Tuju Si Tujuh

Perjalanan hidup aku sekarang membawa aku ke sini. Ke sebuah tempat yang berperasaan. Mungkin ini satu perhentian, mungkin ini satu persinggahan, mungkin ini satu simpang bersiur, mungkin ini satu selekoh berselingkuh yang bakal membawa aku ke satu tempat yang lain pula. Tempat yang berperasaan ini sungguh menguji. Zahir diduga, batin dicabar. Sering bertanya-tanya. Kerap bersoal-soal. Dari mana hendak ke mana. Pada siapa untuk siapa. Bila masa ke semasa, apakah begitu dan adakah begini akhirnya.

Mujur ada jiwa-jiwa raga kental terpadu bersemangat sama. Yang berpendirian tinggi menyambut aku. Susah sama susah. Senang suka senang. Jadi aku berbalas-bicara, menongkah ilham, kongsikala, mencari punca masalah dan menjejak titik selesai.

Mulanya, aku bertemu Si Kamcing. Kemudian, aku bertemu Si Gila dan Si Licik. Lantas, Si Juragan. Dan Si Pemberontak. Si Pencak. Akhirnya, Si Gunawan.

Ini TUJUH yang membawa kepada puncak kata dan pembangkit semangat semula. Terima kasih atas nasihat. Terima kasih atas pedoman. Terima kasih atas panduan. Terima kasih atas kias dan tegur. Terima kasih hitam dan putih. Terma kasih atas bawah kiri kanan tepi sisi hadapan belakang. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih.

Si Kamcing berkata kita kena keluar. Kita kena teroka dan terus teroka lagi. Berani berkorban. Buat apa saja demi apa saja yang kita perlu untuk hadapan masa.

Si Gila dan Si Licik berkata kita kena terus bersabar kerana mereka cara mereka. Kita cara kita. Cara kita dan cara mereka banyak beza. Bila ada ruang, bila datang peluang, kita rempuh dan tempuh!

Si Juragan berkata kita kena buktikan. Kita kena tunjukkan. Kita kena berkesan. Hanya dengan bukti, tunjuk dan kesan, kita akan jadi apa yang kita mahu jadi. Bukan pada mahu orang tapi pada mahu kita.

Si Berontak berkata kita perlu berehat dahulu. Kita perlu bertapa dahulu. Kita perlu diam-diam dahulu. Nanti kita bangun. Nanti kita bangkit. Nanti kita lari. Nanti kita laju dan nanti kita maju!

Si Pencak berkata kita harus susun langkah dan bersedia menempuh segala. Kita ini luarbiasa. Kita ini bertenaga. Kita ini orang 'ada-ada'. Kita ini jangan bagi muka. Kita jangan tunduk pada sesiapa.

Si Gunawan berkata kita sedia terbuka pada semua. Kita hadapi, kita sanggupi, kita gagahi, kita rasai. Kita perlu menjadi walau apa pun terjadi.

TUJUH kata semangat. TUJUH kata keramat. TUJUH kata penyimpul ikat dan juga pelerai nikmat. Aku sudah tahu apa perasaan ini sebenarnya. Kini, kembali aku menyusuri jalan yang lalu. Dapat aku rasakan panjangnya tempoh. Jadi, izinkan aku teruskan ini. Kerana aku mahu mengembalikan budi-budi pada percaya diri.

HIDUP SI KAMCING. HIDUP SI GILA. HIDUP SI LICIK. HIDUP SI JURAGAN. HIDUP SI BERONTAK. HIDUP SI PENCAK. HIDUP SI GUNAWAN.

HIDUP MESTI TERUS.

Ulasan

Rina Idayu Othman berkata…
Hidup Faizal Mukhtar!
Kehkehkeh!
faizalmukhtar berkata…
[yin]
oh. terima kasih