Belasungkawa: DIN BERAMBOI

Saya pernah beberapa kali bertembung malah bersua dengan beliau semasa sebelum saya bekerja di tempat yang saya kerjakan sekarang. Disebabkan tempat yang saya kerja sebelum tempat yang saya kerjakan sekarang adalah tempat yang senantiasa 'tidak duduk diam' dan 'berkejar-kejaran', saya kepingin juga untuk duduk, berehat santai, tidak berkejar-kejaran dan bertukar-tukar idea dengan beliau kiranya ada kesempatan serta peluang itu.

Satu hari, niat saya itu telah termakbul. Dalam hari-hari yang sangat sibuk itu, saya nampak beliau keseorangan. Beliau sedang minum-mimun. Beliau sedang duduk. Tidak berkejar-kejaran seperti orang lain. Sedang berehat santai. Justeru, saya pun ke arah beliau. Tanpa dipelawa, saya menjemput diri saya sendiri. Dapat juga saya duduk, berehat santai dan bertukar-tukar idea dengan beliau. Sebenarnya saya gunakan autoriti saya disitu untuk berdampingan dengan beliau (disebabkan saya selalu akan scouting talent untuk mengisi program sketch yang dipertanggungjawabkab ke atas diri saya, maka itulah lesen besar saya!)

Saya ingin menjemput beliau bersama salah satu dari sketch komedi yang saya tuliskan. Saya pun ceritalah pada beliau. Dia menyambut baik. Saya kata A, beliau jawab A. Saya cakap B, beliau jawab B. “ OK... OK... Boleh. Boleh ” Itu saja jawab beliau seraya saya menghabiskan hujung semua permintaan-permintaan saya untuk berlakon dalam slot yang saya sediakan. Bagus betul. Tidak ada apa-apa pun masalah. “ Jadi, Oklah bang? Abang confirm ye ni?? ”. Beliau menghirup minuman panas yang makin suam dan sambung lagi dialog yang diulangainya sejak dari tadi. “ OK. OK... ” Saya tersenyum sebab saya sangka misi saya selesai. “ OK... OK. Boleh! Boleh sangat! Boleh sangat kalau abang tak sibuk dan ada masa untuk kau ”. Buku jadual saya sudah saya tandakan penuh sebab 'OK OK' tadi. Rupa-rupanya 'OK OK' tadi adalah 'OK OK' yang saya hanya perasan sendiri. Sangkaan saya rupa-rupanya meleset. Dia tersenyum. Saya tersenyum. Ternyata saya masih mentah dan perlu banyak belajar lagi. Kami sambung perbualan kami. Tidak ada slot lakonan beliau untuk program saya. Yang ada sekarang cuma slot saya berguru dengan beliau di meja cafe tempat kerja sebelum kerja saya sekarang sambil minum air panas yang sudah suam.

Hari itu ilmu humor dan fakulti jenaka saya sudah tambah satu makam yang lebih tinggi.

Malah jauh lebih dari jenaka dan kelucuan khalayak yang dihidangi beliau, cara beliau meladeni idea bersama saya adalah peluang yang saya rasakan sangat bertuah sekali. Saya belajar lagi erti berani dalam berkarya, erti jujur dalam berkarya dan erti 'menjadi' untuk 'hidup' dalam berkarya.

Hari itu saya rasa salah satu pengisian hidup saya dalam arena yang saya ceburi tercapai. Masih banyak lagi yang saya ingin capai. Namun, kecapaian hari itu merupakan satu kecapaian yang segar hingga hari ini.


Saya terhutang ilmu dan budi pada Din Beramboi... Seorang guru yang gunawan.


Al-Fatihah.


Beliau sudah berikan yang terbaik pada dunia. Saya doakan yang terbaik untuk beliau, keluarga beliau dan seluruh kawan-kawan dan peminat beliau tidak kira di mana jua mereka berada.

( Dan disebabkan cemas dan panik, saya juga diberi didikan untuk jadi 'manusia' semalam. Kesal dengan kekhilafan dan kegopohan tersebut. Saya pinta ampun dan pohon maaf pada semua. Zahirnya, saya masih manusia. Harus banyak analisis dan berfikir tentang itu )

Mior Ahmad Fuad Badri atau Din Beramboi berusia 43 tahun telah menghembuskan nafas terakhir selepas empat hari dalam Unit Rawatan Rapi(ICU) Hospital Selayang, di sisi isteri dan tiga anaknya kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi akibat dijangkiti demam denggi berdarah.

Ni pula tribute dari blog teman old school beliau : GAYOUR


Sempat juga berseloroh dan bersama dengan arwah Din Beramboi. Sungguh bertuah Tuan Gayour!

Ulasan

nuriazam berkata…
Aku dapat bayangkan riak muka kau semasa kau taip entri di atas.
faizalmukhtar berkata…
[nuri]

muka kantoi.