Rebiu: NUR KASIH

Dalam pensejarahan drama TV Melayu di negara ini, hanya ada beberapa gugusan slot cerita sahaja yang mencapai tahap kepuasan yang mengesankan, memberikan suntikan yang sungguh mendalam, mantap dalam sampaian mesej dan moral serta mencipta ribuan dan mungkin juga sejuta pengikut setia saban minggu untuk menontonnya. Dan kebanyakan dari siri bermusim ini terwujud pada era 80an dan awal 90an, yang mana rata-ratanya diungguli oleh sitkom dan hanya segelintir sahaja drama yang benar-benar hebat. Opah, Naik Tangga Turun Tangga, Rumah Kedai, Santan Berlada, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, 2+1 dan beberapa lagi adalah sebagai contohnya. Semenjak itu, aku berpendapat dan mengamati bahawa hampir semua cerita-cerita bermusim atau bersifat episodik drama Melayu di TV cuba dan terus mencuba mencipta 'sesuatu' namun masih tetap belum mencecah keberkesanan sebuah klasik yang tersebut.

Sehinggalah muncul NUR KASIH.

Siaran drama Islamik kontemporari yang disiarkan di TV3 setiap Jumaat, tanggal jam 9 malam kini sudahpun berakhir sebentar tadi. Aku mengikhtiraf drama ini sebagai sebuah drama yang mempunyai kriteria dan kualiti keberkesanan dan kepengaruhan seperti yang di atas. Aku juga mentakrif NUR KASIH sebagai sebuah 'instant classic' yang merupakan garapan-garapan nilai murni serta adunan plot penceritaan yang cukup mengalir kemas ke benak hati dan akal sesiapa saja yang menjadi follower atau fan tegar. Emosinya tinggi tetapi sederhana. Tidak dapat tidak, aku merasai watak dan perwatakan yang cuba dikait-alun dengan kehidupan kita masyarakat Melayu umum dan insan Muslim secara khusus. Cinta yang tidak berbalas, ujian yang getir dari Tuhan, penyesalan dalam berkeputusan, hijab rasa dan nurani yang disingkap, kuasa takdir dan ketentuan, keramat kasih-sayang ibu bapa dan keluarga, pengalaman yang tidak putus mengajar kita erti hidup dan pelbagai lagi susuran galur amal dan penyerahan kita sehari-hari terhadap apa yang tertulis dan tersirat.

Sesekali amat sukar untuk aku tidak meremangkan rasa emosi dan perasaan di dalam menghadam dan meresapi cerita ini dari minggu ke minggu. Nur Amina, Adam, Aidil, Sara, Aliya dan semua kehadiran watak dan perwatakan yang pernah muncul dan wujud dalam drama ini akan terus menjadi sumber kekuatan NUR KASIH. Nadinya pula adalah realiti kehidupan yang mungkin aku atau kau pernah hadapi dan lalui. Malah, olahan drama ini ber-klise longgar dan stereotype-nya pula hampir-hampir tidak ada.

Mungkin ada yang beranggapan cerita ini agak keras Hindustani ala Kabhi Khushi Kabhie Gham(terutama di hujung-hujung episod menuju ke episod akhir) atau menjurus ke arah mahar novel pembangun jiwa persis Ayat-Ayat Cinta karyareka Habiburrahman Shirazy, aku tetap berpendirian bahawa NUR KASIH ada miliki tunjang keutuhan sendiri. Lupakan teknik flash forward yang terlalu kerap digunakan untuk episod hari ini atau betapa banyak kali parut di muka Adam, sahabat Adam di India dan Sara di ulangpakai di bahagian pipi kiri atau hi-dramatik setting yang terlalu pantas. Tidak ada pengistilahan sempurna di dalam dunia ini.

Terima kasih buat Mira, Maizura dan Mariana yang berkesanggupan menulis, mengkaji, mencerna, memapar dan menjadikan NUR KASIH sebuah sari cerita yang menarik. Syabas untuk Kabir Bhatiar dan Faizal Ishak di atas arahan visi yang unik dan membuah ranum. Tidak perlulah aku merungkai satu persatu betapa superb-nya pembawakan sinematografi yang di canting di atas larikan layar TV. Jikalau filem, sudah tentu bergandalah jua kesannya dan efeknya. Terutama tang color scheme dan graduation yang mewarnai olahan babak serta shot. Sebab itulah ia dipanggil sinematografi. Penerbit, pengiklan dan penajanya juga boleh tersenyum girang kerana sudah nampak apa yang tidak ternampak sebelum ini. Kalau tidak masakan ruangan iklannya panjang-panjang dan penggambarannya pula dibikin di 4 buah negara berasingan! Jika ada perumpamaan Inggeris yang pantas aku ingin berikan adalah mereka akan 'laughing all the way to the bank' kelak. Malah, Joe dan Adilan serta konco-konco klik editor di bilik suntingan juga boleh menarik nafas lega semuanya berbaloi lebat berhasil di mata peminat. Gua caya sama lu orang! Nanti free kita open table kat uptown pekena lepak sampai lebam lagi. Lu belanja Joe.

Kini, Jumaat malam berNUR KASIH sudah berlalu dan tiada lagi. Hakikatnya begitulah sebuah drama TV Melayu klasik dicipta. Ada permulaan dan ada penghabisan. Ada jiwa. Ada 'soul'. Ada rasa yang cukup. Ada nikmat hidayah yang membina. Ada meninggalkan kesan pada hati. Ada NUR dan ada KASIHnya.

Semoga di suatu masa yang kelak mendatang, ada yang hadir menyambut kelahiran klasik ini dengan jelmaan yang lebih manis dan cantik hendaknya.

Serius. Kita perlu lebih ada banyak cerita yang betul-betul membina. Baru fenomena.

" Tuhan tidak akan menguji manusia yang di luar batas kemampuannya. "
- Adam, NUR KASIH. Episod Akhir.

p/s: ALIFF FIRDAUS akan menggantikan slot NUR KASIH tidak lama lagi untuk yang belum sedia dimaklumi. Aku memang mengharap NUR KASIH berakhir begitu sahaja tanpa ada NUR KASIH 2. Dan ALIFF FIRDAUS ini tidak ada kena mengena dengan Alif Firdaus Azis Hantu Silap Mata. Untuk yang miss atau tak sempat follow dari awal, vcdnya dah ada jual kat kedai. Terima kasih.

Ulasan

INDRA QIRANA berkata…
dalam banyak banyak drama ini lah drama paling berhantu pernah aku tgk?!

aku tak suka tgk drama durasi sambung sambung cam ni letih!

tapi untuk Nurkasi ni aku terpaksa tengok pasal karya yang satu ini ada package yang agak lengkap,

dan merupakan satu standart guide baru dalam karya drama drama melayu selepas ni, itu pun kalau penerbit lain terbukak mindanya ler...

kalau tak percaya lepas tgk nurkasih cuba bandingkan drama cerekarama kat tv3 atau lebih teruk drama kat tv1

Jadi lain macam bkn?...renung renungkan....
faizalmukhtar berkata…
[indra]

gua pun taktau ni ada standard guide untuk drama. Hahaw!
azyze gomez berkata…
kamu pun kena penangan nurkasih?
lepas ni banyak lah DVD boxset nurkasih cetrom di pasaran (gelap)
faizalmukhtar berkata…
[azyze]

ah. kamu ni... optimis la sedikit.
azyze gomez berkata…
bila bab2 trend tv/movie ni, optimis susah sikit. dah tahap optimus prime dah. tak pun primate.

tapi memandangkan kamu dalam industri ini, okaylah. saya optimis. tidak akan ada DVD cetrom sebab orang malaya dah semakin prihatin. mereka tak sokong dan pirate2 ni.

(mereka upload kat youtube sahaja)