Berdaya


Ayahanda ada pernah bercerita pada aku: Apabila keadaan mendesak dan memaksa, manusia sanggup lakukan apa saja asalkan matlamat serta hajatnya tercapai.

Sekarang ini banyak bukti-bukti terwujud hasil daripada kenyataan ayahanda aku itu. Tambah-tambah lagi sekarang musim berkempen pilihanraya. Daripada cara yang halal hinggalah kepada cara yang tidak berapa nak halal. Mereka semua ada matlamat. Mereka semua ada hajat. Itu semua sendiri mahu ingat kerana berpolitik di negara ini sangat kompleks. Kiranya salah seru, macam-macam perkara boleh timbul, boleh tergadai dan boleh tenggelam. Sebab itu ramai yang aku tengok lebih banyak bertindak menggunakan nafsu dan serakah dari akal dan fikiran. Masing-masing dah besar. Masing-masing dah tahu.

Namun, keadaan mendesak dan memaksa yang sedang aku alami sekarang ini langsung tidak sama dengan apa yang berlaku tadi. Aku dalam keadaan mendesak dan memaksa kerana aku perlu didesak dan perlu dipaksa demi kemajuan serta kebahagiaan masa hadapan. Aku perlu lebih gigih, aku perlu lebih kental, aku perlu lebih kuat dan aku perlu lebih tabah mencari rezeki. Rezeki ini sebenarnya ada di mana-mana. Dan aku pasti ramai orang sudah tahu akan perihal itu. Apa yang berlaku pada aku sekarang memang mencabar tetapi tidak sesekali aku menganggapkannya sebagai sesuatu yang susah apatah lagi menyusahkan. Pendek kata, bila timbul rasa nak cakap susah atau menyusahkan saja, cepat-cepat aku fikir, “Ada orang lain lagi sengsara dari kau, Faizal. Setidak-tidaknya kau masih sihat, tubuh dan anggota lengkap dan cukup serba-serbi”. Mencari duit dalam zaman moden sekarang ternyata memerlukan lebih dari sekadar modal batin dan zahir, lebih dari sekadar ikhtiar dan usaha, lebi dari sekadar azam dan semangat.

Aku nampak matlamat dan hajat itu ialah permulaan mencari sumber rezeki.

Bila matlamat itu betul dan direstui, insyaAllah ia akan datang juga pada tangan-tangan yang berhak.

Bila hajat itu benar dan diredhai, insyaAllah ia akan sampai juga pada diri-diri yang perlu.

Jelas, ini satu cubaan untuk memujuk diri sendiri supaya sabar dan banyak-banyak muhasabah jiwa. Bukan senang nak senang, kata orang. Dan orang yang bercakap tentang itu 100% betul. Harapan aku agar supaya segalanya diberkati dan diberikan keredhaan yang secukupnya. Aku mahu menjadi manusia yang mampu menukarkan sesuatu yang ‘tidak boleh’ kepada yang ‘boleh’ dengan cara aku. Supaya esok, lusa apabila aku sudah dewasa dan matang dari hari ini, aku boleh pesan pada mereka:
“ Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Tapi kau kena buat keputusan kalau kau nak hidup, sama ada daya atau dalih ”   

Ulasan