Mungkin hadiah birthday babah untuk aku

Hari ini aku anggap sebagai salah satu daripada pemberian hadiah harijadi aku yang terbaik. Bapak aku menyarankan supaya pergi ke kursus pengurusan jenazah. Walaupun secara sedar tidak sedar, mungkin bapak aku tidak menganggapnya sebagai hadiah harijadi, namun pergi ke kursus pengurusan jenazah merupakan suatu token atau ingatan kepada hidup(mati) yang bertepatan setiap kali kita menyambut hari kelahiran.

Pagi Sabtu pada lazimnya akan kita layan dengan rindu-dendam tidur yang lebih panjang daripada biasa. Tidur yang cukup atau tidur lebih daripada cukup, bukan tidur yang hanya sekadar cuku-cukup sahaja seperti hari Isnin bertemu Jumaat. Akan tetapi, hari ini aku terpaksa bangun lebih awal kerana kursus tersebut bermula pendaftarannya pada jam 8 pagi. Awal jam 7 pagi sudah bersiap-siap dan terus sahaja ke bergerak ke Shah Alam. Perjalanan dari rumah ke Masjid Negeri Shah Alam di mana berlangsungnya kursus yang tersebut hanya memakan tempoh perjalanan kurang setengah jam.

Sesampainya di sana, rupa-rupanya keadaan agak meriah. Suasana kelihatannya sungguh berisi dengan orang yang menghiasi masjid dengan acara dan agenda masing-masing. Ada yang datang untuk mengaji, ada yang datang untuk bertemu dalam majlis ilmu, ada yang berceramah dan mendengar ceramah, ada yang berkuliah dan mendengar kuliah, ada yang ingin menjalankan akad nikah dan ada juga yang datang berkursus seperti aku dan adik aku.

Tepat jam 8 pagi, kami sudah ada di bilik seminar dan ternyata sambutan untuk kursus ini tidak mengecewakan. Boleh tahan ramai juga yang datang menghadirkan diri. Akan tetapi, seperti biasanya jugalah majoriti yang hadir adalah daripada golongan atau kategori yang muncul di masjid.

Ya. Orang-orang tua, ibu ayah, pakcik dan makcik, Pak Haji dan Mak Hajah. Ada juga dua-tiga kerat ‘orang muda’ macam aku. Tapi, itulah dia. Dua-tiga kerat sahaja.

Aku berasa cukup terlunas apabila dapat meluangkan masa hari ini untuk belajar dan berkenal-kenalan dengan dunia pengurusan jenazah. Cara-caranya menghadapi mati dan melayani si mati, apa itu Talkin, apa itu Qarin, apa itu Masbuq, apa itu Kafan, apa itu kapur barus, apa itu, air mawar dan apa itu insaf dan apa itu dan apa ini. Ustaz yang memberikan ceramah ini juga ‘menghiburkan’. Orang Jawa. Hehe. Orang Jawa jarang-jarang sekali mengecewakan aku. Aku berkata begini bukan kerana sahaja aku berketurunan darah Jawa-Melayu, tetapi memang benar terbukti orang Jawa adalah antara insan-insan cemerlang dalam pemikiran kreatifnya apabila tiba public speaking dan perform to educate, to entertaint and to impress the crowd. Berkemungkinan besar pada hemat aku, gen orang Jawa adalah gen performer, baik dari sudut profesional mahupun personal.

Aku pulang ke rumah dengan sehelai sijil. Walaupun aku masih tidak arif 100% tentang bab-bab dan hal-hal pengurusan jenazah dan penyediaan kematian tetapi aku puas secara batin kerana ada ilmu dunia bertembung akhirat yang aku pelajari hari ini.

Alhamdulillah. Tekad, komitmen dan nyalarasa aku untuk terus belajar erti hakikat hidup masih berkobaran hingga sekarang.

Ulasan

Rina Idayu Othman berkata…
Syabas! :)