Dari mana nak ke mana aku ni?

Apabila bersendirian sebegini dan tidak ada sesiapa yang tahu apa yang sedang berlaku serta berlangsung di dalam jasad mahupun hati ini, sudah pastinya kebergantungan kepada pengalaman dan isi pengetahuan yang ada akan memuncak tingginya. Berdikari tanpa meminta-minta dan mengharapkan bantuan atau pertolongan orang lain dalam keadaan yang sangat sukar dan terdesak ini membuahkan bermacam ilham dan kadangkala idea untuk bangkit daripada sebelumnya. Daripada aku 'ada' semuanya, sekarang ini aku hampir 'hilang' segalanya yang pernah 'ada'.

Kata-kata orang memesan, Tuhan sedang uji dan tunjuk ajar aku supaya lebih tahu tempat aku di mana dan di mana yang sebenar-benarnya.

Kata-kata orang mengingatkan, aku perlu lebih fokus. Perlu lebih memberi tumpuan pada kerja-kerja aku dari mula ia dilaksankan hingga ia secukupnya selesai.

Kata-kata orang memberitahu, aku akan jadi 'somebody' suatu hari nanti. Aku adalah 'someone' itu.

Kata-kata orang menegur. Jangan lupa. Jangan leka. Jangan lena.

Jadi, aku pun memberikan sedikit (sebanyak) masa untuk merenung dengan lebih dalam semua pesan, ingatan, pemberitahuan dan teguran itu tadi. Ternyata kata-kata orang itu yang mahu aku 'jadi' aku, kata-kata orang yang sayang dan bangga dengan aku, kata-kata orang yang mengharap dan menunggu lebih apa yang aku ada sekarang supaya 'tunjukkan', 'buktikan' dan serlah kemampuan sebenarnya yang belum pernah terlihat sebelum-sebelum ini. Ada yang begitu bersungguh-sungguh dengan pengharapan itu sehingga ianya menjadi permintaan yang sangat bersifat mendambakan. Maka, aku tida sanggup melihat orang itu dan itu kecewa dan hampa dengan silap-laku dan salah-langkah yang lalui. Bukan niat mahu jadi 'perfectionist' tapi aku mahu jadi 'completist' supaya orang itu dan itu tahu yang tiada apa yang mustahil dalam pengharapan serta permintaan mereka itu.

Hari ini aku memang tersungkur kerana tersadung kaki sendiri. Orang sudah cakap pada aku, langkah susun biar kemas, biar cantik, biar perlahan asal selamat ke tujuannya. Lalu jalan yang betul biarpun tidak lurus dan aku juga yang akan membetulkan jalan itu supaya lurus juga akhirnya. Minta tanya dan berdampinglah dengan ikhtibar. Peka sungguh mereka pada aku. Mungkin aku rasa mereka sudah nampak akan sesuatu yang aku sendiri tidak nampak pada dalam dan luar diri aku ini. Tajamnya pengamatan mereka, luhur-jujurnya perhatian mereka, semahu-mahunya aku berubah demi menjadi yang baik dan terbaik.

Dan sehingga suatu hari itu tiba, tinggallah aku di sini sendiri.

Menanti langkah-langkah baru untuk aku cuba dan cuba dan terus-terusan mencuba.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Masih punya masa.
Masih punya peluang.
Teruskan berjalan ke hadapan.

Masih ada yang melihat, menunggu dan mengharap perubahan itu.

InsyaAllah...
faizalmukhtar berkata…
[anonymous]

Kau jangan ingat dengan nama anonymous tu, aku tak kenal kau Jah! :)
Tanpa Nama berkata…
Hahahaha! Dem.