HARIMAU MALAYA tundukkan GAJAH PUTIH.

Hari ini adalah hari sejarah untuk Harimau Malaya. Penentuan hidup mati skuad negara di Sukan Sea Vientiane, Laos sudahpun terjawab. Hanya ada satu pilihan di tangan iaitu melakar kemenangan yang akan sekali gus menyingkirkan juara lapan kali berturut-turut, Thailand, daripada pentas saingan kali ini.

Kita Menang.

Malaysia 2. Thailand 1.

Gol Malaysia dijaringkan oleh Mohd Nasriq Baharom dan Ahmad Fakri Saarani. Kedua-dua jaringan hadir pada 10minit terakhir perlawanan. Sungguh mendebarkan.

Di sebalik dua hari dimiliki buat memantapkan pasukan, K. Rajagobal jelas diganggu persiapan paling mencabar selepas menghantar penyerang, Zaquan Adha Abdul Radzak pulang pagi tadi akibat sakit matanya yang belum sembuh. Memang khidmat penggempur muda itu tidak boleh digunakan angkara penggantungan satu lagi perlawanan tetapi itulah gambaran menghimpit jurulatih berkenaan ketika mengharap barisan penyerang ampuh buat meruntuhkan kekentalan benteng lawan. Ketiadaan Zaquan memang menyulitkan. Hanya ada Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Manaf Mamat. Ini jelas bukan persiapan terbaik ketika kita perlu menjaringkan gol dan menang ke atas Thailand.

Namun, Rajagobal enggan memandang ke belakang tetapi jika itu pilihannya, kelibat Razali Umar Kandasamy, Farderin Kadir dan Khyril Muhymeen Zamri yang ditinggalkan pasti wujud dalam pemikiran. Razali diketepikan pada saat akhir selepas gagal melapor diri kembali ke kem latihan ketika Farderin dan Khyril masing-masing tersisih angkara kecederaan. Sebelum itu, apa diharapkan ialah supaya pemain yang ada, bangkit menyahut cabaran buat melepasi ranjau penuh onak yang menanti. Semasa perlawanan, pemain tidak gementar. Hormat perlu tetapi tiada pun sekelumit rasa takut yang terwajah. Percaya dengan adanya perwatakan kuat untuk menangani segala halangan dan rintangan. Mereka dapat menjelmakan apa yang mereka mampu, kemenangan hari ini bukan lagi sesuatu yang mustahil.

Jika dilihat rekod pertemuan dengan Thailand pada pentas saingan serantau, kali terakhir kemenangan dicapai ialah pada 1989, ketika skuad negara mengungguli saingan di gelanggang sendiri iaitu kira-kira 20 tahun yang telah lalu. Manakala, ini pula kali pertama Thailand tidak layak keluar dari peringkat kumpulan sejak 36 tahun kempen Sukan Sea lepas.

Tonggak tengah pasukan kebangsaan Shafiq Rahim berkata, keupayaan memberi tentangan terhadap kekuatan fizikal pemain Vietnam pada perlawanan yang terdahulu telah digunakan tatkala berdepan Thailand yang nyata sedikit lemah dari segi fizikal. Kelebihan Vietnam terletak pada kekuatan fizikal mereka dan barisan kita berjaya menyaingi kelebihan tersebut ketika menentang mereka, Ahad lalu gara-gara kelemahan mutu pengadilan. Hari ini, para pemain telah mengambil kesempatan terhadap kelemahan fizikal Thailand, lantas mampu menumbangkan mereka.

Jentera serangan pasukan Thailand pada temasya kali ini tidaklah sebegitu kuat seperti mana skuad yang memenangi emas pada Sukan SEA 2007 di negara mereka sendiri.

Kini, Malaysia telah menang ke atas Thailand dan layak ke separuh akhir. Tuan rumah Laos menanti kita Isnin ini.

Berjuanglah HARIMAU MALAYA ku!



Ulasan