You Are Reading

Belum cukup (lagi)

Kadang-kadang aku berfikir sendiri dan tanya: Apa lagi yang tidak kena?

Sudah banyak rasanya aku terfikirkan soal ini. Siang dan malam. Sedar dan lena. Bila kita telah melakukan segalanya yang termampu, namun tetap akan ada ruang dan sudut yang masih belum terisi. Kudrat sudah dikerah. Keringat telah diperah. Usia yang masih bermaya muda(?) ini rasanya tidak mahu dipersiakan walaupun dengan hanya sesaat. Walau dalam lena sekalipun, aku terus merencanakan masa hadapan dan membetuli masa lampau yang sering mengingatkan akan kekurangan-kekurangan yang ada.

Ya. Waktu itu berjalan dengan cepat sekarang.

Aku tidak menyangka terlalu banyak perkara yang dahulunya aku anggap mustahil, kini semuanya sudah terjadi dan terlaksana. Bertuah, ya. Bersyukur, sudah tentu. Tetapi semuanya akan hadir dengan sebab dan akibat. Consequences.

Bila aku dapat apa yang aku mahu, aku terbeban dengan rasa ego dan 'tamak'. Kehendak yang mahukan lagi dan lagi. Mungkin ini fitrah. Mungkin ini peribadi. Atau mungkin masih belum cukup. Belum cukup.

Belum cukup.

Aku pandang semua yang ada di hadapan mata. Ada yang sudah sampai dahulu dari aku dan dapat semuanya. Senang. Lenang. Kaya. Raya. Ada. Itu dan ini.

InsyaAllah, aku mahu lagi. Aku mahu terus berusaha untuk capai segala cita-cita aku dan kehendak dan kemahuan mereka yang aku sayang demi kesempurnaan hidup. Tidak lama lagi, pujuk hati aku hari demi hari. Sikit saja lagi, belai hati lagi.

Selagi ada hayat dikandung badan. Selagi ada nyawa didalam dunia. Aku tetap akan cuba dan usaha.


Comments for this entry

 

Copyright 2010. All rights reserved.

RSS Feed. This blog is proudly powered by Blogger and uses Modern Clix, a theme by Rodrigo Galindez. Modern Clix blogger template by Introblogger.