manifestasi mimpi semalam

Antara perkara yang paling sukar sekali hendak kita kecapi adalah apabila kepercayaan yang diberikan kepada orang buat kita mahu dikembalikan semula. Kerana kepercayaan dan keyakinan orang pada kita tidak ternilai dan sangat tinggi harganya. Aku terpaksa bayar sebuah harga yang mahal untuk itu sekarang.

Aku akui dan aku sedar sekarang, pengajaran yang aku dapat hasil daripada penerapan ego diri dan kebanggaan peribadi kini adalah sia-sia. Tiada gunanya menegak benang yang basah. Tiada ertinya menjaga pekung di dada. Tiada maknanya menangguk di air keruh. Oh! Tuhan itu Maha Adil. Tuhan itu Maha Saksama. Allah Taala sudah sedia, sudah nampak dan sudah lama tahu dan mahu menguji aku dengan perasaan serta sifat-sifat 'hitam' aku yang jelek lagi buruk itu.

Maka, aku merasakan pembalasannya. Memang setimpal tiada terperi.

Namun, aku sedia maklum yang Allah tidak pernah zalim pada hamba-hambanya. Yang zalim adalah diri kepada sendiri. Enggan rendah diri dan enggan sedar diri. Tidak pernah bersyukur dengan rezeki dan senantiasa kufur pada nikmat yang diberikan. Anugerah yang diberikan seolah-olah tidak akan pernah putus dan berakhir. Sakitnya aku hanya Tuhan yang tahu. Biarlah aku tanggung ini sendiri kerana aku sendiri yang 'mencarinya'.

Setiap hari aku berfikir, apalah kiranya jika dapat aku mengulangi masa-masa dan waktu-waktu yang dahulu. Bolehkah kiranya jika dapat aku kembalikan detik-detik dan saat-saat yang berlalu. Aku teringin memanfaatkannya dengan sebaiknya, memberikan ia faedah dengan seelok-eloknya. Aku hendak isikannya dengan segala tenaga, usaha dan kudrat yang ada pada dalam diri ini. Aku sedar aku punya bakat itu, punya iltizam itu, punya daya dan keupayaan itu. Aku sebenarnya punya niat mahu bahagia. Menggembirakan orang-orang yang aku sayang kerana menaruh kepercayaan dan keyakinan itu. Agar nanti bila-bila masa yang akan datang, semua dapat merasa benar-benar senang dan lapang.

Kini bagaikan mimpi bertukar ngeri, aku makin gelisah dan gundah. Ke mana perginya aku yang mahu 'berubah' itu? Ke mana perginya aku yang mahu bina hidup baru itu? Ke mana perginya aku yang mahukan semalam sebagai pedoman hidup dan panduan akal dan batin itu? Ke mana perginya janji? Ke mana perginya sumpah? Ke mana perginya? Ke manakah jua akhirnya?

Seorang dirilah aku mencari jawapan. Seorang dirilah aku meneroka penyesalan. Seorang dirilah aku meraba-raba dan meratap-ratap dalam ketiadaan.

Pada kesempatan ini, aku mahu berpesan dan beri nasihat kepada diri aku yang akan datang, yang sudah senang, yang sudah kaya dan yang sudah ada-ada serba serta serbinya:

  1. Ingat pada nikmat dan kurnia yang Allah Taala anugerahkan pada kau kerana bila-bila masa juga kau akan kehilangannya semula,
  2. Bersyukur pada semua yang diberikan, dihadiahkan dan dipersembahkan pada kau kerana apa-apa juga boleh terjadi pada kau sekiranya kau lalai, leka dan alpa,
  3. Merancang untuk kebaikan dan kebergunaan masa-masa perlu dan mahu kerana siapa-siapa sahaja akan berdoa buat kau jikalau ada yang kena dan ada yang tidak kena.

Moga-moga dan mudah-mudahan semuanya baik-baik sahaja.

Ulasan

Rina Idayu berkata…
Meminjamkan kata-kata Fynn Jamal.

kuat, sayang.
kuat.

pegang ini;
semboyan kita2 orang tepijalan--

laa takhaaf.
wa laa tahzan.
innallah ma'ana.

jangan takut.
dan jangan bersedih.
sesungguhnya tuhan bersama kita.
faizalmukhtar berkata…
[yin]

Masalah peribadi memang sentiasa menyayat hati.

Terutama pada sayang dan cinta yang kita cari.