Mendapatkan semangat di sini.

Hari ini aku lapangkan masa untuk berdamping semula dengan satu mukim istimewa yang sudah lama tidak aku kunjungi:

Perpustakaan. Pusat Sumber. Kutub Khanah.

Masih lagi menjadi tempat kegemaran aku. Sejak dari kecil, sejak dari sekolah, sejak dari universiti dan kini hinggalah ke zaman kedewasaan aku. Mukim ini amat-amat cocok dengan jiwa serta sanubari aku yang suka berdamping dengan buku, gemar bersendirian apabila berfikir dalam-dalam, malah serba-serbi yang aku perlukan untuk berkarya ada di sini. Ketenangan yang aku mahukan juga wujud disekeliling. Karakter dan watak yang ada di sini turut memahami kehendak aku.

Sebenarnya, aku rindu sangat mahu menulis secara serius dan konsisten semula. Malahan, aku sendiri tidak pasti entah bilanya aku menulis secara serius dan konsisiten dahulu. Untuk itu, demi masa yang berjalan pantas - aku harus kejar ia. Aku harus seiringan dengan waktu-waktu yang memerlukan aku senantiasa berada di barisan hadapan. Aku tidak mahu penyesalan menghimpit aku di kemudian hari. Kerana ya, memang betul apa orang-orang lama katakan: "Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiadalah gunanya". Pendapatan itu yang aku mahukan sekarang. Untuk masa depan. Untuk keluarga. Untuk mereka-mereka yang aku sayang. Terutamanya sekali bakal isteri aku yang akan aku nikahi tidak lama lagi. Kehendak atau keperluan, masing-masing ada kepentingannya yang tersendiri.

Maka tidak adalah kehendak dan keperluan yang paling tinggi dan yang paling mulia sekali selain daripada CINTA.

Ulasan