The Taking of Keramat 123

Keadaan di dalam gerabak LRT itu tiba-tiba menjadi genting. Suasana bertukar secara tiba-tiba. Sekeliling yang tadinya sepi dan sendiri dengan perihal masing-masing, berubah menjadi cemas dan hingar-bingar dengan suara-suara berbaur panik. Seorang demi seorang bingkas bangun dan bertanya-tanya apa yang sebenarnya terjadi sekarang ini. Kelihatan seorang nyonya tua yang memegang bag plastik pasaraya hiper menjerit. Jeritnya entah pada siapa dan untuk apa. Seorang pemuda berbangsa arab dan seorang eksekutif berbangsa eropah berpandangan sesama sendiri. Kiranya mereka juga dalam kaget.

Bingkas datang pula seorang pegawai penyelenggaraan gerabak. Dia juga kaget. Cuma tingkah lakunya sahaja seolah-olah menampakkan dia sengaja tidak mahu ternampak kaget oleh penumpang-penumpang. Selang beberapa minit kemudian, seorang lagi pegawai gerabak muncul.

" Baik. Saya pinta semua bawa bertenang, ya? Kita sedang mengalami kesulitan "

" Kesulitan? Kesulitan apa benda pulak ni?? ", detak hati aku mengatakan ini bukannya kesulitan yang biasa-biasa.

" Saya harap semuanya dapat duduk semula di tempat masing-masing dan jangan membuat apa-apa tindakan yang bodoh. Tindakan bodoh yang bakal menyusahkan diri anda sendiri! Faham??! " Suara kedua pegawai-pegawai itu tadi dengan tidak semena-mena berubah. Bengis. Ganas. Jahat dan durjana.

Dikeluar kan dari kemeja mereka dua laras mesingan separa otomatis. NEGEV LMG 5.56.

Si laknat bertopeng Mossad. Bangsat-bangsatan JDL!

" Jahanam! Keadaan lebih getir dari yang aku sangkakan... ", tangan yang mengenggam rel semakin kuat semacam hendak remuk besi waja itu.

Tidak sempat pun aku hendak melakukan sebarangan tindakan yang bakal menghantarkan mereka ke neraka dunia, seorang lelaki bertubuh sasa dan besar datang dari gerabak sebelah. Dia mengenakan topeng gas dengan ditangannya terdapat dua lagi.

Dia menghulurkannya kepada dua rakan yang kini sedang menendang-nendang penumpang supaya rebah ke lantai. Mereka mengenakan topeng itu dan tiba-tiba... Psssshhh!!!!

Gas sarin! Modus operandi persis gerakan Aum Shinrikyo 1995.

Dengan ketangkasan sepantas musang hutan tundra yang lincah, aku menerjah cermin keretapi itu dan terpecah seribulah serpih-serpihnya bertabur-taburan bagai pasir ditepi pantai. Jatuhan yang merebahkan aku ke lantai jalan itu adalah lebih kurang 20 meter. Tidak sakit. Sakit aku lebih kepada jembalang-jembalang yang merosakkan hari aku di atas gerabak tadi. Datang ke tanah orang, membawa onar dan engkar sahaja!

Aku bingkas berlangkah laju dan deras dengan dada terluka berdarah serta pipi muka tergores parut. Menuju ke ibu pejabat. Tetap ke ibu pejabat biarpun masa waktu masuk pejabat sudahpun jauh tersasar dari asal. Biarpun gerabak disergah pengganas bajingan. Dirempuh kejahatan.

Sesampainya di pejabat: Lega.

Tiada siapa sangat di situ. Hanya ada dua tiga orang. Pasti sudah keluar. Tepat-tepat waktu makan tengahari. Perut aku pun mendisplin kosong pinta diisi. Namun, kesumat aku yang tertinggal di gerabak LRT Keramat tadi masih tetap belum usai redanya.

Ulasan