Profesion: Pemain Skuad Kebangsaan sepenuh masa. Apa pandangan anda?

Keputusan menghantar kesemua 30 pemain skuad bolasepak negara beraksi dengan kelab-kelab terkemuka Eropah merupakan satu langkah yang dianggap relevan dan baik. Memandangkan buat masa ini Liga Malaysia bukanlah medan terbaik untuk mereka mengekalkan momentum kemenangan dan mengaut pengalaman yang lebih besar, malah pada satu sudut dianggap sebagai penghalang, peningkatan harus terus disaksikan daripada kelompok pemain yang membentuk skuad emas Sukan Sea edisi ke 25 yang lalu.

Lantas, daripada membiarkan mereka terus 'terperangkap', Kementerian Belia dan Sukan berjaya meraih persetujuan Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk 'menyelamatkan(?)' mereka.

Ia mahu dicapai dengan segera meleraikan ikatan mereka daripada pasukan negeri sebelum pemain-pemain terpilih dihantar untuk pendedahan dan latihan di Eropah dengan harapan mampu mencipta nama di pentas tertinggi itu. Keadaan Liga Malaysia juga jauh berbeza dengan saingan di negara luar. FAM sudah membangunkan skuad ke tahap mampu mencapai keputusan membanggakan. Kini sudah tiba masa untuk memikirkan masa depan mereka daripada konteks pelan yang berbeza.

KBS dan FAM akan berbincang dengan pasukan negeri untuk 'membeli' kontrak sedia ada, supaya pemain dapat sepenuhnya berada dalam kawalan badan induk itu. Suatu kaji semula keperluan kewangan itu katanya mampu diatasi. Hanya tinggal membentangkannya kepada Kabinet untuk kelulusan sahaja.

Seterusnya, mereka akan ke England untuk berbincang dengan beberapa kelab bagi menempatkan pemain-pemain dan juga untuk mereka menjalani ujian pemilihan.

Jika mereka berjaya, peluang untuk pemain-pemain lebih maju memang cerah. Pada masa sama apabila diperlukan negara, mereka akan kembali ke tanah air. Selain England, turut diintai ialah peluang pemain-pemain berguru di beberapa negara Eropah lain ketika Turki, Slovakia serta Korea Selatan juga sudah menyatakan kesediaan untuk menawarkan tempat kepada pemain-pemain negara. Peluang latihan dan pendedahan serupa juga akan dinikmati jurulatih-jurulatih tempatan. Kita tidak mahu sekadar jurulatih kita hanya tahu melatih sahaja, namun turut dibimbing dengan ilmu membaca serta menganalisis permainan bola sepak moden. Pendedahan di luar negara itu merupakan jalan terbaik untuk mengekalkan kecemerlangan skuad Harimau Malaya.

Pembahagian para pemain ini akan diperuntukkan kepada beberapa kelab, tidak semestinya mereka akan tertumpu dengan satu kelab sahaja.

Sebelum ini, cadangan supaya pemain skuad bola sepak negara tidak mewakli pasukan negeri atau kelab didakwa sukar untuk dilaksanakan. Ia disebabkan faktor kewangan yang dihadapi oleh FAM serta masalah teknikal yang bakal berlaku jika cadangan tersebut dilaksanakan. Kekangan akan dihadapi oleh FAM dalam memenuhi komitmen itu kerana kebanyakan pemain terikat dengan kontrak bersama pasukan negeri masing-masing, di samping masalah kewangan untuk menghantar pemain ke luar negara.

Jika ada pasukan negeri enggan melepaskan pemain mereka kepada skuad kebangsaan, mereka tiada pilihan lain selain mengutamakan kepentingan negara. Namun, ruang untuk perbincangan tentang permasalahan itu tetap ada. Perundingan dalam memenuhi tuntutan mereka terutamanya pembabitan kontrak akan terus dilakukan.

Ulasan