Wang dan kita, berpisah tiada.

Nampaknya dalam hampir sebulan menuju ke tahun hadapan, aku banyak berfikir bagaimana untuk merancang dengan baik. Maklumlah, individu cerewet dan partikular seperti aku ini selalunya akan menyediakan seberapa banyak rancangan ‘fallback’ dan Plan B yang jitu seandainya apa yang dirancang tidak menjadi.

Yang meruncing dan selalu menjadi cabaran tegar sudah tentunya kewangan.

Wang ini bukanlah segala-galanya tetapi ia amat penting untuk menyelesaikan banyak perkara, tambah-tambah lagi perkara yang bersangkut-paut dengan masalah. Masalah manusia moden selalu aku perhatikan rata-ratanya banyak dapat diselesaikan dengan wang. Dari yang kecil sehinggalah yang besar-besar belaka, semuanya guna penyelesaian tunai.

Aku jujurnya terus-terusan masih mencari formula bagaimana mahu neutralize fahaman ini. Ia tidaklah salah dan tidaklah ia 100% benar. Atas nama kemewahan dan kebendaan, wang tetap menjadi sandaran pada setiap masa. Dari buka mata sesudah tidur sampailah tersandar semula di pembaringan untuk tidur semula. Harus diakui, ia terjadi juga kepada aku. Mungkin kerana aku ini tidak berapa bijak mengurus kewangan atau aku ini ada menanggung hutang atau aku ini memang sengaja membiarkan diri masuk ke dalam perangkap ciptaan.

Apa pun alasannya, aku perlu kuasai wang dengan apa cara sekalipun.

Ulasan