Kembalinya ibunda Adi Nazri ke negeri hakiki

Pagi hari ini, ibunda kepada salah seorang antara sahabat baik dan akrab aku telah pulang ke rahmatullah meninggalkan dunia dijemput Yang Maha Esa. Mendapat berita tersebut dari mulutnya sendiri melalui panggilan telefon. Sambil itu susulan tangisan dan kesedihan yang mendalam membuatkan aku rasa pilu lalu sebak. Aku dapat rasa bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk kita berpisah dengan insan yang paling kita sayang sejak hari pertama kita di dunia apatah lagi dialah yang telah melahirkan kita, membesarkan kita, menjaga kita, mendidik kita dan mendoakan kita siang malam demi kebaikan serta kebahagiaan dunia akhirat.

Dan aku terus mengimbau kejadian seperti ini dengan penuh rasa kesedaran, kekesalan dan keinsafan yang bersungguh.

Betapa apa yang wujud di dunia hanya bersifat sementara dan terlalu cepat dan pantas semuanya berlalu. Ramai sudah rupanya kenalan-kenalan aku yang sudah tiada kerana ajalnya menjemput. Kawan dan keluarga yang pernah berkongsi tawa dan duka. Yang pernah bersama-sama meluah dan memohon perhatian dan pendapat. Yang pernah rasa hidup dan kenikmatan-kenikmatan yang telah Tuhan berikan di dunia ini. Apabila mereka sudah tiada, maka semuanya juga sudah pergi bersama kenangan. Di saat-saat inilah, aku akan duduk diam sambil bertafakur dan fikir: Ini pasti akan sampai pada kawan dan keluarga yang lainnya juga. Pada satu hari, pada satu masa. Ia pasti tiba menjemput. Pada aku, pada dia, pada sesiapa sahaja, tidak kira jauh atau dekat, rapat atau tidak. Pada semua-semuanya yang muda atau tua. Yang lama belum berjumpa atau baru tadi telah bersua.

Yakni pada ajal dan maut.

Sepertimana rezeki dan jodoh, ajal juga adalah rangkuman tiga perkara yang tidak dapat ditentukan manusia kerana ianya adalah rahsia Allah. Sehinggalah saat dekat pada salah-satu daripada ketiganya itu, barulah rasa itu membuak datang bertubi-tubi dan bertalu-talu.

Rasa syukur dan gembira pada rezeki yang datang.

Rasa bahagia dan teruja pada jodoh yang muncul.

Rasa redha dan pasrah pada ajal yang tiba.

Ini semua membuatkan ujian dan dugaan sebagai hamba Allah di muka bumi ini semakin lama semakin mematangkan manusia itu sendiri. Usaha dan ikhtiar yang berterusan, tawakal dan tawaduk yang berpanjangan, doa dan syukur yang tidak ada putus-putusnya hingga berakhirlah segalanya.

* * *

Al-Fatihah serta salam takziah buat kau, Adi Nazri. Seorang teman dan kawan yang kerap berada di kala susah dan senang (selalunya susah) ke atas pemergiannya ibunda kau. Semoga kuat dan tabah, diharapkan terus berjuang, sabar menghadapi apa juga yang sudah Allah tentukan untuk kita semua di dunia ini dan di alam sana. Pada dia kita datang dan pada dia kita semua pulang. Allah lebih sayangkan mak kau macam mana Allah sayangkan dan akan lebih sayangkan kita semua nanti.

Sementara ini...

Hidup mesti terus.

Hidup mesti terus.

Hidup mesti terus.

Ulasan