Siapa Faizal Mukhtar (setakat hari ini)?

Dulu masa aku kecik, mak aku pernah tanya aku. Aku nanti bila dah besar nak jadi apa.

Aku cakap kat mak aku, aku nak jadi askar. Apa sebab aku nak jadi askar pula, tanya mak? Aku jawab sebab aku nak dan suka tembak-tembak.

Mak aku diam.

(Itu dulu masa aku kecik la. Masa aku terlalu jujur meluah apa saja, tidak kira apa perihal dan perkara, subjek malah apa sentimen sekalipun. Tiada sekatan. Tiada kongkongan. Tiada batasan yang bukan-bukan. Habitat dan tabiat aku natural-senatural-naturalnya.)

* * *

Sampai ke hari ini, aku rasa cukup hidup.

Aku sewajarnya berasa sangat bertuah kerana telah melalui zaman-zaman penting dalam titik sejarah. Aku sudah melampaui era Perang Dingin, sudah beberapa kali tengok Sukan Olimpik dan Piala Dunia di kaca TV, bunyi-bunyi rock kapak, rap karipap goncang, melodi jiwang Saari Amri, lihat orang Malaysia ke angkasa lepas, saksi negara bertukar Perdana Menteri sepantasnya, September 11, Saddam dan Perang Teluk, merasa double kegawatan ekonomi dunia, Micheal Jackson, Sesame Street, Thundercats, He-Man, Transformers, Gaban, Kestaria Baja Hitam, Pac Man, Tetris, Contra, Street Fighter 20sen, Micro Genius, Gameboy, Playstation, Reebok Pump, ledakan pop Hollywood pasca Spielberg dan Lucas, BMX dan mountain bike, Ray Ban, Maradona ke Azman Adnan, Sudirman ke Search, Proton Saga, Jambatan Pulau Pinang, KLCC, KLIA dan F1 Sepang, ngaji kena kejar hantu, belanja sekolah 50sen, PMR, SPM, ITM, Gila-Gila dan Ujang, Tekaria, Sendaloka bersama Singer, More Jutaria, Along Bijak, AC? Sempoi, Laxmana, Badul, Gerak Khas, Sembilu, Babyrina, Maria Ozawa, Siti NurHaliza, makwe yang takde iras Siti NurHaliza, Maria Ozawa atau Babyrina, ngorat DJ radio, ngorat awek kat bus stop, kat library, kat kaunter kerajaan, ngorat anak makcik kantin, Uptown Damansara, Rasta TTDI, Sri Hartamas, Gazebo, Kinokuniya, menganggur, makan gaji, buang gaji, takde gaji, kena buang kerja takde gaji, orang gaji, kena tahan polis, kena tangkap warden asrama, kena rotan cikgu displin tapi tak kena, kena kantoi sebab tak terer cover line, kena teruk, kena sedap dan beribu-ribu lagi benda dalam artifak ingatan aku yang aku tak boleh nak list-kan kat sini sekali one shot.

Aku juga sempat rasa macam-macam perasaan. Kalau ada senarai emosi-emosi manusia tu kat Wiki, aku rasa 99.9% aku dah rasa. Yang 1% tu aku taktau perasaan apa. Mungkin aku dapat, mungkin aku tak dapat. Depends.

Aku juga pernah rasa macam roda. Alah! Yang selalu orang dok gebang tu, 'Hidup kadang-kadang macam roda'. Tambahan, aku pernah banyak kali juga tukar jenama tayar roda itu. Yang sekarang aku pakai ni, dia kira OK sangat dari yang sebelum-sebelum. Dan dia akan tetap tukar dari masa ke semasa. Bergantung pada bunga getah dia.

Aku juga dah ada ramai kawan sekarang. Yang baik, yang jahat tapi baik, yang baik tapi jahat-jahat baik, yang cantik, yang tak cantik tapi cantik, yang cantik tapi sebenarnya tak la berapa nak cantik, yang pandai, yang memandai-mandai, yang sengal, yang poyo, yang kaya, yang miskin tapi kaya, yang kaya tapi miskin, yang talented dan gifted(kawan type ni paling faveret, sebab dia faham!), yang ada superpower, yang takde superpower, yang rajin, yang malas tapi pura-pura rajin, yang malas tapi makin malas, yang agama-agama, yang kuat tegur, yang kuat marah, yang kuat makan(ni pun faveret aku jugak ni! Banyak benda kita orang makan. Luar dan dalam), yang itu dan yang ini, yang begitu dan yang begini. Semua-semua pun aku kawan. Aku takde musuh. Musuh aku semua tak register dalam rekod dan arkib. Sebab awal-awal aku dah 'make the kill'. Huahahahaaa!

Aku juga ada pasang-pasang impian dan harapan untuk dapatkan benda yang aku nak. Dan dah banyak juga benda yang aku nak, aku dah dapat. Aku dapat achieve benda yang selama mana sebelum ni, aku nampak macam mission impossble. Tak boleh. Tak akan dapat. Jangan nak mimpi! Tapi entah macam mana, kuasa Tuhan: Makin aku mimpi, makin aku dapat benda-benda tu yang aku ingin-inginkan. Kuat ya kuasa Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakal? (akronimnya: D.U.I.T, itulah formula yang aku pakaiguna bila mahu maju jaya) .


Hari ini, hari sejarah juga.


Zaman yang membawa perubahan diri dan sendiri.

Perasaan yang membuah kepada perasaan-perasaan baru.

Roda perlu ditukarganti.

Kawan-kawan yang sudah mahu faham.

Manifestasi mimpi makin menampakkan rupanya yang sebenar!


TERIMA KASIH KEPADA YANG MENJANA MIMPI-MIMPI DAN IMPIAN ITU.

TANPA REZEKI KALIAN DAN RAHMAT HIDUP, MUNGKIN JUGA AKU AKAN KURANG MENJADI SEPERTIMANA HARI INI.

KERANA HARI INI, HARI YANG JADI.

***

Sekarang aku dah besar. Alhamdulillah, aku dah pun jadi askar. Rasanya, mak aku dah tau yang aku kini adalah seorang askar.

Dah banyak juga yang aku tembak.

Aku masih tidak puas dan mahu menembak dan menembak lagi. Hingga capai tepat ke sasaran. Hingga dapat sampai ke arah yang dituju. Hingga mendapat apa yang diidam. Yang dicita dan yang dicinta.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
terbaik bro! tahniah dan selamat hari jadi yang ke-74! selamat! - ikhlas ultimate hakimin
faizalmukhtar berkata…
[kimin]

Ternyata terima kasih! Selamat.. selamat!! Hahahaha.