Nasib orang dalam dunia tidak sama dengan nasib orang luar dunia

Sejenak tadi semasa menunggu burger oblong perisa arnab itu digolek-golek untuk dimasak, aku sempat menerawang ke ruang fikir buat beberapa ketika. Aku terfikirkan soal nasib, soal takdir. Soal ketentuan. Soal yang menjadikan manusia itu harus mencari rezeki dan mengerah keringat, membanting tulang hari ke hari. Dan ini pula bukan kali pertama aku mencongak-congak hal yang demikian. Sudah banyak kali sejak dari dahulu-dahulu lagi apabila kesedaran hakiki mula menjengah.

Tatkala melihat abang burger itu bekerja, aku memangkin jaringan ingatan lain yang senasib beliau. Orang jual burger, orang kerja tol, orang salesman yang jual barang dengan beg galas dari satu kedai ke satu kedai tempat ramai orang, orang jual nasi lemak dan kuih pagi-pagi waktu rush hour, orang menoreh getah yang bangun sebelum ayam berkokok, orang ke laut cari ikan, orang ke bendang menumbuh padi, orang pegang senapang jadi askar tak balik cuti raya dan bermacam-macam orang lagi yang terlalu ramai 'senasib' mereka yang di atas ini.

Apa rasanya? Apa rasanya jadi orang begitu?

Sedang aku seronok-seronok, tidak banyak belajar bersyukur dan selalu merungut kurang itu dan kurang ini.

Memerhatikan wajah abang burger itu saja (yang aku rasakan sudah hampir menghampiri separuh abad), sudah cukup membuatkan aku rasa 'bersalah' pada dunia.

Ulasan

MataMata berkata…
Subhanallah... di kala diri mempersoalkan pengorbanan yang terpaksa ditanggung sehingga terpaksa berjauhan dari keluarga dan suami tercinta demi mencari rezeki... ada org lain yg lebih besar pengorbananan mereka... lalu kini aku bersyukur...

*insaf