RETROSPEKTIF 2012 | Bahagian 2

Bermula tahun ini, aku akan menulis tentang perkara-perkara dan cerita-cerita yang sudah lama aku ingin jelaskan dan nyatakan. Ini bersempena hari lahir aku yang telah lalu. Ada yang rahsia, ada yang sudah lama dipendam dan simpan untuk menanti masa yang sesuai untuk diluah langsung ditulis.

Masa yang sesuai itu sudah sampai akhirnya.

___________________________________________________________________________________


Kenapa Aku Masuk / Berhenti KLP?


Seperti yang ramai sedia maklum, minat dan nyalarasa aku terhadap dunia komik dan kartun terlalu kuat dan mendalam. Melalui nyalarasa yang menyala semenjak aku kecil inilah yang membuatkan aku terus dan terus mencari ruang dan peluang untuk aku mengembangkan minat, bakat dan kebolehan aku dalam lapangan tersebut. Alhamdulillah, semakin terasa yang aku kini berada dalam landasan yang betul.

Maka tempat yang sebenar-benarnya memenuhi impian aku itu menjadi kenyataan selepas aku berpengalaman di Karangkraf adalah di KLP.

Aku mula bekerja di KLP pada Februari 2007 setelah dua tahun berkhidmat di Karangkraf. Ada beberapa faktor yang membuatkan aku mahu berubah angin daripada sana ke sini. Di sini, yang paling utamanya fokus diberikan 100% pada penghasilan dan pembikinan komik semata-mata. Di sini juga, aku diperkenalkan dengan sahabat-sahabat dan rakan-rakan seperjuangan aku yang mempunyai kekuatan dalam bidang komik. Studio ini walaupun masih baru bertapak dalam arena komik tanahair tetap mempunyai tempatnya yang istimewa. Terkumpul nama-nama yang telah prolifik dan bakal prolifik seperti Kromosom(Fythullah Hamzah; co ‘Urban Comics’), MF Ajif, Zool, Jimi, Lobakoren, Zedd, Bajak, Virus, Roy Ablah(yang kemudiannya mengemudi ‘Komikoo’), Nanzo(‘Anak-anak Sidek’) dan ramai lagi. Aku terasa sangat bertuah dalam ‘keluarga’ KLP bukan semata-mata hanya kerana suasana dan keseronokan bekerjanya sahaja tetapi disebakan kerana peluang yang hadir dalam hidup aku pada ketika itu sangat membuatkan aku rasa bertuah. Sekiranya dahulu semasa aku bekerja di Karangkraf, aku dikelilingi oleh semangat dan aura kartunis-kartunis tersohor tanahair, kini aku berada dalam disekeliling insan-insan yang mempunyai gift istimewa dan luarbiasa dalam dunia pembikinan komik yang bakal menembusi dan membelah pasaran antarabangsa.

Hampir dua tahun di Menara Summit bersama kawan-kawan di sana adalah suatu pengalaman dan kenangan yang sukar ditukar ganti. Keseronokan dan masa-masa yang dilalui sungguh meninggalkan kesan yang berpanjangan. Di sini jugalah secara rasmi gerakan keanggotaan Manteraworks dimulakan di bawah hampir kesemua krew KLP. Antara punca dan sebab terutama gerakan tersebut ditubuhkan adalah kerana progres dan momentum serta output yang dikeluarkan oleh syarikat sangat minimal dan kurang memberangsangkan. Sebagai sebuah kelompok karyawan yang sangat aktif dan rata-rata muda, kami mempunyai idea dan rancangan sendiri untuk melakukan dan membuat sesuatu. Banyak dan luas juga rancangan-rancangan kami.

Selain daridpada itu, kami berasa sangat bebas dan seronok bekerja di sini kerana berkemungkinan besar di atas lima faktor yang di bawah:

  1. Memandangkan operasi studio kami hanya beberapa langkah sahaja daripada shopping complex, maka berlegarlah kami untuk berfoya-foya dan kononnnya mencari idea apabila datang kesempatan itu. Antara aktiviti-aktivti lazim yang seakan-akan telah menajadi wajib pada ketiuka itu adalah tengok wayang, karaoke seringgit dan kadang-kadang boling.
  2. Di sini kami tiada pertimbangan dan fokus lain selain daripada komik semata-mata. Perasaan yang sampai ke saat ini sukar dirasai bila berada di tempat lain.
  3. Kami adalah sebuah unit yang bekerja untuk seronok dan seronok untuk bekerja yang mana itu adalah elemen penting dala m bekarya untuk menimbulkan mood yang positif
  4. Pertama kali merasakan gaji yang diberikan setimpal dengan kerja yang dibuat.
  5. Pengalaman dan sedikit reputasi yang diraih di Karangkraf sebelum ini tampak mendatangkan kesan apabila menyambung kerjaya di sini

Namun, semuanya itu berakhir menjelang pertengahan 2008 apabila segala yang diramal dan dijangka menjengah kenyataan. Akibat pentadbiran dan pengurusan yang kurang cekap dan tidak berapa efisyen, KLP Poduction yang aku cukup nikmati keadaan kerjaya selama hampir setahun lebih itu telah diisytiharkan tutup oleh pengarah urusan. Kami terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat walaupun rata-rata kawan dan sahabat yang bersama berjuang di sana tidak boleh dipertanggungjawabkan 100%.

Dengan langkah berat dan rasa hampa, aku tinggalkan juga KLP dan mengorak langkah dengan arus yang lain pada tahun itu. Ternyata aku hanya mampu berdoa dan berharap bahawa akan datang suatu hari yang mana kami semua dapat berkumpul semula dan menyambung legasi itu di bawah satu bumbung. Kali ini dengan nama yang kami cipta sebelum ini dengan perancangan dan corak masa depan yang kami lakarkan sendiri.

InsyaAllah.

Ulasan