Masa Yang Ada.

Sebenarnya antara perkara paling penting dalam hidup ini yang kerap mencabar dan menduga adalah MASA. Dengan keadaan yang serba mencabar, aku sering sahaja tewas dengan kehendak-kehendak dan keperluan-keperluan yang banyak 'memakan' masa.

Jalan paling ampuh untuk memanfaat dengan sebaik mungkin adalah dengan menguruskannya menggunakan segala kudrat dan kekuataan yang ada. Selalunya dengan menggunakan kekuatan 'dalaman' kerana dari dalam ini akan muncul segala macam daya dan tenaga yang dapat menangkis dan melawan cabaran yang ada. Musuh utama itu tentulah rasa malas. Rasa malas akan melahirkan sifat suka bertangguh dan menunda-nunda. Jujurnya, itu adalah punca utama kemalasan aku yang harus aku perangi habis-habisan.

Kerana apabila aku malas dan tidak memanfaatkan masa dengan sebaiknya, banyak perkara telah tertangguh. Dan secara semulajadinya, banyak juga rancangan yang disusun (atau tidak tersusun) tidak dapat dilaksanakan. Ini merupakan kerugian yang jelas buat aku dan mungkin juga menyusur serta mendatangkan kesan untuk orang lain yang ada kena-mengena secara langsung dan tidak langsung dengan hidup aku. Umur dan usia yang menjengah sekali-sekala menjadi ingatan kepada kelakuan ini. Sebagai manusia, inilah yang paling aku takuti dan geruni: Tidak mengisi masa yang ada dengan sempurna.

Jadi beginilah,

Aku harus bangun. Aku harus bangkit. Aku harus sedar bahawa sudah sampai masanya (sejak dulu lagi sebenarnya) yang masa itu bersifat hidup dan bernyawa. Aku harus jadikan ia sahabat baik aku. Ya, berbaik dengannya seawal pagi setiap kali Subuh tiba sehingga waktu aku ingin rehat sebenatar untuk tidur dan melelapkan mata dan badan ini. Badan ini tidak akan terus kekal muda dan bertenaga sentiasa. Satu hari ia akan tua dan tidak bermaya kesan dari kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Rezeki ada hubung kait terus dengan masa dan waktu yang digunakan dengan sebaiknya. Kalau aku tidak berubah dan tidak melangsungi semua peluang yang ada sekarang, aku akan menyesal dan aku akan berasa rugi sepertimana yang pernah dan sedang aku alami sekarang ini. Maka aku beringat pada tubuh dan minda ini. Secara sedar atau secara di bawah sedar. Gunakan masa lapang sebelum masa sibuk dan terhimpit. Merancang, merancang dan merancang. Usahakan segala ruang dan peluang yang ada. Allah Maha Merancang. Allah Maha Tahu. Allah Maha Pengasih dan Penyayang akan sesuatu.

Doa aku supaya apa yang aku niat dan gerakkan ini mendapat keredhaan daripada-Nya. Amin.

Ulasan