Penangan terlampau berjimba di Pawagam: BAHAGIAN 2

Gambar lama masa jadi wartawan dulu. Gambar ni buat aku rasa macam nak terajang dada sendiri, ok?

Baru kelmarin aku dan konco-konco menonton ROBIN HOOD. Ya, ini adalah salah satu filem yang aku sasarkan sebagai TIGA (3) sasaran wajib untuk tahun ini. Lazimnya, itulah yang akan aku lakukan saban tahun. Tiga filem WAJIB TONTON untuk dijadikan pencalonan Filem Terbaik tahun tersebut. Yang lagi dua adalah INCEPTION dan TRON: LEGACY. Kenapa tidak ada IRON MAN 2 sedangkan ia sedang meletup-ledak di pawagan dan sudah 2-3 kali pula menontonnya, 10 hari lebih awal dari waktu tayangan umum rakyat Amerika Syarikat?? Nah! Aku akan bentangkan rasionalnya.

Pada dasarnya sebuah filem yang aku klasifikasikan kena dengan 'selera' aku, ada fundamental dan ciri-cirinya. (1) Direktornya harus ada profil yang mantap, karisma yang tersendiri, visioner dan boleh diharap, (2) Filemnya harus ada isi dan bukan jenis masuk panggung kosong, keluar panggung kosong, (3) Tidak terlalu pop dan juga tidak terlalu abstrak atau berseni-senian syok sendiri, (4) Boleh dihadam dek benak akal dan kasmaran hati, (5) Filem itu harus ada 'jiwa'. Ada feel untuk menontonnya secara fokal. Jadi, otomatis merujuk pada filem-filem hitlist yang termaktub di atas, kesemuanya memenuhi kriterion aku. ROBIN HOOD kerana ada reputasi Ridley Scott, INCEPTION kerana ada 'gila-gila' Chris Nolan dan TRON... Ya! TRON, mungkin aku ini agak melankolia dan nostalgik kepada zaman agaknya. Seperti mana aku memilih STAR TREK J.J Abrams pada tahun yang lalu dan bukannya TRANSFORMERS 2.

Sekarang ini sudah ada konco-konco angkatan baru apabila ke pawagam. Itu memang modus operandi aku acapkali berada bertukar tempat kerja mahupun berada dalam kitaran profesion yang baharu. Sejak bekerja pertama kali dahulu, aku agak blessed(bersyukur dan beruntung) kerana berada dalam kelompok media dan seni itu. Bukan hanya kerana aku tidak perlu kerap membayar tiket wayang kerana berpangkatkan wartawan majalah, bukan hanya kerana itu sudah tugas aku membuat prebiu, rebiu dan oberbiunya, bukan kerana hanya makanan percuma dan lazat kerana acara gala premiernya, malah bukan hanya kerana aku sudah tidak perlu risau lagi tentang mahu beratur panjang dan perlu duduk sit bodoh sebab tak reti booking tiket wayang kat internet. Aku blessed sebab aku tarik(attract) benda yang aku suka, aku minat dan aku punya nyalarasa(passion) sepertimana mahunya aku berangan jadi Superman pakai baju dua lapis pergi sekolah masa aku darjah 2 selepas menonton SUPERMAN IV: QUEST FOR PEACE dulu.

Itu memang perangai liat aku. Tabiat dan pe'el aku yang tegar. Degil kalau kau mahu. OBSES.

Ini jelas terbukti bila ada orang malah kawan aku sendiri yang berkata: 'Ah! Apa barang tengok kat wayang. Beli DVD kat kedai Foo Keong la. Boleh baring-baring minum-minum makan nasik tengok kat rumah', 'Malas la aku nak beratur-beratur panjang, sesak-sesak dengan orang ramai hujung minggu tak dapat cari parking, lambat, tiket cepat abis'. Yada yada yada. Blah blah blah.

Ya. Itu bukan jenis orang macam aku. Aku agak film-buff. Aku mungkin movie freak. Mungkin tidak sekronik si Harry Knowles atau Gene Siskel atau Roger Ebert atau setanding sesapa sajalah termasuklah si Nazim Masnawi atau Ajami sekalipun. Mereka semua terer(terror). Aku tidak sampai tahap terer. Dam tidak akan sampai pun tahap terer.

Yang aku boleh cakap, aku cinta filem dan aku sayang pawagam. Itulah rumah kedua aku selain kedai komik dan stadium bola.

Jadi, bila kita berjimba di pawagam, maka itulah yang digelar pengalaman pawagam(cinematic exprience) yang sangat mistikal. Magis filem(movie magic) kalau boleh aku labelkan ia. Orang ramai padat dari tempat duduk atas ke bawah tiba-tiba berdiri dan gemuruh bertepuk tangan(standing ovation) kerana terlalu rindukan STAR WARS tatkala muncul kredit pembukaan menyambut EPISODE 1: PHANTOM MENACE pada tahun 1999 dulu. Itulah kali pertama aku menonton wayang seawal jam 8.30 pagi dan tidak dapat tidur akibat teruja terlampau(over-excited)! Remang bulu roma dan mata berkaca-kaca gelas dibuatnya. Yang terkini, apabila menonton IP MAN 2. Babak klimaks Ip Man bergasak atas gelanggang dengan peninju tu, babak sifu-sifu kung-fu cabar Ip Man atas meja bulat tu, babak berentap kat pasar basah tu. Dah rasa macam tengok fight betul dah aku rasa sebab boleh ada separuh-separuh baris rawak dalam wayang boleh bangun dan jerit-jerit kuat-kuat! 'Ta-kaww aaaa!! TAA-KAAWWW!!!' SERIUS AKU TAK TIPU. Yang apek sebelah aku ni sibuk peluk amoi dia kuat-kuat macam gengster dalam wayang tu nak culik dia bawak lari. Yang baris bawah tak sudah-sudah bagi penumbuk dan bersorak-sorak. Tak ubah macam TGV ni mak bapak kau yang punya. Tapi aku... AKU SYOK! Aku syok dan seronok bila magis dan pengalaman berpawagam macam ni terjadi.

Pertama kali dengar suara Optimus Prime di layar skrin besar, pertama kali tengok M.Nasir jadi Hang Tuah, pertama kali layan filem Hindustan takde intermission macam kat India. Pertama kali tengok karakter-karakter komik yang aku dok layan dari kecik diterjemahkan ke format motion picture dan menjadi pula. Begitu juga rasanya pertama kali tengok 3-D pakai spek 3-D, pertama kali marathon tiga show wayang non-stop, pertama kali tengok diri sendiri nangis bila layan cerita jiwang, pertama kali bukak puasa kat wayang time bulan puasa. Dia punya syok, dia punya stim lain macam gua cakap lu.

Cuma imax saja aku tak sempat rasa. Sekarang sesal tak sudah. Sesal tak sudah-sudah yang panjang.

Oh. Ada yang bertanya, best ke tak cerita ROBIN HOOD tu tadi?? Begini. Hanya satu benda aje aku boleh cakap tanpa spoil apa-apa:

Kevin Costner boleh pergi rumah Russel Crowe dan Ridley Scott, salam dua belah tangan sambil tertunduk malu dan berkata, 'Maafkan saya kerana terlalu muda dan naif'.


TO BE BERSAMBUNG AGAIN...
.

Ulasan

myownmind berkata…
gila aku tak suka Russel Crowe.. Bruce Willis dan Nich Cage.. kenapa?? Diroang moka sodehhh.. tapi berlakon filem aksi..

dan ahaahh Russel Crowe besh masa rambut dia panjang ala2 Grunge Cobain awal2 kemunculan dia jer.. aku suka.. masa jadi koboi dalam filem koboi anak dara dendam THE QUICK AND THE DEAD ada Sharon Stone dan DeCaprio dilu.. wahaha
faizalmukhtar berkata…
[adzakael]

la ni sekarang ni sebernarnya kau suka ke tak suka ni??