Dalam usaha ke arah itu

Disebabkan cabaran dan dugaan hidup yang melanda aku sekarang ini, aku digesa menggandakan malah melipat-kali-gandakan segala usaha dan ikhtiar yang sedang aku laksanakan sekarang ini. Bukan sahaja dek kerana tekanan kewangan malah himpunan permintaan itu dan ini dari orang itu dan orang ini yang masih belum terlunas dan selesai. Sebagai seorang yang mempunyai daya juang dan mutu korban yang tinggi, aku laksanakan juga hingga jadi. Cinta dan kecintaan aku adalah sumber kekuatan, berani dan keberanian aku adalah pasak ketenagaan.

Minggu lalu, sebuah projek yang aku jalankan dengan kartunis terkenal negara iaitu Aie bersama-sama dengan rakan pelajar FSSR UiTM usai sudah akhirnya dengan jaya. Aku bersyukur kerana kesempatan peluang untuk mencipta portfoilio sebegitu tidak datang selalu dan aku tekuninya sebaik mungkin. Dengan tanpa sebarang modal matawang dan hanya berpandukan niat serta cekal semangat aku untuk membentuk aset Manteraworks sekukuh mungkin suatu hari nanti, siri workshop bersama Aie ini diharapkan dapat membuka mata pengkarya dan pencinta karya yang ada supaya tahu dan faham dataran kreatif serta platform komik di negara ini sebenarnya tidak tandus dan masih lagi 'kaya' dan 'raya'. Itu antara tujuan utama aku melaksanakan workshop seumpama ini sebenarnya. Aku ingin membangkitkan nyalarasa dan segenap semangat bakat-bakat baru yang ada di luar sana supaya bangun dan membangkit menyahut seruan masa hadapan. Aku tidak rela melihat mereka kufur nikmat secara bawah sedar. Kerana aku yakin potensi mereka, aku rasa prospek yang wujud dari dalam diri mereka. Bakat-bakat muda, lebih segar dan lagi luarbiasa seperti Aliff Firdaus Azis, Aman Wan, Zid, Resmanshah, Arep, Shareal dan lain-lain lagi yang ingin aku angkat supaya dunia nampak apa yang ada pada batin karyawan mereka. Mereka bukan sekadar bakat dan kreatif. Mereka more than that, more than meets the eye. Aku selalu berkata kepada diri sendiri, talent and creativity is intangible. Not like money, not like things and stuff. Kalau ekonomi kita merosot atau kalau nilai duit menyusut sekalipun tetapi minda kreatif dan bakat tenaga. Mereka tidak akan berubah-ubah malah menambah-menambah.

Aku sekarang sedang dalam usaha ke arah itu. Mencari dan meneroka lebih ramai lagi bakat dan kemahiran muda baru yang bisa aku lentur dan lebur supaya terlihat akan kemampuan mereka yang sejati. Kalau dilihat secara rawak dan sekali imbas, memang nampak macam mahu mencari pengaruh dan pengikut sahaja. Mahu cari kaki dan tangan untuk temu buku dan ruas. Ya, memang betul. Aku memang akui itu semua. Aku memang mahu kumpul-kumpulkan seberapa ramai dan seberapa banyak bakat muda dan minda segar yang ada supaya masa hadapan kita semua lebih kuat dan terjamin. Bukan apa, sekarang terlalu banyak kemunduran dalam arus kemajuan. Terlalu kerap berlaku kebosanan dan kebungkaman, kebejatan dan kepudaran. Sedangkan patutnya kita sudah boleh meluncur. Sudah boleh terbang. Jujur cakap, aku bergebang soal si polan dan si polan. Yang terperangkap dalam jurang korporatisme dan birokrasinisme. Hehe. I really hope there is such words that exist.

Disebabkan ada yang tidak ditatang dan diberikan panduan asas dalam menggerakkan karya dan mencipta karya, ada segelintir karyawan-karyawan yang tediri daripada kawan-kawan aku yang bukan lagi muda remaja sudah terjebak dan terjerumus dalam skim manusia 'skema dan lama'. Mereka kerap merungut dan mengkritik pada yang bukan-bukan dan pada yang tidak wajar. Mereka merela-paksakan diri menjadi mangsa kepada sistem yang tidak adil dan tidak akan pernah adil. Lihatlah, mereka asyik dan terjerumus ke kancah 'blame game' lagi dan lagi. Aku tidak sanggup ini berlaku dengan lebih lama. Lebih baik aku pegang amanah pada prinsip seorang karyawan dan seniman. Kerana aku percaya dan yakin dengan wadah matlamat serta sasaran hakiki yang aku sematkan dan benamkan, wang dan harta akan datang sekali sejajar rezeki-rezeki sebarisnya. Tuhan itu Maha Kaya, Maha Tahu dan Maha Pengasih lagi Penyayang. Sedang usaha itu akan dibekalkan nikmat buah keberhasilannya jika kita semua boleh sabar dengan ujian dan dugaan yang mendatang. Boleh cekal dan tabah. Boleh berguru dengan guru-guru yang kamil dan ahli. Boleh letakkan martabat ilmu pengetahuan dan puncak pengalaman pada kedudukan yang sebenarnya.

Kerana itu aku tolak apa yang sepatutnya aku tolak. Aku tidak mahu apa yang aku kerjakan tidak ikhlas dan tidak dengan sepenuh hati dan perasaan. Aku tidak mahu nanti itu semua menjadi dendam kesumat dan dosa-dosa kering yang berpanjangan. Aku pernah susah dan aku pernah senang. Itu fitrah manusia. Sehinggakan kini aku tahu dan faham kenapa kebenaran dan keadilan itu akan muncul pada saat-saat kita amat memerlukannya. Nyatalah sekarang aku sedang susah dan payah semula. Orang yang tidak tahu dan tidak faham sedang terus-terusan menekan-nekan aku secara sedar atau mungkin di bawah sedar supaya aku 'bergerak', 'bergerak' dan 'bergerak'. Walau hasilnya belum jelas tapi matlamat sudah kelihatan nyata buat aku sejak sekian lama.

Hari ini 1 November, 2011. Kurang lebih dua bulan sahaja lagi menuju tahun baru yang baharu lagi. Dan pelan perancangan untuk suku terakhir tahun ini nampaknya berjalan seperti yang aku tetapkan biarpun terdapat kepincangan dan kekurangannya. 2012 menetapkan azam dan matlamat aku yang TERBESAR setakat ini. Aku tidak mahu fikir soal gagal atau kecewa. Aku enggan congak sama ada jadi atau tidak. Aku tolak semua negatviti dan pesimisme. Aku hanya mahu terima dan terbuka pada semua kemungkinan dan semua kebarangkalian yang ada kerana aku tahu yang aku sudah cuba dan sudah usaha dengan tekad-tekad kehidupan yang dipadu pengalaman dan janji.

Sedang aku yakin, tidak ada lagi kemustahilan yang tidak dapat aku lakukan sebelum dan selepas ini.

Ulasan