Flashback puasa


Apabila aku imbas sekali-sekala (terutamanya dalam kesyahduan dan ketenangan bulan puasa ini) segala tulisan serta entri-entri yang merakamkan cerita-cerita terdahulu tentang perjalanan hidup aku hingga sekarang, terus momen menjadi sangat nostalgik. Betapa seronoknya aku bersama kawan-kawan yang lama dan baru melalui semuanya itu demi pengalaman.

Ya, mungkin muda itu terlalu cepatnya berlalu. Sedangkan aku jarang-jarang sekali mengakui bahawa usia itu sememangnya lebih rindukan ketuaannya.

Tentang kerja dan persahabatan, tentang kasih-sayang dan keluarga, tentang idea dan inspirasi, tentang impian dan matlamat. Itu antara initipati-intipati dan sorotan-sorotan kisah yang kerap menjadi buah ilham tulisan blog peribadi aku ini. Entah ke mana hilangnya semangat aku untuk terus merakamkan semua itu dengan malar sejak dua menjak ini, aku sendiri pun begitu segan untuk mendedahkan jawapannya.

Perkongsian tidak akan lengkap sekiranya tidak ada orang-orang yang mahu faham isi perjuangan hidup yang masih sedang cuba aku ikhtiarkan. Ada tu memang ada, cuma dulu itu tidak semacam sekarang. Namun itu tidaklah bermakna aku sedang sugul bermangu sesal kerana aku yakin bahawasanya takdir dan nasib itu boleh kita cipta sendiri.

Masa dan waktu akan menjadi penentu sama ada menjadi atau sebaliknya semua kerahan usaha, ikhtiar dan perjuangan aku menuju hasrat segala hasrat.   

Ulasan