SALAM PERUTUSAN KHAS ISTIMEWA HARI RAYA AIDILFITRI | TANGGAL 2011 bersamaan SYAWAL 1432H


Saban tahun di ambang Hari Raya seperti ini, ketika usai berbuka puasa untuk hari yang terakhir tatkala kedengaran gemersik takbir Aidilfitri menandakan ketibaan Syawal dan berlalunya Ramadhan, hati pasti akan meruntun kesyahduan. Syahdu kerana mengenangkan sebulan yang pergi dan tidak akan kembali lagi untuk tempoh setahun lagi yang akan datang (insyaAllah). Aku lebih meresapi semangat Ramadhan. Syawal tiba untuk meraikan detik kesyukuran dan ketabahan kita mengharungi Ramadhan. Cubaan dan dugaanya, ujian dan tekanannya, perit jerih dan susah payahnya. Puasa dan Ramadhan menyerap masuk terlalu dalam ke lubuk jiwa terus membenam ke dasar nurani. Aku mula mengenal erti kedewasaan sejak dahulu lagi semasa Ramadhan menyingkap tirai hidayahnya. Membuka seluas-luasnya ilham dari fitrah ketentuan alami apabila zahir digamit ketabahan dan batin disuci keredhaan Yang Maha Tahu.

Alhamdulillah, ini masuk tahun yang ke-8 aku membuat perutusan khas sempena Hari Raya di laman blog aku ini. Ramadhan yang aku lalui tahun ini sekali lagi banyak memberikan aku pengajaran tentang erti hidup sebagai manusia di dunia yang fana ini. Punya puncak kelebihannya dan ada terkandung kekurangannya buat aku ratapi serta fahami seisinya.

Bila aku tahu aku lemah.

Bila aku tahu aku jahil.

Bila aku tahu aku tidak terdaya dan tidak mampu.

Bila aku tahu yang DIA lebih mengetahui apa yang terbaik buat diri aku.

Bila aku tahu hanya pada DIA aku harus memohon dan wajar menyerahkan segalanya.

Maka, berhari raya di kala Syawal akan mendatangkan lebih kurnia keinsafan dan ketaubatan. Bermaafan dan meluahkan keampunan. Itu adalah sifat manusia yang paling bersih. Yang mana kurang dan yang mana lebih, kita sama-sama akui. Sudah tentu nanti akan terpancar jua kebahagiaan dan kegembiraan yang sejati lagi hakiki.



KESYAHDUAN PADA KESAKSIAN

Memang banyak terdapat ujian dan dugaan setiap kali aku menjalani ibadah puasa. Makin naik harinya, maka makin banyaklah jua cubaannya serta tekanannya. Tapi aku anggap ini semua perlu untuk mengukuhkan kedudukan sanubari aku di dalam kehidupan. Buat menguatkan lagi pedoman aku supaya orang yang di luar sana lebih memahami niat aku yang sebenar-benarnya. Apa tujuan aku melakukan itu dan ini, begitu dan begini.

Mungkin suatu hari nanti, mama akan faham kenapa aku tidak dapat membelikannya sofa Ektorp jenama iKEA yang disebut-sebutkannya sejak katalog terbaru 2012 tiba di pintu rumah.

Mungkin suatu hari nanti, adik dan adik aku yang dua orang itu akan faham kenapa sejak melahirkan zuriat yang pertama dan kini bertambah dua dan tiga, aku tidak dapat menghadiah mereka cenderatanda buat meraikan ketibaan cahaya mata.

Mungkin suatu hari nanti, buat mereka yang mengharapkan aku memberikan mereka duit raya dan perkara-perkara yang perlu semasa raya dapat faham kenapa aku tidak melakukan yang sedemikian.

Mungkin suatu hari nanti, kepada yang mengambil berat pada aku, kepada mereka yang mengambil tahu dan mengambil pusing tentang kedudukan semasa aku dapat faham kenapa aku jadi seperti siapa yang aku jadi hari ini.

Mungkin suatu hari nanti, aku akan faham kenapa pada saat dan detik aku hampir menemui ajal tempoh hari, Tuhan masih memberikan aku peluang dan ruang kesempatan untuk meneruskan kehidupan dengan nyawa di badan teramat rapuh bila mati pasti akan datang menjemput bila-bila masa saja.

Mungkin suatu hari nanti, mereka dan mereka akan juga turut faham kenapa aku sekali lagi beruzlah diri dan mencari pintu-pintu baru, kenapa aku harus membiarkan dan mengabaikan, kenapa aku kena menghindar dan mempeduli, kenapa aku masih lagi tidak kaya raya di hari raya, kenapa aku terpaksa mengorbankan benda yang sedia ada untuk benda yang belum ada dan kenapa aku tidak memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang ditanya mengenai aku.

Aku berdoa pada suatu hari nanti, semua itu akan terlerai juga akhirnya.



INGATAN YANG BERPANJANGAN

Detik suka dan gembira akan selalu disimpan dalam sisi kenangan dan pastinya akan tersemat rapi bila aku mengimbasnya kembali. Memori berpuasa dan mengharungi Ramadhan semasa kecil terus lanjut ke sekolah, ke universiti dan langung ke alam kerja. Semuanya aku masih ingat dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Senyuman pasti menguntum, tawa terkadang terlepas tiada sengaja. Malah pada saat-saat susah dan sukar seperti yang aku lalui dan hadapi sekarang ini, ianya lebih-lebih bererti apa diingat semula. Tambahan pula, ia mengajar aku supaya lebih beringat-ingat dan waspada selalu.



Kenangan berbuka puasa beramai-ramai di samping kawan-kawan rapat lama dan baru.

Kenangan mengisi Ramadhan menuju Raya dengan cerita-cerita, makan dan minum, rancangan dan perancangan, mimpi dan impan.

Kenangan membina sahsiah baharu pada puasa ini pada puasa yang lalu dan puasa yang akan datang.

Itu semua adalah ingatan yang berpanjangan sampai bila-bila biarpun ke penghujung waktu.



BUANG YANG KERUH, AMBIL JERNIHNYA. MAAF ZAHIR, AMPUN BATIN

Kepada semua kenalan dan taulan, ahli keluarga dan famili, kawan-kawan, sahabat rapat, teman akrab.

Aku merayu pada kalian supaya dosa-dosa dan salah silap aku diampukan. Aku sedar aku terlalu banyak berbuat kalian terasa jiwa dan berkecil hati. Keterlanjuran kata-kata dan tutur ucap, kebaculan perbuatan dan keterlampauan perlakuan. Aku menyembah salam kemaafan. Aku meminta dibersihkan semua 'kehitaman' itu. Kerana aku hanya manusia yang tidak ada lebih dari apa yang aku mampu. Masih ada banyak kekurangan dan kelemahan yang nyata ketara.

Buat semua yang di rumah ini, yang ada di Subang Jaya ini dan di mana sahaja berada.

Buat semua yang pernah sebumbung dan selantai menuntut ilmu dunia dan pengetahuan akhirat dengan bersama.

Buat semua yang telah bekerja dengan aku, dari jawatan amatur aku yang pertama hingga posisi karier aku yang terkini.

Buat yang membaca blog, tulisan di FB dan perbincangan serta perbualan lanjut di YM dan sebagainya perantaraan media komunikasi yang lainnya.

Buat yang mahu tahu, ingin tahu dan makin faham serta kenal peribadi aku.

Aku benar-benar minta maaf. Aku betul-betul mohon ampun. Pada yang sengaja atau tidak sengaja. Harap-harap tidak disimpan di dalam hati terlalu lama hingga menjadi dendam kesumat dan pemusuhan hingga hadir kebencian yang meruncing dan merosakkan ikatan.


Semoga kita semua dapat apa yang kita mahu untuk Syawal ini.


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


JAGA DIRI.



Perutusan-perutusan Aidilfitri pada tahun nan lalu pada blog ini :

RAYA 2010
RAYA 2009
RAYA 2008
RAYA 2007
RAYA 2006
RAYA 2005
RAYA 2004


Ulasan

Rina Idayu berkata…
Mohon ampun salah silap, halalkan makan minum serta lupakan segala yang pernah mengguris hati awak. Saya tidak berniat.

Selamat hari raya aidil fitri.
faizalmukhtar berkata…
[yin]

Sama-sama kembali. Maaf dan ampun pada semua kekhilafan, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan.

Salam Syawal :)
azyze berkata…
Hmm. Terharu pulak baca.

Selamat hari raya. Kalau ada khilaf, kira kosong-kosong aiight.
faizalmukhtar berkata…
[azyze]

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin. Thank you for supporting
gayour berkata…
ah, karut! cakap banyak dan panjang menjela nak beli jiwa tak guna!

salam eid fitr maaf zahir batin.
pendek, padat, tepat dan menuju sasaran!
faizalmukhtar berkata…
[gayour]

Ngehehe.

Raya setahun sekali. Ini kira himpun semua perasaan sejak raya tahun lepas, sedara. Protokol jiwa, prosedur nyawa.

Maaf Zahir dan batin kembali. Selamat Hari Raya balik