‘BOLA ITU BULAT’: KITA BOLEH PILIH BOLA MANA DAN BOLA SIAPA YANG PERLU DISEPAK KUAT-KUAT UNTUK MENJARINGKAN GOL KEMENANGAN!

Sekarang ini sedang rancak berlangsung Kejohanan Piala Suzuki 2010 yang menemukan jagoan-jagoan bolasepak dari seluruh benua Asia Tenggara. Kejohanan yang telah mula dilangsungkan sejak tahun 1996 ini diadakan dua tahun sekali. Tahun ini, ibu negeri Jakarta (Indonesia) dan Hanoi (Vietnam) telah dipilih menjadi tuan rumah untuk perlawanan-perlawanan peringkat kumpulan untuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir. Alhamdulillah, negara kita Malaysia sudah pun berjaya melayakkan tempat ke pusingan seterusnya dengan beberapa keputusan yang agak dramatik bersadur rentetan adegan yang amat mendebarkan. Tahniah diucapkan untuk skuad Harimau Malaya yang senantiasa bersemangat waja dan berjiwa kental.

Namun, apa yang mencuri perhatian untuk kejohanan edisi kali ini adalah kejutan demi kejutan yang diterampilkan oleh pasukan kebangsaan Filipina. Negara yang hanya terkenal dalam sukan bola keranjang dan tinju itu dengan secara tiba-tiba meledak dengan keputusan-keputusan di luar jangkaan. Bermula dengan keputusan seri menentang juara 3 kali Singapura dan kemuncaknya menumbangkan juara bertahan Vietnam 0-2 sebelum seri 0-0 melawan Myanmar dalam perlawanan terakhir peringkat saingan kumpulan B dengan rekod tanpa kalah. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan lagi bersejarah dalam sukan bolasepak umumnya di Filipina dan khasnya dalam kejohanan bolasepak terulung di rantau Asia Tenggara ini. Rekod gemilang Filipina juga menjadi sesuatu yang memeranjatkan biarpun buat jurulatih dan seisi pasukan tersebut. Namun, apakah rahsia dan 'misteri' sebenar di sebalik kejutan-kejutan tersebut sehingga menyebabkan mereka berjaya ke tahap yang sungguh luarbiasa?

Baik. Setelah membuat perkiraan semasa, mengkaji serta meneliti semua sumber, memerhati analisis-analisis setiap data perlawanan dan memecah segenap pro/kontra yang ada, saya telah membuat 10 kesimpulan yang berikut:

1.
Pengurusan dan taktikal kejurulatihan yang amat sistemaik, susunan strategi kemas dan kekentalan pada semua posisi ketika beraksi dengan tindakan pantas menyembunyikan kelemahan daripada pihak lawan.

2.
Motivasi berpandukan semangat sepasukan yang tidak mempedulikan rekod lampau dan mengamalkan iltizam tinggi pandang ke hadapan demi kemajuan bolasepak negara

3.
Usaha dan istiqomah yang tidak pernah henti untuk membaiki mutu dan prestasi pasukan. Ini termasuk memperjuangkan hak venue perlawanan pusingan pertama separuh akhir yang khabarnya ditolak Lembaga Jawatankuasa AFF kerana tidak mempunyai kapasiti dan kredibiliti yang mencukupi untuk menjadi tuan rumah. Sehingga sekarang, usaha itu masih diteruskan Filipina

4.
Rajin serta cekal membuat kajian dan post-mortem setiap kejohanan yang disertai menerusi perlawanan yang dilalui. Menang ataupun kalah, perjuangan harus diteruskan. Kerana dalam bolasepak, 'Tiada apa yang mustahil'

5.
Mereka mempunyai daya saing dan iltizam untuk mendapatkan hak supaya dihormati dalam sukan bolasepak di rantau ini dengan inisiatif-inisiatif bermanfaat seperti memupuk pemain muda bermain di luar negeri seperti di liga-liga sekitar Eropah untuk mendapatkan pengalaman, pendedahan serta ilmu pengetahuna tentang senario bolasepak moden. Sebagai contoh, salah seorang daripada pemain utama skuad kebangsaan Filipina kini sedang menjalani latihan sepenuh masa untuk diserap bersama pasukan belia kelab Liga Perdana Inggeris Chelsea

6.
Beberapa pemain utama yang sakit, cedera dan kurang cergas untuk bermain dalam kejohanan ini tetap 'berdegil' pinta diturunkan kerana komitmen yang begitu tinggi untuk pasukan dan negara

7.
Tidak terlalu mendabik dada dan goyah walaupun dengan kemenangan-kemenangan mengejut malah masih bertungkus-lumus mengekalkan, memperbaiki dan memantapkan rentak permainan

8.
Jangka masa persiapan yang mencukupi dan optimum untuk menghadapi kejohanan besar seperti Piala AFF Suzuki ini telah memberikan ruang yang setimpal untuk memupuk dinamik setiap pemain termasuk pegawai pengurusan dan staf kejurulatihan.

9.
Disiplin, disiplin dan disiplin.

10.
Tiada siapa dan apa-apa pun yang akan kekal di puncak singgah sana termasuklah dalam dunia bolasepak. Selagi ada ruang dan peluang, cuba dan terus mencuba hingga jaya adalah kunci utama menuju kejuaraan. Barangkali, inilah masanya untuk Filipina ke puncak

Maka, apakah ikhtibar yang dapat kita pelajari dari semua ini? Sekiranya dilihat dari pengalaman dan minat saya yang obsesif terhadap bolasepak, sudah terlalu banyak anjuran pengalaman dan ilmu kehidupan yang sudah saya pelajari. Malah ianya masih berterusan sehinggan ke hari ini. Bolasepak bagi saya bukan sekadar sukan. Ianya boleh dijadikan bekalan malah pedoman untuk bimbingan sahsiah, rujukan psikologi dan sosiologi, etika moraliti dan integriti, menjadikannya garis panduan mengejar impian dalam apa jua yang diingini serta bermacam-macam lagi dorongan kegemilangan dan kecemerlangan.


Bola itu memang 'bulat'.


Geri permainannya tidak dapat dijangka malah sukar dibaca namun tiada yang mustahil dicapai. Bersedia atau tidak, kemenangan demi kecemerlangan harus dicari dan dikecapi. Cerita luarbiasa seperti kejayaan pencapaian Filipina dalam kejohanan bolasepak ini akan timbul sekali dan sekala.

Mari kita sama-sama tenung, renung dan belajar dari kisah yang wajar diteladani ini.


petikan dari ptsfortuna.com.my

Ulasan