Aku cuma tidak sibuk.

Kenapakah program makanan tambahan seperti mee goreng atau nasi lemak percuma dan skim susu sekolah perisa coklat sarat laktosa diberhentikan di sekolah-sekolah? Dimanakah hilangnya jagoan-jagoan tanahair seperti Sapok Biki, Watson Nyambek dan Martin Guntali dari arena sukan tanahair? Mengapakah maggi goreng depan kedai snooker berdekatan dengan ofis aku semakin lama semakin cara lazatnya? Apahal telefon Nokia flip percuma aku buat hal dalam suasana yang super kritikal ini? Siapakah yang menjadi model cover novel terbaru PTS FORTUNA nanti? Bilakah harga BMW X6 edisi Hamann Tycoon Evo M akan sama dengan harga Proton Saga?

Inilah antara persoalan-persoalan remeh lagi temeh yang cuba aku ketengahkan dalam keadaan aku hampir sibuk gila-anjing-laut gara-gara keadaan semasa kini. Kerja aku datang dari semua arah dan angle. Ada yang datang dalam keadaan berjadual dan berskala. Ada yang datang dalam keadaan tiba-tiba dan mengejut. Ada yang datang dalam keadaan rela dan paksa. Ada yang datang dalam keadaan berwang dan percuma. Ada yang datang dalam gelap dan terang. Ada yang datang dalam keadaan suka dan duka. Malah, kini ada yang kerap datang dalam keadaan lagi dan lagi dan lagi dan lagi...

Oh. Aku tidak tension. Apatah lagi tertekan mahupun rasa hendak mengamuk-mengamuk. Aku bukannya tidak pernah sibuk. Aku sudah ada pengalaman lebih sibuk dan menyibuk dari ini.

Aku hadapi bagai orang tidak sibuk. Sebab itu antara motto berkuasa tinggi hidup aku: Tidak mahu sibuk dan enggan sibuk walaupun sibuk macamana sekalipun sibuknya hari dan sibuknya kerja. Sebabnya kalau aku sibuk, makanya aku akan tewas dengan tuntutan duniawi yang bukan-bukan dan melampau. Kalau aku sibuk, aku akan jadi cepat lupa pada benda-benda yang sepatutnya aku ingat. Kalau aku sibuk, aku jadi tidak tanggungjawab. Kalau aku sibuk, aku jadi tidak amanah pada masa. Kalau aku sibuk, aku tidak ada peluang pun untuk isi hidup aku dengan perkara yang jauh lebih manfaat dan bermakna.

Buat apa sibuk? Sibuk untuk apa? Sibuk yang bagaimana? Sibuk-sibuk sampai bila? Sibuk demi siapa?

Aku tidak sibuk. Sungguh tidak sibuk.


Aku cuma... tidak stabil.

Ulasan

Reyn Ai Otsuka berkata…
nice one!