Yang pahit akan manis akhirnya ( ...Ya, just like the song)

Berada dalam situasi yang tertekan biasanya pada orang lain akan mengundang masalah. Masalah yang berpunca daripada kesulitan-kesulitan apabila yang kita usahakan masih belum menjadi atau yang dicari masih belum ketemu dan kunjung tiba. Manakala tekanan yang datang pula berarah dari sudut yang betul-betul tidak terduga. Bila tidak tahan maka akan semakin runcinglah tahap masalah itu. Jalan penyelesaian pula makin lama makin menuju buntu. Ke sana salah, ke sini pun salah. Semuanya jadi serba salah.

Tapi tidak bagi aku.

Pengalaman telah banyak mematangkan. Dari pengalaman aku cari dan jumpa ilmu pengetahuan untuk satu-persatu aku tangani tekanan mahupun masalah yang mendatang dengan kemas dan cermat. Aku sedar tekanan dengan masalah itu wujud lazimnya atas sebab perkara yang logik. Ianya berbalik punca pada sahsiah kita dan peribadi diri sendiri juga akhirnya.

Orang akan mudah menyalahkan orang lain, menyalah takdir dan nasib, memyalahkan semuanya kalau ada yang tak kena sehingga tekanan itu menjadi punca permasalahan. Ini pada pandangan akal aku silap. Mungkin tidak sampai ke tahap salah tapi silap yang sering dilakukan orang berulang-ulang kali, sehari-hari, setiap waktu dan setiap masa yang datang dan pergi.

Alhamdulillah, aku kadang-kadang suka mencari jalan susah untuk berjaya. Walhal, jalan senang dan lenang itu banyak terbentang di hadapan mata. Aku tidak mahu malah enggan ke situ. Kerana aku yakin dan percaya, kesengsaraan itulah yang aku membuat aku lebih kuat dan gigih. Kerana aku selalu sahaja menjadi saksi betapa makin susah dan makin sengsara orang itu, makin ligat kudratnya untuk berikhtiar mencari jalan penyelesaian pada masalah-masalah yang dihadapi. Akal fikiran juga turut pintar dan pintas melahirkan idea serta ilham baru yang datangnya entah dari mana sebab yang apa-apa. Aku suka perasaan ini. Perasaan ‘striving through adversity’.

Tinggalkan apa yang bermain di benak kekalutan.

Hari ini aku susah. Semalam aku susah juga. Esok pun belum tentu aku tidak susah.

Yang senang akan datang bersama senyuman dan kegembiraan.

Ulasan