Perutusan rasmi sempena pelancaran Siri Workshop MANTERAWORKS 1/2011


SIAPA FAIZAL MUKHTAR?

Banyak feedback dan respon yang aku dapat bila promosi ini mula digerakkan lebih sebulan yang lalu. Ada yang kata aku akan keluar dengan novel/buku dengan judul yang di atas. Ada yang kata aku akan keluar dengan komik dan majalah baru. Ada yang kata itu adalah tajuk filem yang bakal diarahkan, dituliskan dan dilakonkan aku sendiri.

Hehe. Aku hanya mampu tersenyum kerana gimik aku ini sebenarnya menjadi juga kerana ada yang memberi perhatian. Ada yang mempersoal dan bertanya. Ada yang mahu tahu dan ingin tahu. Ini menunjukkan bahawasanya 'everything is according to plan'

Well, biar saya beri jawapannnya.

Ini adalah explaination kepada viral kempen 'Siapa Faizal Mukhtar?'

Sepertimana anda dan anda yang sedang membaca tulisan ini, aku sememangnya seorang yang sukakan komik sejak dari dari dulu lagi. Lama-lama bila sudah jatuh hati dan jiwa kian rawan, aku sudah mula mencintai komik. Makin lama aku mendalami, menerokai dan meresapi komik dalam diri, makin aku rasai bahawasanya aku sekadar hanya suka komik dan cinta komik. Malah lebih daripada itu sebenarnya.

Maka dengan jujurnya, aku ingin membuatkan pengakuan terbuka (dan aku rasa ramai juga yang sudah tahu akan pengakuan ini): AKU INI GILA KOMIK.

Ada banyak sebab kenapa aku jadi obses dan taksub pada konsep prima sebuah komik. Teruja, terkesima dan terkenan pada segala tema, genre, displin dan sari dunianya. Perkara yang paling indah dan mempersonakan tentang komik adalah apabila cerita yang ‘sedap’ dan lukisan yang cantik bercantum, bergabung menjadi satu hasil seni yang cukup unik dan kompleks. Tidak kiralah kita ini peminat komik barat Amerika dan Eropah seperti Superman, Batman, Spider-Man, X-Men, Disney dan lain-lain. Mahupun penggemar Manga dan Manhwa dari belah Asia seperti di Jepun, Korea dan Hong Kong umpama Dragon Ball, One Piece, Naruto, Pedang Setiawan, Perwira Laut dan sebagainya. Di negara kita juga kini sudah banyak terhidang judul-judul komik dan kartun yang mempunyai golongan pengikutnya yang tersendiri. Kita ada Gila-Gila dan Ujang bagi yang meminati humor dan jenaka, komik-komik keluaran Art Square dari pengeluar majalah Gempak, barisan Komik-M dari PTS yang semakin lama semakin berkembang serta pelbagai lagi siri animasi dan hasil novel grafik keluaran tempatan seperti Upin dan Ipin dan Boboi Boy yang popular itu. Memeriahkan lagi arena komik dan kartun kita di persada antarabangsa, kita bertuah punyai ikon seperti Dato’ Lat yang sudah mencapai tahap legendaris. Malah, bakat-bakat muda dan bertenaga lagi segar semangatnya seperti Zid, Adijin, Tan Eng Huat dan Billy Tan sudah pun mencapai status internasional.

Ini merupakan masa yang paling tepat dan TERBAIK sekali untuk berada dalam semesta komik, tidak kira di pentas lokal mahupun persada antarabangsa.

Dunia sudah mengikhtiraf komik dan kartun sebagai sebuah cabang seni yang cukup berpengaruh dan aliran media yang sangat berprospek dan berpotensi tinggi. Lihatlah bagaimana saban tahun di pawagan-pawagam berdekatan kita, ada saja filem yang berputar sekitar komik, kartun dan pengembaraan superhero. Tahun ini saja barisan filem hebat seperti Thor, Captain America, X-Men (Marvel), Green Lantern (DC) dan Tin-Tin (Eropah) terhidang untuk dinikmati oleh peminat komik sejagat. Aku masih ingat lagi bermulanya ledakan atau ‘serangan’ komik ke filem ini sebenarnya secara tidak rasmi bermula pada tahun 1998 iaitu semasa keluarnya Blade lakonan Wesley Snipes ditayangkan. Mungkin ada yang akan menyangkal fakta ini kerana pada tahun 1978 apabila Richard Donner menganugerahkan kita Superman lakonan Christopher Reeve dan Tim Burton pula memberikan kita Batman versi Michael Keaton pada 1989, namun hakikatnya belum wujud elemen sezaman dan tidak ada continuity dalam mewujudkan nafas sendiri buat filem-filem komik keluaran Hollywood. Biarpun komik Blade tidak sehebat filemnya pada waktu itu, pada hemah aku ia berjaya mempengaruhi Hollywood untuk memberi perhatian yang sewajarnya untuk menghasilkan lebih banyak lagi filem-filem adaptasi daripada komik, kartun ataupun novel grafik.

Maka, pada tahun 2000 sebuah lembaran baharu telah tercipta. Filem X-Men arahan Bryan Singer telah menjadi peneraju rasmi untuk filem-filem komik untuk sedekad akan datang. Setiap tahun bermula pada tahun tersebut, sudah menjadi syarat wajib bagi Hollywood untuk mengeluarkan filem-filem adaptasi komik, kartun dan novel grafik. Siapa sangka, akhirnya aku dan ribuan malah jutaan penggila komik yang lain dari serata pelusuk dunia dapat melihat superhero-superhero melalui koleksi yang dibaca selama ini hidup dan ‘beraksi’ di skrin wayang! Malahan, indusrtri filem Hong Kong juga terkena tempiasnya dengan filem-filem blockbuster Stormriders, A Man called Hero Dragon Tiger gate. Lebih mengejutkan, apabila Bollywood yang terkenal dengan filem-filem roman cinta dan drama bermelodi sadur tarian juga turut serta. Filem ‘Krishh’ lakonan Hrithik Roshan dan tahun ini hero terutama Hindi, Shah Rukh Khan akan keluar dengan filem superhero pertama dibintanginya yang bertajuk ‘RA-One’.

Komik boleh terbentuk, terhasil dan terjadi dari apa saja yang terlintas di pemikiran dan hati kita. Akal yang kreatif dan minda yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi dan disadurkan pula dengan elemen-elemen konvensional seperi moral dan pengetahuan akan membuatkan sesebuah karya komik itu ada ‘berisi’. Kita masukkan pula unsur-unsur alami seperti budaya, tradisi, mitologi, magic, fable dan fairy tale, humor dan jenaka, sains dan teknologi, sejarah, akademik dan sebagainya jurus-jurus bidang ilmu yang ada. Tatkala lukisan terlakar dan strok tercanting di atas kertas sama ada secara manual atau digital, maka disinilah jati keindahan berlaku. Skrip, dialog dan plot bergerak seiring dengan panel dan muka surat, dari lembar ke lembar hingga terhasil-siap sebuah komik yang lengkap dengan kaver kulit penarik daya. Kesemua paduan fiksyen, kejituan fakta dan keberhasilan seni inilah yang pasti membuatkan komik dan kartun itu unik lagi istimewa setiap satunya.

Sebuah karya komik mempunyai sifat pragmatik yang ideal dan dinamik dalam menyalurkan fahaman dan pengaruh, ilmu dan maklumat, moral dan displin untuk semua peringkat usia dari setiap golongan masyarakat bagi seluruh lapisan manusia yang mahu memahami dan mengetahui kandungan mesej, biarpun yang terpapar jelas mahupun yang tersirat rahsia.

Jadi, apa hubungan dan kena-mengenanya semua ini dengan inisiatif Siri Workshop Manteraworks yang bakal bermula pada hari Sabtu, bersamaan dengan 21 Mei 2011 ini?

Jawapan untuk persoalan di atas banyak. Objektifnya juga begitu terungkai jela-jelanya. Akan tetapi, hanya ada satu penjelasan nyata kenapa kita semua sebagai peminat, pencinta komik harus menyambut dan turut serta dalam inisiatif yang dianjurkan. Masanya sudah tiba sekali lagi untuk kita sama-sama menggerakkan sesuatu untuk menjadikan komik sebagai wadah ilmu serta khazanah penting untuk generasi kita buat menyambung legasi yang terdahulu dan zaman akan datang.


Inilah, SEBUAH HORIZON BARU SEMESTA KOMIK MALAYSIA

Sejarah sedang mula dicipta. Anda dijemput untuk berada di lembarannya.


Faizal Mukhtar
Direktor,
MANTERAWORKS

MANTERAWORKS™. Keseluruhan Hakcipta Terpelihara © 2011.

Ulasan