Bulan Tabah. Bulan Sabar

Aku baru saja selesai berbuka puasa. Hari ini aku berbuka berpuasa di hospital. Bersama dua orang adik lelaki aku. Satu yang baru menimang anaknya yang kedua (perempuan) dan satu lagi yang baru saja dinaikkan pangkat di tempat kerja baru. New chapter, new phase, new life.

Di hospital kerana ayahanda menjalani pembedahan minor pagi tadi. Perlu untuk kurangkan malah hilangkan terus kesakitan yang ditanggung selama ini. Aku sudah lama memerhatikan dan mengamati keadaan ayahanda sejak sakit-sakitnya mula kerap datang dan pergi. Walaupun sakit ayahanda tidak serius dan kritikal tapi aku tetap ambil berat serta ikuti perkembangan kesihatannya. Ini adalah rekod hospital ayahanda yang ke-5. Aku harap semuanya akan bertambah baik untuk penyakit yang satu ini.

Seperkara tentang hospital yang aku dapat sematkan adalah betapa banyak ikhtibar, pengajaran dan petikan-petikan hidup orang yang aku kenal dan tidak kenal dapat aku jadikan buah fikiran. Kesedaran yang sempat singgah setiap kali ke sini sangat membangkitkan nurani. Anugerah fizikal dan mental serta kurnia batin dan zahir bukanlah milik kekal kita sebenarnya. Manusia punya kelemahan yang paling nyata ketara bila sakit. Yang kuat pasti tidak akan kuat selamanya. Yang gagah pasti tidak akan gagah selamanya. Sedih dan pilu juga melihat nasib-nasib orang yang datang ke sini. Masing-masing ada cerita masing-masing. Kalau dihimpun dan dikumpul semuanya, pasti segunung keinsafan jualah jawapannya. Pedih dan perit hanya mereka yang rasa. Kita hanya menanggung simpati, mereka menganggung impati.

Bayangkan kalau aku yang terlantar di sini (aku tidak pernah dimasukkan ke hospital setakat ini. Alhamdulillah). Sudahlah sakit, kebosanan pula aku baring sorang-sorang. Kalau 2-3 jam, 4-5 jam masih boleh tahan. Mungkin boleh layan komik, baca buku, tengok TV, tonton filem lalu laptop. Tapi kalau 2-3 hari, 2-3 minggu. Mahu rasa 'dalam penjara' rasanya. Sakit dan bosan. Mungkin tidak sinonim dengan aku status aku sekarang tapi aku bersiap sedia. Aku tidak tahu nasib aku esok lusa. Bulan depan. Tahun depan. Soal kesihatan dan penjagaan diri sendiri, kita semua boleh rapi dan mampu pantau. Tapi kalau Tuhan berkehendakkan kita sakit dengan kudrat dan iradatnya, kita kena tabah. Kita kena sabar. Ada sebabnya. Ada puncanya. Ada ketentuannya.

Aku harus hargai dan syukuri kesihatan yang masih ada. Manfaatkan kekuatan yang sempat ada. Usia tetap berjalan. Hidup mesti terus. Susah senang, kita yang rasa dan tahu. Orang lain mungkin boleh kongsi, boleh tolong dan boleh ringan-kurangkan beban sakit kita. Tapi selagi kita sendiri yang tidak merasanya, hanya masa yang dapat memberi jawapan-jawapan yang pasti.

Ulasan

azyze berkata…
Semoga bapak kamu cepat sembuh. My mom pernah masuk spital, kesian dia. Rasa helpless pun ada gak...I understand the feeling.

Bulan ni kita kena banyak berkawan dengan masa. Dia mengubat, dia merawat, dia memadam, dia juga yang menyinar.
faizalmukhtar berkata…
[azyze]

Good advice. Appreciate it! TQ : )