sarat nikmat pada hakikat

Apabila aku dalam keadaan sendiri dan mencari-cari apa yang hilang atau tidak sempat terjumpa sebelum ini, kerap juga tersentak dan tersentuh jiwa nurani pada sesal silap yang lalu. Peluang yang ada tidak digunakan, ruang yang ada tidak diisikan, masa yang ada tidak dimanfaatkan dan kesempatan yang ada tidak dipanjangkan dan dilebarkan dengan sebaiknya. Jadi tinggallah aku dengan balasan dan ujian berat yang setimpal dengan kelewaan-kelewaan itu.

Ada kawan rapat yang berkata sambil berpesan kepada aku, “Tuhan uji kau sebab dia sayang kau. Dia mahu kau dekat pada dia setelah apa yang terjadi. Kalau kau tidak diuji sebegini, hari ini, mungkin Tuhan tidak sayangkan dan terus membiarkan kau pada kesenangan dunia. Terus tidak mengendahkan dan mempedulilan kau pada kemewahan yang akan terus membuat kau tidak ingat padanya”.

Dan pesan itu terus melekat di dalam akal minda dan benak fikiran sejak dari itu. Jelas sekali kawan aku yang ini dan kawan aku yang itu memerhatikan tingkah laku aku senang dan susah aku. Hati juga kian rawan, makin pilu dan makin syahdu lagi.

Apakan daya, Tuhan itu tidak zalim (itu juga kata seorang lagi kawan yang jauh). Yang zalim hanya diri kita, pada diri kita sendiri. Yang mudah lalai dan senang lupa pada kesenangan sementara. Dia hanya menguji kita pada kadar kemampuan kendiri dan ketahanan batiniah sendiri agar kita tahu di mana tempat dan kedudukan kita yang sepatutnya di dalam dunia ini. Hakikatnya sekarang, yang berlaku sudah pun berlaku dan aku haru s belajar semula serta cepat bangkit daripadanya. Tiada apa guna punya sesal yang berlarutan dan kesal yang berpanjangan. Ubah nasib sendiri. Ubah takdir sendiri. Ubah tabiat dan cara sendiri yang dahulunya hanya mendatangkan kemudaratan pada hari ini. Ilham di gali. Idea di petik. Inspirasi didatangi dan dijemput seadanya. Aku mahu jadi orang yang berguna dan disayangi.

Kerana bagi aku, hidup ini hanya akan terus dipersia jika tidak mahu bangkit dari kegagalan dan kekecewaan, malah terus meratapinya.

Hidup ini adalah nikmat.

Kurnia yang hebat.

Pada tubuh dan semangat yang mahu lebih bermakna, sarat juga padat, amal dan ibadat.

Ulasan