PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2010

SYAWAL 1431H

Aku tidak tahu berapa ramai orang yang masih mengikuti perkembangan blog aku sehingga ke hari ini. Tapi yang aku tahu, blog ini masih mempunyai pembaca dan pengikutnya yang setia. Biarpun sudah 5 tahun blog ini wujud, saban tahun jualah aku akan utuskan ucapan hari raya buat semua yang ada menyedari akan kewujudannya. Jadi untuk tahun ini secara lazimnya seperti mana ucapan-ucapan yang biasa aku akan mulakan dengan:

Bismillahirahmanirrahim.

Alhamdulillah. Raya bakal menjelma lagi dan Ramadan akan pergi meninggalkan kita semua dengan 1001 cerita yang menerbitkan rasa keinsafan serta keredhaan. Suatu macam semangat dan tenaga baru untuk kita sama-sama mensyukuri nikmat dan kurniaan-Nya yang tiada terhingga. Aku masih lagi seperti macam puasa-puasa yang terdahulu. Acapkali datang bulan yang tersebut, nyawa aku bagaikan dijelmakan dengan rasa-rasa istimewa. Rasa-rasa yang jarang hadir pada masa-masa yang lain. Ya, aku kadangkala beremosional dan bersentimen tentang Ramadan. Aku punya banyak sejarah apabila datang Ramadan. Dari zaman kanak-kanak aku sehingga ke zaman remaja aku dan kini bila tiba dewasa yang akhirnya kunjung tiba, bulan puasa inilah yang banyak mengajar aku tentang erti sebuah pengalaman. Makna kehidupan yang berterusan. Fahaman sebuah pengorbanan. Hakiki sebuah penjiwaan terhadap cinta-cinta yang kita inginkan pada dunia ini dan dunia yang satu itu. Biarpun aku tahu akan kelemahan dan sedar akan kelupaan aku yang bersifat fitrah semulajadi manusia, aku masih mahu memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Bulan Ramadan adalah bukan yang ternyata sempurna untuk menzahirkan segala niat-niat yang tersebut. InsyaAllah. Dan pada tahun ini, sykur aku kerana sekali lagi diberi kesempatan. Diberi ruang dan peluang yang seluas-luasnya untuk ‘meminta’ dan ‘merayu’ agar segala amal dan ibadah aku mudah-mudahan tidak dipersiakan begitu sahaja. Sekali lagi ingin aku ingatkan pada diri aku sendiri – aku hanya manusia biasa. Tiada bermaya menolak dugaan-dugaan selagi iman tidak kukuh di dada, tiada berupaya menghindar akan ujian-ujian selagi takwa tidak teguh di benak jiwa, tetap ada sisi-sisi kelemahan dan sudut-sudut kekurangan serta punya banyak laras-laras hati yang masih perlu aku penuhi dengan isian-isian nurani yang dapat memupuk keikhlasan supaya dapat menjadi insan yang lebih baik, biarpun tidak sempurna.

Dan maka dengan ketidaksempurnaan itulah jua, dikesempatan Syawal inilah juga: aku ingin memohon jutaan maaf dan ribuan ampun kepada hati-hati dan jiwa-jiwa yang pernah aku sakiti dan rempuhi, yang pernah aku guris dan calar. Kepada ibu dan ayah yang terlalu banyak memberikan aku segala kasih-sayang, yang sanggup berkorban tenaga dan masa untuk aku mendewasakan diri sehingga ke hari ini dan yang sanggup merelakan kemahuan serta kehendak aku yang aku rasakan kadangkala ‘melampau’ dan ‘megecewakan’ harapan mereka, aku pohon kemaafan dan pinta keampunan daripada mereka. Hujung kepala hingga hujung kaki.

Aku bersalah. Aku berdosa. Aku cela dan hina diri aku sendiri kerana sudah terlalu banyak kebodohan dan kejahilan aku perlakukan sepanjang hayat yang seringkali sahaja melukakan hati mereka. Zahir dan batin aku serahkan agar-agar disucikan segala kesalahan dan kesilapan aku itu. Maafkan aku andainya bersikap biadap, ampunkan aku kiranya terjadi derhaka. Aku bersalah. Aku berdosa.

Pada keluarga aku, terutamanya adik-beradik aku juga aku pohonkan diberi maaf. Mungkin aku terlalai dengan kurniaan ikatan darah yang kuat dan pertalian kukuh ini. Dan aku mungkin juga seringkali melewakan dan jarang mengendahkan kebersamaan yang kita semaikan selama ini. Anugerah yang tiada ternilai ini aku mahu nyatakan adalah yang terbaik pernah aku perolehi. Kalian adalah tunjang, nadi, daging, tulang belulang yang begitu ampuh dan sebati. Ibarat roh dan nyawa, kita semua adalah ‘hidup’ kerana kesatuan itu. Rupa dan wajah kita, gerak dan langkah kita, malah sepakat dan muafakat kita itulah yang membuatkan kita kuat dan kukuh. Aku sebagai abang mahukan pemberian maaf itu kiranya aku tidak melalukan peranan aku dengan baik apatah lagi sempurna. Ampunkan aku kerana kerap lari dari tanggungjawab dan sering mempersia-siakan amanah yang sepatutnya aku penuhi. Demi Allah, aku tidak mahukan apa-apa pun keburukan apatah lagi sebarang muncul kecelakaan serta malang menimpa keluarga kita ini. Demi Allah, aku bersumpah untuk perbaiki diri aku agar dapat memegang amanah dan tanggungjawab itu dengan setiap kepercayaan yang kalian berikan.

Begitu juga aku panjangkan kalimah-kalimah keinsafan ini kepada saudara-saudara aku yang masih bersama mahupun yang sudah lama meninggalkan aku untuk bertemu Yang Maha Esa dan Yang Maha Satu. Kita selalu ada persamaan dan pembulat bicara namun kita juga kadangkala punyai perbezaan dan percanggahan rasa. Kita tidak mungkin pernah dan akan pernah berbalah-balahan dan kita akan terus-terusan berada dalam ‘keadaan’ itu selagi kita berpegang pada tali persaudaraan yang ada. Kiranya ada yang hitam, minta sama-sama kita putihkan. Kalau ada yang terlanjur, harap dapat ditarik semula agar sama-sama kita dapat yang baik-baik hendaknya.

( *Ini aku tujukan istimewa buat mereka-mereka yang hebat berbual mesra dan berborak ria, bergurau senda, pengumpul ceria tidak kira apa perkara dan benda bicara setiap kali diadakan acara keluarga seperti kenduri-kendara, jemputan makan-makan, undangan baca Yassin dan solat berhajat, kunjungan, ziarah-menziarahi dan bermacam banyak lagi yang tidak terhitung himpunannya. Orang kita memang legend-legend belaka! )

Yang penting dan mustahak: kepada kawan-kawan karib, sahabat-sahabat sejati, rakan-rakan akrab, teman-teman seperjuangan yang dekat dan jauh, yang lama dan yang baru, yang sama-sama berjuang, yang sama-sama memahami, yang sama-sama mengetahui bertapa tingginya akan nilai handai dan harga taulan. Kalau aku terkasar bahasa, tersilap tutur, kalau jenaka dan gurau yang aku persembahkan tidak berkenan pada masa dan waktunya, kalau ada yang termakan hati berulam jantung, kalau ada yang berkecil rasa dan memendam kecewa, kalau ada yang menyimpan hampa dan bermuram durja, kalau ada yang berdendam kesumat dan menaruh benci, kalau ada yang marah, kalau ada yang terkurang, kalau ada yang terlebih – aku minta maaf, aku minta halal. Atau paling tidak pun, aku minta agar janganlah dipanjang-panjangkan segala rasa kurang elok yang datangnya daripada aku itu . Aku tidak berdaya tapi aku tetap mahu mencuba untuk kamu, kamu dan kamu. Perilaku aku memang selalu tersasar budimannya, tingkahlaku aku sering dan kerap terpesong adab sopannya. Aku susun sepuluh jari agar aku dapat diberi kemuliaan di bulan yang penuh kerahmatan ini.

( *Ini aku tujukan khas buat setiap orang yang pernah wujud dan muncul dalam hidup sepanjang berada di tahun-tahun persekolahan di Subang Jaya, di ITM Shah Alam, di Karangkraf, di KLP Entertainment, di Warisan2020, di KL Motion Pictures, di Filmscape, di Astro, di PTS dan di mana saja tempat atau persinggahan yang pernah aku jejaki sebelum dan selepas ini. Termasuk juga ex-makwe, awek-awek pujaan dan akhirnya akan jadi bakal isteri aku nanti. Yang mana satu? Hanya Tuhan Yang Tahu! )

Terhadap guru dan perguruan aku, terhadap kenalan-kenalan aku yang mendatang dan akan datang, terhadap insan-insan terpilih yang terdahulu daripada aku dan zaman aku, terhadap Rasulullah, para sahabat, wali-wali, sufi-sufi dan juga ahli-ahli yang bakal aku ketemui kelak. Maaf zahir dan batin juga yang aku hasratkan. Aku dambakan kalian. Aku mahukan kalian. Aku rindukan kalian.

Aku sedar bahawa seluas laut mana sekalipun kata-kata kemaafan, selapang hamparan langit dan bintang mana sekalipun lafaz-lafaz keampunan yang aku harapkan atau mungkin juga seberapa banyak kalipun aku kerap mengulangi salah, silap dan dosa yang aku lakukan tiap-tiap ketika pada semua dan setiap yang aku maksudkan di atas – aku tetap aku. Yang ada kelemahan, kekurangan dan ketidaksempurnaan. Segala salah, segala silap dan segala dosa itu benarkanlah hanya aku yang tanggung dan pada semua dan setiap yang aku kenali, kiranya sudi: Maafkanlah sekali lagi di sinar lebaran Aidilfitri demi pada keindahan Syawal yang mulia ini.


SELAMAT HARI RAYA
| MAAF ZAHIR DAN BATIN

Klik yang berikutnya di bawah ini untuk perutusan tahun-tahun yang telah lalu :

RAYA 2009
RAYA 2008
RAYA 2007
RAYA 2006
RAYA 2005
RAYA 2004

Ulasan

Dalie berkata…
Kalah perutusan PM. Tapi sincere and definitely straight to the point. Selamat hari raya :)
faizalmukhtar berkata…
[dalie]

terima kasih, selamt hari raya dan maaf zahir dan batin