Jadi benarlah. Malaysia bermain lebih baik daripada apa yang aku jangkakan.

" Kelebihan dimiliki ‘Supermokh’ banyak dengan sepakan deras bak peluru. Ia menjadi senjata penting hinggakan tiga jari mendiang R Arumungam, bekas penjaga gol negara pada masa itu pernah patah ketika cuba menampannya. Itu belum dikira bijaknya penyerang ternama negara itu membaca gerakan lawan dan meloloskan diri. "

Bapa mertua kepada adik perempuan aku rupa-rupanya adalah lebih daripada hanya sekadar fanatik, peminat dan seorang kaki bola.

Kelmarin, beliau bertandang ke rumah untuk menziarahi dan melihat cucunya yang baru lahir: Mikhail (anak buah aku yang terkini selain Rayyan). Sedang di antara itu, aku bersama bapa berbual-bual dengan beliau. Tiba-tiba, muncul cerita keperihalan bola yang dipercikkan daripada perlawanan tumpuan Mengenchesteh United dan Ultimate Chelsea FC malam sebelumnya. Ya, ramai yang sudah tahu: Ultimate Chelsea memang tiada tandingannya berbanding Mengenchesteh United. Mula-mula, beliau cerita fasal gol-gol perlawanan tersebut. Kemudian, fasal gol Arsenal yang last minit itu, siap dengan deskripsi terperinci. Selepas itu, beliau buka cerita bagaimana beliau sendiri pernah melihat All Star Arsenal pernah lawan All Star Asia di KL suatu waktu dahulu. Bapa aku menyambut ceritanya dengan pengalaman peribadi menonton perlawanan di Stadium Merdeka antara Malaysia menentang England pada 1978, dibawah bimbingan Sir Bobby Robson. Ya, perlawanan bersejarah yang menyaksikan legenda Supermokh menewaskan Joe Corrigan menerusi jaringan handalan itu.

Perbualan menjadi semakin rancak.

Dari Sukan Olimpik ke Piala Asia ke Pestabola Merdeka ke Piala Malaysia habis-habisan dibuka oleh bapa mertua adik perempuan aku dan bapa aku. Naik pula nama-nama seperti Zulkifli Norbit, Hassan Sani, Dali Omar, Samad Allpitchay, James Wong, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Abdullah Ali, Khalid Ali. Tidak sampai separuh pemain yang diceritakan aku kenal. Namun, cukup majmuk dan sepadu barisan pemain pada masa itu. Sampaikan aku rasa, waktu itu juga mahu turun padang ajak balik member-member lama main bola semula petang-petang guna tiang gol basikal. Dibakar pula dengan cerita skill-skill pemain yang ada waktu itu. Macam-macam ada. Yang laju, yang lesit, yang kencang, tang tepat, yang besar, yang kecil, yang tajam, yang bisa, yang pedas, yang gigih, yang kuat. Yang pastinya semuanya yang hebat-hebat belaka.

Aku ingat inilah kali pertama kali aku jadi tikus bila orang berbual-bual keperihalan bolasepak kebangsaan. Aku terdiam. Aku ternganga. Aku terkesima. Serius.

Dan hari itu juga, aku rasa aku baru masuk tadika bola.

Bapa mertua kepada adik perempuan aku dan bapa aku adalah sarjana bolasepak rupa-rupanya.

Skuad kebangsaan yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia satu masa dahulu menyanyikan lagu kebangsaan 'Negaraku' di kem latihan Bukit Fraser dua hari sebelum perlawanan akhir menentang Korea Selatan pada kelayakan Pra-Olimpik di Stadium Merdeka pada 4 April 1980.

Kesebelasan utama pasukan Malaysia berbaris sebelum perlawanan bermula pada 6 April 1980. Tidak kelihatan di barisan ialah Mokhtar Dahari kerana cedera.

Aksi tandukan terbang dari penyerang lincah Hassan Sani yang menghasilkan jaringan penyamaan ketika bertemu Korea Selatan.


Hero perlawanan James Wong yang menjaringkan gol kemenangan 2-1 keatas Korea Selatan di kerumuni pemain-pemain setelah wisel penamat dibunyikan.

Kelihantan Soh Chin Aun, Khalid Ali dan kesebelasan utama pasukan Malaysia diberi penghormatan mengadap orang kenamaan dipentas diraja serta diberi ucap tahniah diatas kejayaan mengalahkan Korea Selatan sekaligus layak ke Pra-Olimpik Moscow 1980.

Ulasan