Di rumah baru Jimi lagi

Siang hari aku tidak ke mana-mana dan hanya melayari internet. Berlegar sekitar Facebook dan YouTube sepertimana biasa sambil buat kerja sikit-sikit. Malam baru ada kerja hardcore. Malam aku berjumpa dengan seoarang rakan pejuang yang sudah lama tidak aku jumpa dan sembang panjang. Aku ke pergi berjumpanya dengan Adi. Sama-sama juga rakan juang yang boleh kata lama. Kami merentasi jalan yang agak jauh dari rumah kami di Subang Jaya yang menghala ke Gombak dan Selayang sehinggalah sampai ke Taman Jasa Perwira.

Itu rumah baru Jimi dan Amoi, isterinya yang sudah sarat lebih empat bulan.

Tujuan aku ke rumah Jimi tidak lain dan juga tidak yang bukan-bukan. Aku sudah lama mahu dan kepingin bertemu Jimi. Sudah beberapa tertangguh dan tidak jadi-jadi kerana bertembung agenda dan rancangan aku dengan rancangan dia. Aku ada projek yang aku ingin lancarkan bersama Jimi hujung tahun ini. Projek ini sudah hampir dua tahun dalam pembikinan dan akan siap untuk semua pada bulan Disember kelak. Sedang aku berbincang-bincang dan merancang-rancang dengan Jimi tentang execution method dan set scheduling, kami berempat sempat juga berbual-bual tentang apa yang terbaru dan terkini, cuti Raya Haji, soal famili dan masa depan serta bermacam-macam lagi hal yang berkaitan dan tiada kaitan.

Jimi sudah dipindahkan ke unit baharu beberapa bulan yang lalu. Dia yang saya kenal adalah seorang manusia yang rajin, tidak banyak komplen dan mengeluh, kerja siap laju, gila tidak bertempat, hormat kawan dan paling penting bagi aku yang sudah tahu perangainya adalah tidak berkira. Jimi ada time susah dan senang aku. Malah apabila aku cuba untuk buat sedikit pertimbangan tentang bagaimana caranya aku hendak bayarkan kepada dia tentang projek ini nanti bila sudah gerak, dia menolak dan berkata, 'Tak payah. Itu semua tak payah. Bila dah kaya, baru ktia kira'.

Mazhab aku dan Jimi tidak jauh beza.

Rezeki.

Jodoh.

Takdir dan ketentuan.

Ujian, cubaan dan dugaan hidup.

Susunan dan perancangan, yang terlaksana, yang tidak terlaksana dan belum terlaksana lagi.

Itu semua sudah termaktub dalam jiwa dan 'buku' masing-masing. Jimi punya minat, passion, semangat, berahi dan nafsu yang terlalu mendalam dalam bidang komik. Aku pernah bekerjasama dengan beliau sejak lebih 5 tahun yang lalu dan aku pernah lihat stroke terbaik dan sentuhan teragung beliau. Dan aku yakin malah percaya, ada banyak lagi yang belum dikeluarkan dari jurus-jurus dalamannya. Dia boleh pergi jauh kalau dia mahu dan kalau dia bersedia. Malahan, dulu selepas kali ketiga sebumbung bekerja dengan Jimi di bawah syarikat yang sama, aku merancang untuk mengeluarkan masterpiece terunggul untuk aku kerjakan bersama-sama. Dan kini apabila sudah keluar dari syarikat tersebut, masterpiece itu aku sematkan kemas-kemas dalam jiwa untuk aku ciptakannya juga kelak tahun hadapan jika diizinkan Allah.

Mudah-mudahan, apa yang aku rancangkan malam ini akan berjaya seperti mana rancangan-rancangan yang lain sebelum ini.

Aku mahu semua bersemangat bersama aku.

Ulasan