencipta 'sesuatu' namun masih tetap belum mencecah keberkesanan sebuah klasik yang tersebut.

Sehinggalah muncul NUR KASIH.

Siaran drama Islamik kontemporari yang disiarkan di TV3 setiap Jumaat, tanggal jam 9 malam kini sudahpun berakhir sebentar tadi. Aku mengikhtiraf drama ini sebagai sebuah drama yang mempunyai kriteria dan kualiti keberkesanan dan kepengaruhan seperti yang di atas. Aku juga mentakrif NUR KASIH sebagai sebuah 'instant classic' yang merupakan garapan-garapan nilai murni serta adunan plot penceritaan yang cukup mengalir kemas ke benak hati dan akal sesiapa saja yang menjadi follower atau fan tegar. Emosinya tinggi tetapi sederhana. Tidak dapat tidak, aku merasai watak dan perwatakan yang cuba dikait-alun dengan kehidupan kita masyarakat Melayu umum dan insan Muslim secara khusus. Cinta yang tidak berbalas, ujian yang getir dari Tuhan, penyesalan dalam berkeputusan, hijab rasa dan nurani yang disingkap, kuasa takdir dan ketentuan, keramat kasih-sayang ibu bapa dan keluarga, pengalaman yang tidak putus mengajar kita erti hidup dan pelbagai lagi susuran galur amal dan penyerahan kita sehari-hari terhadap apa yang tertulis dan tersirat.

Sesekali amat sukar untuk aku tidak meremangkan rasa emosi dan perasaan di dalam menghadam dan meresapi cerita ini dari minggu ke minggu. Nur Amina, Adam, Aidil, Sara, Aliya dan semua kehadiran watak dan perwatakan yang pernah muncul dan wujud dalam drama ini akan terus menjadi sumber kekuatan NUR KASIH. Nadinya pula adalah realiti kehidupan yang mungkin aku atau kau pernah hadapi dan lalui. Malah, olahan drama ini ber-klise longgar dan stereotype-nya pula hampir-hampir tidak ada.

Mungkin ada yang beranggapan cerita ini agak keras Hindustani ala Kabhi Khushi Kabhie Gham(terutama di hujung-hujung episod menuju ke episod akhir) atau menjurus ke arah mahar novel pembangun jiwa persis Ayat-Ayat Cinta karyareka Habiburrahman Shirazy, aku tetap berpendirian bahawa NUR KASIH ada miliki tunjang keutuhan sendiri. Lupakan teknik flash forward yang terlalu kerap digunakan untuk episod hari ini atau betapa banyak kali parut di muka Adam, sahabat Adam di India dan Sara di ulangpakai di bahagian pipi kiri atau hi-dramatik setting yang terlalu pantas. Tidak ada pengistilahan sempurna di dalam dunia ini.

Terima kasih buat Mira, Maizura dan Mariana yang berkesanggupan menulis, mengkaji, mencerna, memapar dan menjadikan NUR KASIH sebuah sari cerita yang menarik. Syabas untuk Kabir Bhatiar dan Faizal Ishak di atas arahan visi yang unik dan membuah ranum. Tidak perlulah aku merungkai satu persatu betapa superb-nya pembawakan sinematografi yang di canting di atas larikan layar TV. Jikalau filem, sudah tentu bergandalah jua kesannya dan efeknya. Terutama tang color scheme dan graduation yang mewarnai olahan babak serta shot. Sebab itulah ia dipanggil sinematografi. Penerbit, pengiklan dan penajanya juga boleh tersenyum girang kerana sudah nampak apa yang tidak ternampak sebelum ini. Kalau tidak masakan ruangan iklannya panjang-panjang dan penggambarannya pula dibikin di 4 buah negara berasingan! Jika ada perumpamaan Inggeris yang pantas aku ingin berikan adalah mereka akan 'laughing all the way to the bank' kelak. Malah, Joe dan Adilan serta konco-konco klik editor di bilik suntingan juga boleh menarik nafas lega semuanya berbaloi lebat berhasil di mata peminat. Gua caya sama lu orang! Nanti free kita open table kat uptown pekena lepak sampai lebam lagi. Lu belanja Joe.

Kini, Jumaat malam berNUR KASIH sudah berlalu dan tiada lagi. Hakikatnya begitulah sebuah drama TV Melayu klasik dicipta. Ada permulaan dan ada penghabisan. Ada jiwa. Ada 'soul'. Ada rasa yang cukup. Ada nikmat hidayah yang membina. Ada meninggalkan kesan pada hati. Ada NUR dan ada KASIHnya.

Semoga di suatu masa yang kelak mendatang, ada yang hadir menyambut kelahiran klasik ini dengan jelmaan yang lebih manis dan cantik hendaknya.

Serius. Kita perlu lebih ada banyak cerita yang betul-betul membina. Baru fenomena.

" Tuhan tidak akan menguji manusia yang di luar batas kemampuannya. "
- Adam, NUR KASIH. Episod Akhir.

p/s: ALIFF FIRDAUS akan menggantikan slot NUR KASIH tidak lama lagi untuk yang belum sedia dimaklumi. Aku memang mengharap NUR KASIH berakhir begitu sahaja tanpa ada NUR KASIH 2. Dan ALIFF FIRDAUS ini tidak ada kena mengena dengan Alif Firdaus Azis Hantu Silap Mata. Untuk yang miss atau tak sempat follow dari awal, vcdnya dah ada jual kat kedai. Terima kasih.

Khamis, November 26, 2009

Rabu, November 25, 2009

sarung puaka, stokin sakti.

Semalam ada sorang mamat kaya dari Hong Kong sudah angkat satu sarung tangan Mikel Jeksen dengan harga hampir setengan juta, siap dengan duti dan cukai entah hapa entah lagi. Aku sendiri taktau apa sakti atau puakanya sarung tangan sehingga tingginya nilai sebegitu rupa.

Aku ingat nak lelong stokin bola aku yang 18 minggu tak masuk mesin tu. Berapa agaknya nilai paling tinggi di pasaran semasa bila mula di bida nanti?

Tapi yang pastinya, lagi ekonomi dan berfaedah dari sarung tangan Mikel Jeksen.

Isnin, November 23, 2009

Musim sejuk yang dingin.

Musim cuti sekolah menandakan sekali lagi datangnya intisari-intisari kenduri kendara yang meraikan pasangan yang di ijab qabul atas mahligai perkahwinan. Dari pagi membawa ke petang, dari petang membawa ke malam. Semuanya ada aturan cara dan gubahan tersendiri.

Hari ini aku berkesempatan untuk menziarahi keduanya. Malah yang satu itu, aku terbabit secara langsung atas tiket saudara sekeluarga. Kebetulan pula, saudara aku itu mengahwini seorang pembaca tegar ruang blog ini. Tidak aku sangka sama sekali. Yang satu lagi pula atas jemputan mewakilkan.

Tahun dan masa yang sungguh selesa mengadakan majlis. Cuacanya redup dan iklimnya menyejukkan.

Sesejuk dan sedingin hawa yang meresap singgah ke benak hati.

Hari ini juga di habisi dengan satu berita kewafatan seorang saudara jauh yang dekat. Memberi paluan kesedaran tentang yang kita lupa dan yang mana alpa.

Ahad, November 22, 2009

Jumaat, November 20, 2009

Khamis, November 19, 2009

Nasib badan di daun keladi.

Kesulitan dalam menghadapi pengstrukuran semula komputer peribadi gua telah mendidik gua dalam banyak sudut. Tapi tidak semua didikan yang gua terima secara langsung dan tidak langsung itu dapat masuk ke dalam kepala gua dengan sempurna. Benak gua dalam bidang IT agak liat kalau hendak dibandingkan dalam bidang-bidang lain. Ya, IT dan ilmu hisab. Memang foul. Bolehlah di ibarat seperti mencurah air di daun keladi. Daun keladi itu adalah gua.

Tapi bukankah ciptaan teknologi dan penaiktaraf-penaiktaraf perisian berfungsi untuk menyenangkan hidup kita semua dalam menguruskan kendalian kerja harian?

Atau adakah ianya hanya menyusahkan dan memberatkan lagi bebanan yang sedia ada kiranya tidak kena pada cara dan kaedah?

Gua hanya mengusap ubun dan mengurut dahi. Susah boleh jadi senang kalau kita tahu. Senang boleh jadi susah kalau kita tak tahu. Kalau gua banyak bertanya, maka banyak jugalah jawapan yang gua dapat. Ikut papan tanda, manual, arahan, skematik dan arahan pasti akan bertemu penyelesaian. Mak dah pesan ayah dan bilang. Kawan-kawan tukang tegur. Apa nak jadi, pasti bersebab. Gua tersasar sedikit sekali lagi. Apa ni? Orang lain boleh buat takkan gua tak boleh?

Nasib badan.

Nasib badan.

Atau apakah gua harus sahaja bertukar ke typewriter berwi-fi tinggi?

Sabtu, November 14, 2009

Cinta berkesan tabloid membakar segala.

Berita di mukadada kebanyakan hadapan akhbar hari ini hanya menggemparkan gua tahap sederhana besar sahaja. Tambah-tambah lagi yang formatnya adalah tabloid. Orang kita memang suka drama hidup sebegini. Sensasinya lebih berselumbar lantas menarik perhatian untuk dijadikan bahan bacaan di hujung-hujung minggu. Gua terpaksa sengaja memasuki jerangkap yang sama. Habis laku putaran bisnes niaga syarikat suratkhabar tabloid bumiputra itu yang memang laku bagai pisang yang digoreng panas tatkala tiba hujan di petang hari. Nyata membaca tabloid sambil menunggu kereta di mandikan adalah suatu program urus masa yang ampuh.

Sepucuk pistol separa otomatis buatan Jerman berkaliber Walther P99 yang harganya RM20,000 di beli dipasaran gelap untuk membuktikan cinta cemburu buta adalah segalanya. Usia bukan penghalang, kerja apa buat apa, waktu apa naik apa, gaduh apa cakap apa. Emosi terlalu tinggi hingga meracun benak akal. Tidak terkawal luka dan lara maka tiga tembak bulat tepat ke siling tanda 'aku dah tak pedulik apa nak jadi... jadilah!'. Masa ni memang dah tak pedulik betul sebab kalau dia pedulik mesti dia tahu: Kes ini adalah di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Hukuman Berat) 1971 yang akan membawa kepada hukuman mati mandatori.

Demi cinta, kita rela korban jiwa dan raga. Mungkin raga setengah orang lebih besar dari raga orang lain.

Tetap sederhana besar juga kerana apalah erti cinta kalau sudah dirasuk perasaan-perasaan lain yang 'bukan cinta'. Yang sebenar korban kepada cinta itu ialah mungkin tamsilan sejarah dahulu kala atau mitos kasih sayang berakhir tragedi. Yang sanggup telan racun hingga hilang nyawa, yang jadi gila akibat terlalu meratap harap atau yang rela gadaikan negara dan maruah bangsa. Semuanya atas dasar emosi dendam cinta terlalu mendalam atas sebab yang bukan-bukan. Kalau dah dalam itu, pastilah gelap dan kelam. Kalau tidak bersuluh, haruslah hanyut dan tenggelam. Sungguh, gua pun tak pasti apa punca sebenar selain cemburu yang bukan-bukan. Gua bukan orang itu. Esok-esok gua kena selak akhbar tabloid lagi. Tapi kali ni gua taknak beli. Gua cuma nak tau apa alasan yang lebih masuk akalnya dan apa statement media. Bukan tabloid dan yang juga tabloid. Mesti lebih lagi warna-warni.

Kiranya Romeo Montague, Qaysh Majnun, Jeneral Mark Anthony sedang membaca akhbar tabloid itu di sisi gua pada hari ini sambil menunggu kereta masing-masing siap dibasuh... pasti semua akan berjabat pendapat dan tersinis senyuman yang sama tentang pengorbanan, wanita dan cinta.

p/s: Friendly match mana lagi sedap, ITALY vs HOLLAND atau ENGLAND vs BRAZIL??
.

Jumaat, November 13, 2009

Discourse kelab Street Fighter 2, persatuan mesin kuda kencing dan gerakan Darmalinggam terunggul.

Semasa gua sekolah, gua selalu dipaksa-paksa buat benda yang bukan kerelaan hati gua. Benda itu adalah seperti berambut pendek sisir kilat ala pegawai kesihatan, pakai tali leher hari Isnin, lekat lencana sessi kecik tepi kolar yang kalau basuh mesti ghaib, beratur nak beli nasik time rehat, berdiri tegak macam tugu negara bila loceng nak masuk sekolah, main bola padang macam kat Afghanistan, isi kad pinjam buku pusat sumber, karang surat cinta dan jadi posmen cinta untuk kutu-kutu,dan lain-lain lagi.

Paling gua tak ngam bila dipaksa, terpaksa dan kena paksa hadir ko-kurikulum hari Sabtu. Dah la hari Sabtu waktu perdana kartun kat TV. Sistem persekolahan tidak faham langsung dengan keperluan sosiologi dan psikologi gua pada masa itu. Itu nafkah batin gua. Terlepas tengok kartun pagi Sabtu perasaannya ibarat kecewa cinta tidak berbalas yang tidak tergambar dengan kata-kata pada makwe idaman. Dan ko-kurikulum itu umpama orang ketiga yang menghancurkan segala. Bedebah punya ko-kurikulum hari Sabtu. Macamana gua nak debat dan berhadapan dengan Darmalinggam nak konco-konconya nanti?

Tapi berapa ramai yang tidak tahu dan tidak ambik tahu, pada hakikatnya gua telah terlalu banyak bergiat aktif dalam arena ko-kurikulum sekolah sejak dari peringkat KBSR lagi sehinggalah ke peringkat KBSM. Sungguhpun bukan Sabtu, hari-hari biasa pun gua jalankan aktiviti kelab dan persatuan yang gua sertai itu. Ahli pun ramai. Rajin, setia, tanggungjawab dan komitmen tinggi, kedatangan penuh, yuran tak pernah miss dan jadualnya sentiasa padat.

Antara kelab dan persatuan yang gua sertai dan menyandang jawatan-jawatan penting adalah kelab lawan batang aiskrim, panitia sayembara tutup botol oren tahap 1 dan tahap 2, kelab tepuk daun terup mini cap Transformers, GI Joe dan Ninja Turtle (3 tahun berturut-turut), persatuan mansuh Darmalinggam, kelab main game dalam kelas komputer, persatuan arked edisi Super Contra, Galaga, Space Invaders, Street Fighter 2 dan Tetris, persatuan mesin kuda kencing (setengah penggal. Bersara awal atas alasan SPM nak dekat), majlis tertinggi kelab key-burn alatan dan radas makmal sains buat pegi camping kat Sungai Congkak, setiausaha kehormat gerakan ngurat awek-awek sekolah lain aliran cun, kelab sorong basikal dalam kawasan sekolah, kelab tak bawak baju PJ waktu PJ, kelab datang lambat, kelab panjat gate sekolah dan lain-lain lagi.

Kan gua dah cakap. Banyak.

Tapi malangnya, semua persatuan dan kelab ini tidak didaftarkan kepada sekolah dan pihak PIBG kerana terlalu ambitious, subversif dan seorang pelajar jiwa kental bernama Darmalinggam.


p/s: Untuk rekod, gua tidak pernah nampak Darmalinggam bawa buku teks apatah lagi perkakasan tulis ke sekolah. Di dalam bagasi sandangnya kerap sahaja sarat di isi dengan batang aiskrim yang beraneka rona, tutup botol oren bertahil-tahil dan bekas tin coklat. Dalam darjah 2 Teratai, dia digelar Darmalinggam Terunggul. Gua dengar dia tengah berkira-kira nak beli Facebook sekarang ni.

Khamis, November 12, 2009

Impian gua masih menanti giliran.

Meresap semangat padu nan jitu Chee, Milx, Adijin dan yang lain-lainnya di medan antarabangsa.

Sekali sekala tu, gua berimpian untuk pergi berkarya di 'tempat orang'. Teringin juga gua nak merasa wang hasilan kerja yang selain dalam bentuk nota Ringgit. Ada sorang tu, hujung tahun ni sudah siap siaga hendak kawin lagi gara-gara dah rasa duit pound sterling. Ya, mungkin rezeki dan mungkin juga jodoh. Atau mungkin juga kombinasi keduanya.

Di sana pool of talent-nya lebih besar. Crowd-nya juga lebih besar. Level of interest juga tinggi. Maka apressiasi pada karya dan seni amatlah mendebarkan serta kiranya kena pada gaya, meng'harta'kan juga. Yang di atas ini, semuanya sudah merasa nikmat yang benar-benar kenikmatan lingkupan profesionale serta betapa unggulnya bergelar seniman berjuang atas kecintaan pada senikarya kita. Berjuang dalam lapangan yang kita minat dan berpencak pada gelanggang yang kita suka.

Gua masih memegang impian itu.

Impian untuk berkarya-juang di pentas yang lebih lapang, punyai pencak yang kemas dan penghasilan minat pada benda yang kita suka. Karya kerinduan itu gua tanggung sendiri.

Rabu, November 11, 2009

Cerpen Hari Ini berjudul…

.
‘ ISNIN YANG JUNUN ’


Sebuah cerita tiga babak yang penuh pengajaran duniawi dan ukhrawi. Tidak kira di mana jua anda berada. Klasifikasi (U)


Babak 1: Pagi

Pagi itu sungguh awal tapi damai. Gua bangkit dalam keadaan mata berselepet yang belum pun kebah dari hujung minggu yang sungguh sarat dan padat dengan peristiwa-peristiwa penting dalam kalendar bolasepak, lokal dan antarabangsa. Tidur gua pun hanya tidak sampai berapa jam sahaja. Ini semua gua harungi atas dasar tanggungjawab kepada ibu gua yang baru sahaja kehilangan beg sandangnya. Dicuri pencuri semasa di masjid semasa hendak solat di siang hari kelmarin lepas. Orang sekarang kalau memilih profesion sebagai pencuri memang tidak kira. Asal dapat hasil curian, sudah. Azab dan kemudian hari bagi mereka tidak langsung wujud dalam benak akal dan hati.

Tempat pertama yang kami tuju sesudah Subuh itu adalah Balai Polis. Di sana laporan dibuat. Disebabkan hari masih pagi-pagi lagi, gua dapat lihat bagaimana anggota-anggota sedang berhimpun depan balai macam berhimpun depan sekolah hari Isnin, sambil diberikan taklimat kerja masing-masing. Di dalam bangunan itu pula, ada beberapa anggota berpangkat tinggi sedang berbual-bual. Dari segi intonasi dan naik turun bicara suara, gua rasa kaget. Kaget kerana sudah bertahun-tahun rancangan Gerak Khas ke udara di dalam kaca televisyen, rupanya langsung tidak sama dengan gambaran yang gua saksi di luar kaca televisyen. Tapi kenapa sehingga ke hari ini, amat bersungguh-sungguh rancangan Gerak Khas menggunakan dialog-dialog bahasa dewan sedangkan di balai ini biasa-biasa saja gua tengok cara mereka cakap. Televisyen perlu elakkan kekeliruan ini. Polis juga manusia biasa, bukannya pakar bahasa dewan macam yang dalam kaca televisyen itu. Tak ubah macam TV pendidikan sahaja walau sudah lebih 15 musim ke udara.

Lepas, itu kami ke JPN Shah Alam untuk membuat IC sementara ibu gua. Di sana tidak ramai orang sebab hari ini mungkin hari Isnin. Tambah pula cuti sekolah tidak mula lagi. Budak-budak dan orang-orang nak kahwin belum start datang. Atau mungkin ramai orang yang pada asalnya ingin datang ke sini pada peringkat awalnya tidak jadi datang sebab pasukan bolasepak yang mereka puja tewas, langsung kecewa tak sudah. Semasa di kaunter, pegawai yang bertugas bertanyakan kalau ada peluang, bolehkah dia belajar ngaji dengan ibu gua dan berapa bayarannya. Ibu gua dengan tenang menjawab, ‘Datang aje, bayaran tidak dikenakan’. Gaya bahasa ibu gua tiba-tiba sahaja mempunyai ketokohan gaya bahasa persis penjawat awam. Ibu gua percaya bahawa segala ilmu pengetahuan, tambah lagi ilmu agama-agama tidak boleh dihitung dengan wang ringgit atau mana-mana matawang lain. Ilmu pengetahuan dunia lebih-lebih lagi yang akhirat adalah wajib dimiliki dan dikongsi bersama. Mungkin sebab itu ibu gua tidak pernah mengalami krisis kewangan kerana kerja yang dibuat ikhlas dan penuh keredhaan biar segawat manapun ekonomi global. Tak macam gua. Kadang-kadang soal air kosong boleh berkira dan hingga bergaduh-gaduh dengan mamak.

Kemudiannya kami terus ke destinasi seterusnya iaitu di JPJ cawangan Padang Jawa. Gua ingatkan lama berurusan di JPJ ni sebab orangnya lagi ramai merusuh dari Balai Polis dan JPN. Tapi tak sampai setengah jam dah settle se-settle-settle-nya. Gua harus teruskan berguru dengan ibu gua bagaimana hendak melancarkan perjalanan hidup ini walaupun diasak masalah sebesar dinosor dan dicabar dugaan sebesar gunung Kalimanjaro. Gua taktau sebab apa gua pilih perumpaan Kalimanjaro. Cuma bunyinya sedap.

Kalimanjaro.

Tak sampai pun detik jam mencecah jam 12 tengah hari, semuanya sudah diurusi dengan sempurna. Termasuklah dengan kad bank yang telah di blok dan nombor henset 3G yang telah dicantas. Sedangkan gua dah nak masuk 18 bulan, tidak juga langsung me-renew-renew cukai jalan gua yang dah expired berkurun lamanya. Apa nak jadi dengan gua, hanya gua yang tahu. Ibu gua memang handal.


Babak 2:
Petang

Waktu ini tepat jam 3.45 petang, gua ada temujanji merangkap temuduga untuk mendapatkan kerja tetap. Untuk rekod, ini bukanlah temuduga pertama gua semenjak kerancuan ekonomi global melanda dunia. Gua pun tak berapa nak ingat berapa tapi yang pastinya sudahlah banyak kali gua keluar masuk pejabat dan ofis orang minta kerja kosong. Sampai ada 2-3 jawatan tu memang gua tak jangka gua boleh pohon. Akibat terdesak dan tekanan dari masyarakat dan kejiranan, gua belasah aje. Itu pun tak dapat. Mungkin Tuhan tak izinkan gua kejar ‘pekerjaan’ seumpama itu. Out of character barangkali.

Gua sampai lewat ke pejabat yang hendak ditemuduga itu. Alasan yang diberikan cukup lazim iaitu hujan lebat. Padahal iklim takde kena-mengena pun dengan kelewatan gua. Nasib baik makwe yang tanya gua kenapa gua lambat tu cakap ‘Takpe, it’s OK’. Kalau tak jenuh gua nak carik alasan lain dengan syarat tidak membohong. Nanti kalau bohong takut tak dapat keberkatan kerja pula.

Sessi temuduga dijalankan dalam sessi yang semi-formal memandangkan 2 daripada 4 eksekutif yang menemuduga gua itu adalah kroni gua. Tapi disebabkan kroni, yang bukan kroni tanyakan soalan yang agak susah juga. Seperti, ‘Awak ni belum kahwin?’, ‘Awak ni orang Jawa ke?’ dan ‘Berapa gaji nak?’. Gua saspek ada orang dalam feed maklumat peribadi ini kepada eksekutif tersebut. Tapi, gua ada mengaku juga yang gua ada sikit terlepas slanga berbahasa ibunda gua. Sedia maklum, lidah gua tidaklah akrobatik sangat .

Entah kenapa, gua rasa temuduga kali ini rasa macam memakan jerangkap diri sendiri. Ada jawapan yang best sepatutnya gua boleh jawab dalam perjalan balik, gua bagi jawab yang meracau-racau pula tadi. Orang meracau pun tak meracau macam gua. Ada sekali-dua tu, lain yang ditanya… lain pula yang dijawab. Macam luncai kehilangan labu gua rasai.

TIPS/ MORAL: Sebelum pergi temuduga lain kali, jangan lupa mandi. Keadaan kurang air mungkin akan mempengaruhi minda bawah sedar kita.


Babak 3:
Malam

Disebabkan petang hujan, malamnya gua main badminton secara beregu dengan Faizal Kucing, Asrul Ronggeng dan Nik Mat Nik Mut sebagai aksi sukan menggantikan acara tendang bola petang-petang. Asrul Ronggeng yang bayarkan bagi pihak gua sebab gua dah kering untuk hari ini.

Dan oleh kerana itu juga, gua terpaksa buat-buat kalah disebabkan gua sudah terhutang budi pada Asrul Ronggeng. Bukannya gua tak terer membuang smash tanggung macam Alan Budi Kesuma atau bikin backhand pembunuh ala Joko Suprianto di zaman kemuncak . Gua saja tak menang. Nanti kalau gua tunjukkan kemahiran sebenar gua, dituduh berlagak kambing pula. Tambah lagi ada gadis-gadis manis curi-curi tinjau di gelanggang belakang.

Maka, sederhana itu kan adalah lebih bagus adanya.

Permainan badminton kami malam tadi secara keseluruhannya lebih ke arah pertunjukan sarkis bergerak Royal London.

Pantang ada makwe. Mulalah si Ramlee tu.


TAMMAT
.

Selasa, November 10, 2009

Isnin, November 09, 2009

Prebiu 10 sebab-musabab Perlawanan Tumpuan Liga Perdana Inggeris dinihari ini: The Chelsea VS Mengenchesteh United.

Tengok bek Mengenchesteh United. Lihat pula pemain The Chelsea. Tidakkah ini satu tindakan taktikal yang memakan jerat sendiri, tuan-tuan sekalian?

1. Taktik Mengenchesteh United 2-3 menjak ini memang aneh. Sampaikan gua keliru, Rooney sebenarnya main bahagian apa?

2. Sumbangan Kapten Terry memang tidak dapat dipersoal setiap kali bertemu team-team yang kononnya dipertaruhkan untuk mengalahkan Chelsea. Kononnya sahaja. Terima kaseh, Kapten.

3. Gua telah memperluaskan tanah jajahan keramat kemenangan gua kini di triniti mapley Subang Jaya yang baru bernama Mamak Bistro, Emak Nik Cafe dan Restoran S.Sukumaran. Biarpun pertama kali menonton pertembungan The Chelsea VS Mengenchesteh United di situ, atmofear-nya memang ngam untuk di ulang lain kali.

4. Gua hitung beberapa kali, banyak fan Mengenchesteh United lebih mengkritik dari menyokong team pujaan mereka. Apa pasal? Sampai kucar-kacir Neskape tarik dengan roti telur gua. Terutama sekali kutu bernama Anhar Kabiruddin, Ali Kutik, Faizal Kucing, Izwan Rhino dan Abdul Nik Mat Nik Mut. Lebai Muda Daud tak kira. Dia budak Arsenal yang hanya nak tumpang pekena bihun sup basah tengah-tengah malam buta.

5. Tiada insiden bakar kerusi, mercun, kain rentang dan bendera sebentar tadi. Namun, jurukamera berjaya menangkap footage seorang penyokong berkaca mata hitam sedang kesedapan menggosok gigi semasa game sedang rancak berlangsung. Anda di rumah ada perasan tak? Pelik tapi benar. Memang Misteri Nusantara. Mungkin terlalu ghairah memberi sokongan padu sehinggakan tidak sempat berdandan sebelum menuju ke stadium. Fanat betul.

6. Apapun, Drogba memang nak mintak kena jual. Dalam banyak-banyak player, dia yang paling gua gusar dalam ketumbukan askar The Chelsea. Dah tak musim dah ooii taktik tu...

7. Vidic tersengih kambing tengok Drogba kena Ong Bak dengan protege dia. Memang dasar Serbian. Cantona juga mungkin turut tersenyum bangga.



8. Kurang gaduh pula game ini hari. Kad Merah pun tiada. Kagum.

9. Evans, Fletcher, Carrick, Giggs dan Anderson. Kaki kero.

10. Habis game, gua tertunggu-tunggu reaksi Ferguson menempelak pengadil. Ternyata hampa. Dia terus sahaja ke bilik persalinan dengan air wajah yang membungkam bisu. Apapun... hayati kata-kata pengulas TV ini yang sempat gua hafal, "Five minutes of what is now commonly known as 'Fergie time' was played and the Scot's side pressed hard but Chelsea, as for the previous 90 minutes, were resolute at the back. The assistant referee is constantly keeping an eye on Sir Alex." Mungkin kata-kata ini yang telah mengguris hati kecilnya.

Sekian sahaja laporan dari kubu kuat nan kental Stamford Bridge cawangan mapley kejiranan gua. Akhir kata, majulah bolasepak untuk The Chelsea.

Ahad, November 08, 2009

PILIHAN KEDAI KOMIK ONLINE MINGGU INI (8/11/2009)

FINAL CRISIS #1 - #4
(set lengkap hingga #7 tanpa lukisan J.G Jones)
Keluaran: DC Comics
Penulis: Grant Morrison.
Pelukis: J.G Jones dengan bantuan
Doug Mahnke, Carlos Pacheco.
Harga: RM20.00

Di dalam keadaan dunia moden hari ini yang mana harga komik ditekan-tekan oleh krisis kewangan yang semakin meruncing, komik pilihan di atas mungkin dapat menjawab persoalan lu orang. Sekiranya lu orang semua memerlukan sebuah komik berbentuk pakej semua-dalam-satu yang dapat merangkumkan kejadian-kejadian terkini yang berlangsung sepanjang beberapa tahun lepas selaras garismasa (timeline) dunia komik itu sendiri, FINAL CRISIS termaktub jawapannya. Kredit buat Grant Morrison dan J.G Jones kerana berjaya membuatkan komik ini sebuah epik komik yang padat dan memuaskan. Ceritanya kemas, lukisannya pun cantik.

Semuannya bermula apabila Darkseid, bapak segala kejahatan ala-ala Rawana dalam epik Mahabrata dan segala konco-konconya merasuki tubuh superhero-superhero kita. Maka dia yang tidak pernah turun dari takhtanya di Apokolips itu, telah melancarkan satu rancangan berskala maksima untuk menakluki muka bumi pula setelah mengidamkannya sekian lama. Memang jahat gilababi. Menambahkan saspen dalam komik ini adalah kejutan-kejutan besar ngalahkah kejutan AF, pendedahan tukang tali barut dan kematian yang tak terduga! Setiap satu isu mini siri yang terkandung akan pasti menerbitkan rasa gempar pada penghujung mukasurat sebelum tertera kata-kata, ‘…to be continued’. Apa taknya, tengok covernya sahaja sudah mendatangkan risau yang berbunga resah. Tidak dapat dinafikan, penutup kepada trilogi epik DC Comics ini ternyata berbaloi. CRISIS ON INFINITE EARTHS(1985-1986) adalah pembuka sari ceritanya, disusuli pula dengan INFINITE CRISIS(2006) dan FINAL CRISIS ini adalah penutup segala.

Antara karakter yang harus diberi perhatian dalam komik bersejarah ini adalah Martian Manhunter, Wonder Woman dan sudah tentulah Batman. Impaknya sangat terkesan dan berlarutan sehingga ke hari ini.

Faktor-faktor sebegitulah yang membuatkan komik FINAL CRISIS terpilih sebagai komik pilihan KEDAIKOMIK online minggu ini.

* Juga sedap di layan bersama judul komik ini :
1.
COUNTDOWN TO FINAL CRISIS #1 | RM15.00
2.
DC UNIVERSE: LAST WILL AND TESTAMENT #1 | RM18.00
3.
INFINITE CRISIS #1
(JIM LEE/GEORGE PEREZ COVER) |
RM15.00
PRELUDE TO INFINITE CRISIS | RM25.00
COUNTDOWN TO INFINTE CRISIS | RM20.00
INFINITE CRISIS: SECRET FILES AND ORIGINS | RM20.00


DARK AVENGERS #1
Keluaran: Marvel Comics
Penulis: Brian Michael Bendis
Pelukis: Mike Deodato Jr.
Harga: RM25.00

Mula-mula Avengers. Lepas tu New Avengers. Ada pulak Mighty Avengers. Tapi apakejadahnya Dark Avengers ni? Ya. Jangan khuatir. Ianya akan dijawab jua disini.

Selepas selesainya pertempuran yang maha dahsyat menumpaskan penaklukan armada tentera makhluk asing Skrull yang berlangsung dalam mini siri terhebat SECRET INVASION(2008-2009), Norman Osborn@Green Goblin dengan secara rasminya telah diberi mandat untuk menerajui hal ehwal keselamatan Amerika Syarikat dan dunia dengan memansuhkan SHIELD dan mengusir Tony Stark@Iron Man dari jawatan ketua komander. Dia sendiri telah menubuhkan unit khasnya dibawah jata HAMMER sebagai ganti kepada SHIELD. Ini juga memberi peluang kepada Norman Osborn untuk merekrut gengsi-gengsi dari kaum kerabat penjahat dan menyamar laksana superhero Avengers sendiri untuk menangkap pemberontak gerakan Avengers-Avengers tidak berdaftar yang lain, yakni New Avengers dan Mighty Avengers dan siapa-siapa yang tidak bersekongkolan dengan gerakan beliau.

Cerita komik ini bertitik-tolak dengan Doctor Doom meminta bantuan Dark Avengers untuk menahan serangan ke atas kerajaan Latveria di bawah naungan Doctor Doom yang diasak oleh musuh lamanya yang sungguh misteri. Namun, kesudahan komik ini memanjangkan lagi misteri lain pula, yang mana makin menyusahkan Norman Osborn dan angkatan Dark Avengers yang serba sadis!


* Juga sedap di layan bersama judul komik ini :
1.
THUNDERBOLTS #110 | RM15.00
2.
UNCANNY X-MEN/DARK X-MEN: UTOPIA #1 | RM18.00
3.
SECRET INVASION #2 | RM18.00
SECRET INVASION #4 | RM18.00
SECRET INVASION #5 | RM18.00
SECRET INVASION #6 | RM18.00
SECRET INVASION #7 | RM18.00
SECRET INVASION #8 | RM18.00
SECRET INVASION: X-MEN #1 | RM15.00
SECRET INVASION: THOR #1 | RM15.00

Lebih banyak pilihan dan senaraian komik-komik di

Sekarang! Ayuh sertai KEDAI KOMIK ONLINE @

Sabtu, November 07, 2009

Sonata musim hujan untuk orang-orang kita yang suka bola level cawangan final Piala Malaysia 2009.

Peraduan teka mana mercun sebelum game mula? Pemenang akan layak mendapat tawaran menjadi jurukamera stesen TV sit depan secara kontrak bermusim menggantikan seorang jurukamera yang cedera dan kini terkena jahitan di hospital. Tanpa terma dan syarat membujur lalu melintang patah. Amacam, ada berani ka??

Maka 3-1 jualah keputusan muktamadnya malam ini. Walaupun sebanyak mana dibakar dan dinyala mercun, bendera, kain rentang dan kerusi itu, tidak dapat apa yang dapat merubah akan nombor di papanskor. FRU berdiri tegak laksana tiang, bomba berlarian kencang umpama dikejar jembalang api. Sudah dibilang, sudah diulang. Pentas akhir rentak tarinya berbeza. Cikgu Nan meninggalkan gua awal gara-gara kehabisan tiket dan lagi awal dia meninggalkan stadium belum pun wisel tamat dihembus. Dia kini terkandas akibat kereta abang iparnya ditunda-tarik oleh pihak berwajib sambil berbual bicara soal halatuju Khalid Jamlus dan ke mana dia hendak mencari pelanggan yang sanggup membeli jersi barunya.

Maafkan gua. Gua hanya mampu menumpang simpati biarpun gua tidak berwargakan Negeri Sembilan mahupun Kelantan. Cantik benar gol Indra di hujung saat tapi berbalas tendang, tanduk dan terjah... Halim Napi tampak keliru. 61 tahun jang menunggu. Sarung tebuan itu kadang-kadang kalau tidak diusik, kalau terkena hujan alamat lunyai juga. Lihat. Lautan merah dihembus badai kuning. Namun cuti tetap cuti. Isnin kelak ceritalah kembali.

Gua? Cuti apa cuti? Esok Iblis Merah nak kena henjut dengan Chelsea nanti... tak reti-reti??

Sang Maling.

Sudah berapa kali di bilang, usah di ambil yang bukan hak kita. Usah di kira yang bukan empunya. Malam memang gelita gelapnya tapi apa bezanya pada siang yang benderang terangnya jikalau rezeki itu bukan ketentuan kau, kau dan engkau.

Bersabarlah.

Cukup. Mesti cukup.

Jumaat, November 06, 2009

Isnin, November 02, 2009

Cikgu Ahmad bakal barai di Bukit Jalil.

.
Semalam. Malam.

Hujung minggu barangkali akan kelihatan kurang kemanisannya kalau tidak diisi dengan sessi tontonan perlawanan bolasepak secara langsung melalui siaran TV kabel mahupun kegiatan pertembungan kaki-kaki bola secara konsol video, sessi kenduri-kendara berskala (sebab orang sekarang buat kenduri-kendara tak ikut musim), sessi DVD takpun wayang kalau ada penaja atau paling koman pun, sessi lepak mamak mapley.

Memandangkan profesion gua 2-3 menjak ini pun adalah lebih menjurus ke arah pelepak mapley secara tegar, maka kemanisan itu sudah menjadi biasa-biasa tidak kira hujung minggu ke tak hujung minggu. Padat juga agenda perlepakan semalam sebab membawa sampai ke larut malam. Ya, mungkin juga ada di luar sana akan membuat andaian mengatakan budak ni dah takde keje ke atau tak ingat masa depan ke atau apa nak jadi melepak manjang atau macamana bangsa nak maju kalau lepak tak ingat dunia. Pendek cerita, itu bukan hal pusing gua. Jauh sekali nak dijadikan dilema hidup. Sebab yang gua tahu, majoriti lepak gua adalah lepak ilmiah. Bebas unsur tidak bermoral seperti bermain daun judi, menjadi bookie bolasepak buku tiga 5 secara sambilan mahupun mengusik makwe dengan panggilan 'Kak Long' kiranya berpeluang. Lepak gua lepak bersih, cekap dan amanah. Juru-jurulepak yang seangkatan dengan gua pun semuanya ada tauliah. Sepanjang lepak, tak pernah JAIS tangkap gua sama juru-jurulepak yang lain. Insya-Allah orang cakap.

Nak dijadikan cerita, sedang gua padu memberikan konsentrasi seratus-peratus pada sisa-sisa sessi lepak pusingan terakhir yang last semalam, telefon bimbit gua berbunyi. Ada satu kutu sudah kontek sama gua. Sebenarnya gua sudah menjangkakan panggilan si ziranat ini.

" Wei, Sabtu ni lu pegi tak? "

" Apasal? "

" Gua memang nak pegi dengan bini gua tapi dia tengah mengandung tu. Takkan nak ajak dia pulak "

" Abis tu? "

" Gua tau lu fan lain tapi lu teman la gua pegi. Tolong la... "

" Kenapa? "

" Gua kurang bekalan keberanian. Gua tengok TV tadi dah macam zon perang dah. Letup sana, letup sini. Baling sana, baling sini. Lu pegi dengan gua, amacam? Nanti gua bayar tiket lu. "

" Yelah. "

" Sapa ada lagi? "

" Itu belakang kira. Lu ada kan? Yang penting... Gomo Kelate Gomo!!! "

Ahmad, Ahmad. Sanggup lu turun KL dari Sabah semata-mata nak tengok show bunga api kat stadium.

Antara Kelantan dengan Negeri Sembilan, gua sapot Halim Napi. Dia ikon bolasepak negara dulu, kini dan selamanya

jam nurani.

Dah masuk bulan 11. Nak tak nak, kena jugak cakap biarpun cukup klise kata-kata gua ini.

" Cepat betul masa berjalan. "

Rasa macam baru semalam aje gua menulis benda ni walhal tiap-tiap tahun nak masuk hujung tahun, gua akan mula menaakul akan benda ni. Tapi nak buat macam mana lagi kan? Dah jarum jam bergerak ke depan. Kalau jarum jam bergerak ke belakang, mahu kiamat pula dunia. Banyak benda telah berlaku dan sudah berubah. Namun dalam masa yang sama, ada juga perkara yang masih pegun dan tidak berubah-ubah.

Fuh. Itu lagi satu pemikiran yang membelenggu dan dalam masa yang sama menginsafkan nurani gua.

Ahad, November 01, 2009

Harimau Malaya unite for Khairul Azman !

Terpanggil atas dasar tangggung jawab sebagai penyokong yang amat cintakan bolasepak Malaysia, laman-laman komuniti bolasepak (E-Fan) di tanah air serta bekas-bekas pemain kebangsaan telah bermuafakat untuk meringankan beban yang dipikul oleh bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamed.

Khairul dilaporkan memerlukan RM16,000 untuk kos pembedahan mengantikan ligamen dan otot tendon yang baru pada kedua belah lutut beliau. Ligamen atau urat rawan serta dengan tendon merupakan komponen yang penting mengabungkan lutut dan tulang kaki seorang manusia.

Memandangkan Khairul amat berminat dalam kejurulatihan, laman-laman komuniti yang diketuai oleh harimaumalaya.com (HMC) telah menjalin kerjasama dengan pahangcommunity.com (PCC – The Young Elephant) dan sabahrhinos.com (SRC), menjemput hijaukuning.com (HKC), selangorfc.com (SFC) dan kelate.net (KDN) untuk bersaing dalam Pertandingan Amal Bolasepak 9 Sebelah – Jasamu Dikenang Khairul Azman pada 01 November 2009, bertempat di Mini Stadium Pancarona, Putra Jaya.

HMC juga amat berbangga kerana beberapa nama besar bolasepak tanahair turut memberi kerjasama untuk menjayakan projek ini nanti. Bekas-bekas pemain kebangsaan seperti Zainal Abidin Hassan, K.Gunalan, S. Somasundram, P. Maniam, Zainal Nordin, Dollah Salleh, V. Saravanan, Ahmad Yusof, Subadron Aziz dan V. Murugan.

Pihak penganjur akan turut menjemput nama besar yang seangkatan dengan Khairul seperti Serbageth Singh, Mubin Mokhtar, Razip Ismail, Mat Zan Mat Aris, Azman Adnan dan ramai lagi.

Sebahagian daripada bekas-bekas pemain kebangsaan ini akan bermain untuk HMC Vintage manakala yang lain akan mewakili pasukan E-Fan yang lain. Selain daripada HMC Vintage, HMC juga akan diwakili oleh HMC ULTRAS dan HMC Coneli FC. SRC, HKC dan SFC akan menghantar satu pasukan manakala PCC dan KDN akan diwakili 2 pasukan. Pasukan TV3 dan ganusoccer.net (GSN) turut dijemput tapi masih belum memberi kata putus.



Pelbagai aktiviti akan dijalankan pada hari pertandingan tersebut seperti Cabutan Bertuah, Pertandingan Sepakan Penalti, Pertandingan Menimang Bola, Sesi Bergambar dengan bekas pemain dan Sesi Autograph. Untuk menghidupkan lagi suasana pertandingan, HMC turut akan menilai Pasukan Sorak Terbaik daripada semua pasukan E-Fan yang bertanding.

Semua kutipan akan disalurkan terus ke Tabung Jasamu Dikenang Khairul Azman di mana pihak penganjur berharap dapat mengutip lebih daripada RM5,000 untuk disumbangkan kepada bekas penjaga gawang terbaik Asia itu. Selain daripada aktiviti-aktiviti tersebut, kesemua E-Fan yang terlibat telah sepakat untuk mengutip derma ikhlas melalui forum laman web masing-masing.

Adalah diharapkan, sumbangan ini dapat membantu Khairul meneruskan impian beliau untuk mencurahkan segala pengalaman yang ada pada generasi pemain baru yang bakal menjadi asset kepada usaha untuk menaikkan kembali martabat bolasepak kebangsaan.

Khairul, yang dihubungi baru-baru ini, amat terharu dengan usaha yang E-Fan lakukan. Menurut beliau, kecederaan yang dialami sekian lama telah membantutkan perancangan beliau untuk meneruskan kerjaya sebagai jurulatih. Walau bagaimanapun, bekas penjaga gawang kelahiran Kuantan itu turut sedih kerana terpaksa menanggung beban ini tanpa bantuan daripada pihak yang wajib.

Justeru, E-Fan sepakat mengambil alih tanggungjawab ini daripada persatuan bolasepak negeri untuk membuktikan bahawa penyokong juga perlu memainkan peranan untuk mengenang jasa yang pernah ditaburkan oleh bekas-bekas pemain kebangsaan kita.

Bekas-bekas pemain kebangsaan juga amat berbangga dapat terlibat dalam pertandingan amal ini dan berharap lebih ramai pihak dapat mengikut jejak langkah E-Fan ini. Sebagai satu langkah yang positif dan murni, pihak swasta di minta untuk tampil kedepan dan memberi sumbangan berupa wang ringgit dan apa-apa sahaja.

Penganjur juga akan membuka booth perniagaan kepada mana-mana pihak yang sanggup memberikan sumbangan, bergantung pada syarat dan terma. Kemeriahan ini diharap akan dapat menarik peminat bolasepak bersantai bersama-sama dengan semua pemain dihujung minggu.


credit: harimaumalaya.com

Blog Archive

Cari Blog Ini

Dikuasakan oleh Blogger.

A Block of Text

A Block of Text


Hi. Saya kenal anda. Mungkin anda tidak kenal saya. Tiada masalah. Mari berkenalan!

About Me

About Me

Blogger templates

ENTRI TERBARU

Daya dan dalih.

Dengan adanya semangat yang sedang membara di dalam diri sekarang ini, maka tidak ada alasan lagi untuk aku berdolak-dalik atau melengahkan ...