Tetap terus juang

Sedang dalam usaha untuk mencari dan terus mencari kunci rezeki, aku kini kerap ditemukan dengan pelbagai persimpangan. Persimpangan yang menjemput aku memilih. Sama ada yang aku pilih itu akan menguntungkan dan membahagiakan aku atau sama ada ianya akan terus-terusan membuat aku menunggu dengan lebih lama lagi. Dan aku sesungguhnya tidak suka untuk tergolong dalam golongan yang ketinggalan dan menyesal di kemudian usia.

Jujur bicara, apabila dihadapkan dengan masalah-masalah, tidak kira masalah itu masalah yang kecil dan remeh atau masalah itu masalah yang besar dan meruncing, aku akan cuba dengan sedaya upaya aku untuk mencari jalan penyelesaiannya. Cumanya sekarang ini, semakin lama dirasakan masalah-masalah yang aku sedang tangani itu begitu menghimpit dan memaksa aku untuk berfikir dengan lebih kuat dan keras lagi. Aku dapat rasakan tanggungjawab yang bakal aku pegang dan laksanakan tidak lama lagi akan terus memuncak, hari demi hari. Dan salah satu daripada tanggungjawab yang terbesar aku pikul sekarang adalah tanggungjawab kewangan.

Kewangan ini sifatnya materi dan sementara. Walalupun ia tidak utama jika dibandingkan dengan keperluan-keperluan dan kehendak-kehendak duniawi dan akhirat yang lainnya, ia tetap penting dalam menyelesaikan banyak perkara yang berpusing sekitar urusan tanggungjawab itu tadi.

Diharapkan aku terus diberikan peluang oleh Allah untuk menghimpun lebih banyak ilham dalam mencari sumber kewangan yang berpunca daripada pencari kunci rezeki itu tadi. Aku tidak boleh putus asa. Aku tidak dapat mudah mengalah. Aku harus terus juang dan aku harus terus buktikan selagi ada kudrat, selagi ada daya dan selagi ada kemudahan muda dan bekalan tenaga yang penuh kobar dan semangat ini. Kerana aku yakin dan sangat percaya, ada yang lebih sengsara dan lebih susah daripada aku. Dan aku juga tahu, setiap ujian dan cubaan itu pasti ada hikmahnya yang tersendiri untuk aku hadapi dan harungi dengan seadanya.

Ulasan