Sekeping kertas bermaruah.

Cuti panjang?! Ceh. Panjang berahak! Aku tak rasa macam nak eksyen sangat. Ini semua sebab kes menganggur panjang itu hari. Itu bagi aku cukup berahak dan berhabuk. Setakat ada dua-tiga hari nak balik kampung tempah jem dengan roti paun, nak pergi beratur panjang-panjang main gelungsur kat Mimaland, nak pergi makan ikan bakar dekat pelabuhan sampai berjam-jam tunggu menu masak... dah bukan agenda aku lagi cuti-cuti ni. Aku lebih sukakan cuti yang bertemakan kedamaian, kesucian dan ketenangan alam buana dan fauna. Sampaikan gerabak terbalik sebab trek bengkok dengan jiran terpekik terlolong gara-gara iklim ala-ala Las Vegas pun, aku boleh layan biasa seolah-olah macam Las Vegas tu aku pernah jejak. Aku sekarang kalau ada cuti jenis hatrik-hatrik ni, lebih terarah muhasabah diri dan pembersihan rohani.

Yang ada dalam kerangka rancangan cuti yang lepas-lepas ni pun, adalah banyak hal amal dan jariah. Hal-hal macam ni lebih senang dan mudah. Pahala pun dapat percuma. Dia tak payah pening-peningkan otak sangat. Duit pun boleh jimat ekonomi sikit. Nak buka cerita, hari minggu aku berkisarkan tentang bersih stor rumah orang tua aku yang aku rasa ada la dekat 18 milenia nan lampau tidak diselongkar dan disucikan. Macam-macam aku selongkar dan teroka. Bersih punya bersih, cuci punya cuci, entah macam mana terjumpa dan terdedahlah satu kotak surat cinta aku yang lama-lama. Zaman ubun-ubun nak kental. Zaman baru kenal apa itu jiwang, apa itu karan dan apa itu kapak. Terungkailah memori, terungkaplah kenangan cinta kenangan silam. Hanyut dalam bayangan sebuah misteri. Harum tiada wajah, mengelilingi aku. Dengan suasana yang terharu. Lukisan impianku, gambaran di mana... cuaca yang begini apakah mahunya?

Nasib aku yang jumpa dulu. Kalau mak aku yang jumpa dulu, maka panjanglah press conference kat dapur tu nanti.

Aku tak baca balik lagi secara khusyuk warkah-warkah mawar berduri tu. Tapi sekilas pandang, aku dah boleh agak lepas jugalah nak buat buku pedoman bercinta untuk pelajar-pelajar sekolah aliran KBSM. Cuma aku jangka lepas tu, aku kena abiskan beberapa riwayat dalam kalendar hidup aku kat Kamunting atas dakwaan pengaruh dan hasutan bawah akta penyalahgunaan buku kerja baris satu dan pad kertas periksa sekolah. Baru berapa lembar gua layan baca... Peh! Memang tak boleh belah sahsiah ketatabahasaan cinta aku itu jam. Siapa yang tahu pada era yang berkenaan, kuat betul pengaruh Sembilu dengan Saari Amrinya! Entah setan apa, dengan aku-aku pun boleh terjebak. Rock kepala paip kau.

Oh ho hohh! Fikir-fikir balik, ketemu jua pada aku sebuah jawaban!!

Patut la pun, aku ada hantar surat cinta dekat satu makwe lalu fesbuk itu hari dia macam tak makan. Dah ketinggalan zaman rupanya mazhab yang aku pegang selama ni. Dia kira macam dinosor-dinosor biarpun aku tak guna kaedah buku kerja garis satu atau pad kertas periksa sekolah.


Tak boleh dibiarkan ni. Apa nak jadi... jadilah.

Esok time waktu makan tengahari, aku mesti pergi Giant. Nak cari jenis kertas yang kualitas dari segi mutu dan grednya.

Ulasan

gayour berkata…
harharhar!

how's ya doin' boy scout?
faizalmukhtar berkata…
[gayour]

...getting there, sir. Getting just there. Hehe.