Selamat datang era baru bolasepak Malaysia

Malaysia kini lebih bersatu dan bersemangat mengenai skuad kebangsaan mereka lebih daripada masa-masa terdahulu sebelumnya. Dari golongan istana hinggalah ke rakyat biasa, sukan nombor satu di negara ini telah kembali ke persada ulung.

Sejak memenangi pingat emas bolasepak Sukan SEA 2009 yang lalu, barisan sepasukan pemain-pemain muda ini telah mengalami perubahan yang begitu ketara dan meyakinkan sekali. Kita juga telah turut merasai kesannya. Hanya beberapa siri kejohanan seperti memenangi Pestabola Merdeka 2007 selain menjadi juara untuk edisi 1993 dan emas Sukan SEA 1989 begitu mendambakan agar kita kembali disegani serta dihormati di rantau Asia Tenggara. Bibit penampilan memberangsangkan mereka dapat kita saksikan pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou awal terdahulu dengan lawan-lawan hebat seperti tuan rumah China, Jepun dan Iran. Kita berani menghadapi sebarang kemungkinan dan berjaya menunjukkan kewibawaan pemain muda ini. Maka, muncullah sebuah azam yang tidak pernah kita alami. Terbitlah iltizam buat pembuka lembaran lebih kukuh untuk masa hadapan. Suatu semangat patriotisme baru.

Selamat datang era baru bolasepak Malaysia.

Seluruh negara sungguh terinspirasi apabila melihat bakat-bakat segar lagi bertenaga bangkit dalam sejarah sejak sekian lama. Jelas menggegarkan jiwa kita bahawasanya masanya sudah tiba untuk kita kembali ke puncak. Legenda Mokhtar Dahari, Raja Bola Ghani Minhat, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan ramai lagi barisan-barisan pemain terdahulu telah membuktikan segala. Kini, pada malam yang cukup bersejarah kini, tiap sorak gembira dan gegak gempita dapat dirasakan diseluruh tanahair. Dengan kemenangan 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Disember 2010 yang lalu, itu sudah memadai untuk kita menumbangkan Indonesia pada agregat 4-2 di dalam kehangatan atmosfera Stadium Gelora Bung Karno.

Perwira-perwira negara seperti Safee Sali selaku penjaring terbanyak kejohanan, kapten waja perkasa Safiq Rahim, perancang handalan Norsharul Idlan Talaha, pertahanan kental Muslim Ahmad dan penjaga gawang gol kebal Khairul Fahmi serta keseluruhan pemain yang beraksi pada kejohanan AFF tahun ini adalah pelakar dominan kanvas bolasepak Malaysia. K.Rajagobal dengan tindakan berani telah memberikan kepercayaan sepenuhnya untuk mereka menyerlahkan kesungguhan di atas padang. Kita mengekang bekas jaguh Asia Tenggara Thailand, menghalang juara bertahan Vietnam dari mara dan akhirnya Indonesia yang berjaya kita tewaskan di pentas final.

Ingatlah hari ini.

Ingatlah sejarah yang tercipta.

Ingatlah kejuaraan yang dikecapi.

Kita sudah kembali ke landasan sebenar. Yang utama menanti kita pada masa hadapan adalah kelayakan Olimpik London 2012, Pestabola Merdeka 2011, Sukan SEA 2011 dan beberapa lagi medan pertembungan untuk kita pertahankan, untuk kita semarakkan, untuk kita julangkan, untuk kita perjuangkan kemahkotaan ini selama yang ada. Kekuatan kita adalah senantiasa bersemangat untuk terus dan terus kekal menjadi jaguh. Rapatkan janji dan padukan iltizam kita. Kita mampu memberikan sehabis-habisnya.

Kitalah juara. Kitalah juara. Kitalah juara.

MAJU MARA HARIMAU MALAYA!

Ulasan