D.U.I.T

Aku sengaja berhenti sekejap daripada menulis sambungan terakhir kisah retrospektif kerjayaya aku untuk mendapatkan sedikit mood untuk untuk menyudahkannya (Ya. Barangkali ramai yang sudah sedia maklum bahawa apakah kerja aku yang terakhir di bawah majikan adalah yang paling istimewa dan paling ‘mengesankan’ kepada aku setakat ini. Tapi aku simpan cerita itu dulu).

Sekarang ini terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan. Maklum sajalah, masa yang aku banyak sia-siakan (dengan secara sengaja atau tidak sengaja sebelum ini) harus aku tebus dan gantikan dengan manfaat semula dengan lebih pantas. Dalam masa yang terdekat ini, aku harus kejar dua-tiga projek yang sedang giat diusahakan. Satu projek untuk menyambut kedatangan Pesta Buku Antarabangsa KL 2012 hujung bulan hadapan, satu projek untuk mendapatkan dana dan suntikan modal yang secukupnya untuk projek-projek yang akan datang dan satu projek adalah projek peribadi. Terang lagi nyata, kesemua projek ini memerlukan wang.

Wang sebenarnya tidak sepenting yang kita semua sangkakan tetapi wang dapat selesaikan banyak perkara. Falsafah ini pertama kali aku dengar daripada adik aku sendiri. Langsung tidak sukar difahami namun kebenarannya jelas. Manakala ibunda aku sendiri pernah mengeluarkan sebuah teorem yang aku rasakan sangat berguna dan praktikal tentang wang:

D – Doa
U – Usaha
I – Ikhtiar
T – Tawakal

Pernah juga suatu masa dulu, sedang aku hendak mengisi minyak kereta di sebuah stesyen minyak berdekatan dengan rumah, aku terserempak dengan seorang guru yang pernah mengajar aku di sekolah. Cikgu Aminuddin yakni cikgu Bahasa Melayu. Cikgu ni ada juga menyumbang karya-karyanya untuk diterbitkan. Kalau baca suratkhabar, dia pakai nama Ami Masra. Inilah cikgu yang banyak membakar semangat aku dan mencungkil bakat serta minat aku pada penulisan semasa di sekolah menengah (Di sekolah rendah namanya CIkgu Sa’ei). Aku menegur dia dan bertanya khabar. Dia menyambut aku dengan baik dan juga bertanya khabar aku juga. Di hujung perbualan kami yang cukup ringkas itu, aku masih ingat pesannya kepada aku sebelum berlalu pergi: ‘Zaman ini zaman duit. Semua pakai duit. Duit itu kamu gunakan. Bukan duit gunakan kamu’.

Mengejutkan. Ambil masa juga untuk aku khadam maksud tersirat di sebalik kata-kata Cikgu Amin itu tapi akhirnya aku dapat tangkap juga.

Bila sampai kepada satu kepada satu persimpangan yang lainnya dalam hidup yang memerlukan aku berfikir dan bertindak pantas kerana keadaan ataupun situasi yang menekan ataupun mendesak, duit itu harus aku cari. Aku cari bukannya kerana aku mahu beli bahagia. Bukan kerana aku mahu beli gembira. Bukan kerana aku mahu beli cinta. Bukan kerana aku mahu beli kepuasan apatah lagi keberkatan. Aku cari duit kerana konsep rezeki itu salah satu daripada sumber kekuatannya adalah harta. Dan harta dunia moden hari ini tidak dapat tidak adalah wang. Hingga ke satu peringkat, aku begitu mudah jadi serba-salah kerana wang disebabkan wang sudah mula mahu ‘guna-gunakan’ aku, bukan kerana siapa atau apa yang mampu dan boleh aku lakukan sebenarnya. Maka untuk tidak terlalu gusarkan soal itu, aku lipat kali gandakan doa, usaha, ikhtiar dan tawakal aku. Aku mahu terus cari duit itu hingga ke tahap kaya dan jika diizinkan Allah ke tahap raya, agar kaya-raya.

Boleh aku agihkan pada keluarga dan kawan-kawan yang lebih memerlukan.

Boleh aku berikan pada dunia dan laburkan pada akhirat.

Boleh aku buktikan dan sedarkan diri mereka dan mereka yang duit hanya boleh selesaikan banyak perkara tetapi tidak semua perkara.

Ulasan