RETROSPEKTIF 2012 | Bahagian 1

Bermula hari ini, aku akan menulis tentang perkara-perkara dan cerita-cerita yang sudah lama aku ingin jelaskan dan nyatakan. Ini bersempena menjelangnya hari lahir aku yang akan datang tidak lama lagi. Ada yang rahsia, ada yang sudah lama dipendam dan simpan untuk menanti masa yang sesuai untuk diluah langsung ditulis.

Masa yang sesuai itu sudah sampai akhirnya.

___________________________________________________________________________________


Kenapa Aku Masuk / Berhenti Karangkraf?

Semasa penghujung semester pengajian di UiTM yakni dalam tahun terakhir aku dalam jurusan penyiaran dan komunikasi massa, ramai kawan-kawan aku yang sudah aku jangkakan akan tamat belajar tepat pada waktunya sudah mencongak-congak untuk bekerja di mana dan memegang jawatan apa. Dengan erti kata lain mereka dapat grad on time. Aku, on the other hand sudah diramal untuk repeat dek kerana beberapa paper yang aku jangkakan akan diulang berkali-kali. Paper-paper itu sebenarnya adalah paper yang aku tidak minat langsung dan tidak ada kena mengena pun dengan dunia penyiaran yang aku dalami di universiti. Aku fed up menghadap mata pelajaran yang aku tidak ada inclination dan aku tidak dapat kuasai kalau nak dibandingkan dengan subjek-subjek lain. Tambah-tambah lagi kalau subjek itu memerlukan aku berkawat dab berbaris ala tentera atau subjek yang banyak kira-kira dan nombornya. Sumpah, tak ubah macam eksesais negara polis/komunis dan gerakan khidmat negara.

Jadi hendak dijadikan cerita apabila aku semakin hari semakin down untuk pergi ke kelas dan meneruskan sessi kuliah kerana aku rasa aku tidak akan habis belajar sampai bila-bila, ayahanda aku telah memberikan aku jawapan untuk dilema tersebut. Ayahanda aku memberitahu, dia tidak berapa kisah aku tidak habis belajar (walaupun aku dapat rasa dia kecewa juga) tetapi dia mahu aku jadi manusia berisi dan berguna. Kerana ayahanda aku sendiri tahu suasana dan keadaan di luar sana tidak sama dengan suasana dan keadaan semasa belajar. Aku menghela nafas lega dan bebas apabila ayahanda memberikan 'lampu hijau' sebegitu.

Aku pun sengaja menjadikan tahun 2004 sebagai tahun eksperimental aku dengan seberapa banyak odd jobs yang mungkin semata-mata mahu menguji dan mencabar kemampuan serta pengalaman aku sendiri. Dari menjadi editior studio ke pekerja stor ke entah apa entah kerja-kerja pelik yang aku sendiri sudah lupa. Tapi jujur cakap, aku banyak tidak kerja dari kerja kerana mungkin pada masa itu aku tetap menjadi seorang yang memilih. Sama macam perangai aku di UiTM yang memilih subjek yang aku nak dan suka saja. Sehinggalah pada suatu hari, doa aku dimakbulkan Allah. Memang suatu rasa dan pengalaman yang cukup magis lagi menakjubkan.

Seperti sedia maklum, nyalarasa minat dan passion serta semangat yang membara aku pada komik dan kartun tidak pernah akan padam dan tidak pernah akan putus. Seorang kawan baik daripada zaman ijazah UiTM yang pada masa itu bekerja di Karangkraf telah memberitahu aku ada satu peluang bagus dan besar yang bakal mengujakan aku: Karangkraf bakal tubuhkan satu department komik untuk memasuki pasaran grafik novel dan komik nasional pasca kebangkitan era Art Square seperti Gempak, Hype dan Utopia. Ini secara otomatik memerlukan tenaga produksi dan penerbitan untuk berada dalam unit tersebut.

Aku tanpa buang masa lagi membuat persiapan rapi untuk menghadiri temuduga kerja supaya dapat kelulusan untuk diserapkan ke dalam unit tersebut secepat yang mungkin. Semasa sessi interview itu, aku masih ingat lagi betapa itulah sessi interview dengan paling ramai sekali juruduga di daam satu bilik. Ada Sri Diah, ada Fir iaitu anak kepada Tuan Haji Karangkraf, Sharifah Abu Salem, Nazri HR dan dua orang lagi yang aku kenal tapi lupa namanya. Aku konfiden semacam walaupun aku sedar aku bukanlah pemegang diploma dan ijazah seperti kawan-kawan aku yang lain. Aku ditanya itu dan ini tapi alhamdulillah semuanya aku jawab dengan cool dan yakin ya amat.

Tidak sampai berapa hari ditemuduga, aku dapat kerja dengan jawatan Kadet Wartawan Muda ataupun yang dalam namecard aku kemudiannya 'Jurnalis Komik'.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gembira dan seronoknya rasa hati aku pada waktu itu. Inilah yang dimaksudkan dengan istilah 'Dream come true' barangkali kerana sejak dari kecil memang aku sangat suka dan minat dengan komik dan kartun. Walaupun pada mulanya, aku bercita-cita besar mahu menjadi seorang kartunis atau pelukis komik kerana aku sangat galak dan rajin melukis di sekolah tapi takdir telah menghalakan arah tuju aku sebagai seorang penulis. Hari pertama di tempat kerja memang satu debaran yang maha dahsyat. Rupa-rupanya aku adalah batch pertama yang diserapkan ke dalam unit baru komik bersama dengan kartunis legenda Gayour (yang akhirnya menjadi mentor aku yang paling akrab), Padi, Kobis Bungo, Amang, Niezam (yang menjadi editor aku untuk majalah yang bakal kami keluarkan) dan lain-lain lagi batch-batch yang terkemudiannya.

Maka, di sini jugalah bermulanya perjalanan karier aku sebagai seorang penulis secara profesioanal setelah sekian lama menganggur, tidak ada matlamat dan arah tuju hidup dalam bidang kerjaya yang jelas serta hampir-hampir kecundang dengan dugaan dan cabaran yang bertubi-tubi.

Bermula pada Disember 2004, aku dipertanggungjawabkan untuk handle majalah baru Karangkraf dalam department komik iaitu 'Gen-Y' yang diberi nama JOM – INFO/KOMIK/EKSTREM. Di sana aku bersama-sama team lain seperti Roy, Apai, Nani (yang kembali bekerja bersama aku di PTS kelak), Hadibi, Izwaa (kawan lama aku sejak zaman sekolah) dan ramai lagi kawan-kawan lain dalam majalah KLIK!, G3, e-BACA dan BINTANG KECIL.

Terlalu banyak kenangan, nostalgia dan memori yang best-best aku rasai dan tempuhi di sana. Secara peribadi dan secara profesional, kebanyakkannya banyak merangsangkan dan membangkitkan daya karya aku hingga ke puncak kerana persekitaran serta senario kerja yang asyik. Hendak diceritakan satu-persatu di sini rasanya mustahil. Ini adalah kerana sama ada aku tidak dapat ingat semua kenangan-kenangan manis di sana ataupun aku lebih happy kalau aku pendam dan simpan begitu saja. Namun yang jelas, it was one of the key moments in my entire life having a job and career doing comics surrounded by idols and icons you grow up with. Di sini jugalah aku berkesempatan untuk bekerja satu bumbung dengan legenda Aie dan juga legenda Ujang. Peluang yang rasakan sangat, sangat mustahil untuk aku kecapi suatu masa dahulu tapi menjadi kenyataan di Karangkraf. Sekali lagi, BEST YANG AMAT.

Sehinggalah pada penghujung tahun 2006, pengurusan mengambil keputusan untuk memberhentikan penerbitan majalah JOM dan aku diserapkan ke dalam majalah G3 dengan skop kerja yang kurang lebih sama. Di sini hati dan jiwa aku sudah berbelah bahagi. Sudah hampir dua tahun di sana, aku sudah kenal dan tahu selok belok dunia pekerjaan dan kenal orang itu dan orang ini. Akhirnya aku sedar sendiri: Aku perlukan nafas baru dan perspektif baru dalam berkarya dan berkerjaya. Aku mahu tukar dan pindah kerja. Aku tekad dengan keputusan aku itu atas dasar yang tiga di bawah ini:

  1. Aku mahu rasa ruang dan peluang baru yang ada di luar sana sejajar dengan minat dan bakat yang ada pada aku
  2. Aku mahu lihat muka baru dan pengalaman baru selain daripada Karangkraf kerana nampakanya passion yang ada dalam diri tidak seghairah dahulu semasa majalah JOM masih wujud
  3. Aku mahu adjust dan ubah persekitaran peribadi aku yang semakin lama semakin hampir tidak terkawal di sana dek kerana itu dan ini

Dengan langkah gagah dan berani, aku ditawar (atau sejujurnya aku yang menawarkan diri) untuk pergi bekerja di tempat baru atas rekomendasi Aura, colorist digital legenda komik tanahair. Akhirnya pada Februari 2007, aku pun menamatkan perkhidmatan aku di Karangkraf dengan mixed feelings yang sangat-sangat emosional sekali. Pengalaman dan portfolio terbesar dan masih lagi besar kerana di situlah aku diikhtiraf sebagai seorang pekerja tetap, sebagai seorang pengkarya dalam bidang komik dan kartun dan sudah semestinya sebagai seorang yang dapat menjadi diri sedniri dan membuktikan bahawa apa sahaja yang kita mahukan dan impikan dalam dunia ini, sememangnya dan sebetulnyah boleh menjadi kenyataan.

Ulasan

azyze berkata…
sedap membaca, tapi sedap lagi kalau dapat baca material baru.

cepat, tulis lagi bro!
faizalmukhtar berkata…
[azyze]

saya sudah tulis material baru seperti yang dimahukan! : )