Harimau Malaya unite for Khairul Azman !

Terpanggil atas dasar tangggung jawab sebagai penyokong yang amat cintakan bolasepak Malaysia, laman-laman komuniti bolasepak (E-Fan) di tanah air serta bekas-bekas pemain kebangsaan telah bermuafakat untuk meringankan beban yang dipikul oleh bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamed.

Khairul dilaporkan memerlukan RM16,000 untuk kos pembedahan mengantikan ligamen dan otot tendon yang baru pada kedua belah lutut beliau. Ligamen atau urat rawan serta dengan tendon merupakan komponen yang penting mengabungkan lutut dan tulang kaki seorang manusia.

Memandangkan Khairul amat berminat dalam kejurulatihan, laman-laman komuniti yang diketuai oleh harimaumalaya.com (HMC) telah menjalin kerjasama dengan pahangcommunity.com (PCC – The Young Elephant) dan sabahrhinos.com (SRC), menjemput hijaukuning.com (HKC), selangorfc.com (SFC) dan kelate.net (KDN) untuk bersaing dalam Pertandingan Amal Bolasepak 9 Sebelah – Jasamu Dikenang Khairul Azman pada 01 November 2009, bertempat di Mini Stadium Pancarona, Putra Jaya.

HMC juga amat berbangga kerana beberapa nama besar bolasepak tanahair turut memberi kerjasama untuk menjayakan projek ini nanti. Bekas-bekas pemain kebangsaan seperti Zainal Abidin Hassan, K.Gunalan, S. Somasundram, P. Maniam, Zainal Nordin, Dollah Salleh, V. Saravanan, Ahmad Yusof, Subadron Aziz dan V. Murugan.

Pihak penganjur akan turut menjemput nama besar yang seangkatan dengan Khairul seperti Serbageth Singh, Mubin Mokhtar, Razip Ismail, Mat Zan Mat Aris, Azman Adnan dan ramai lagi.

Sebahagian daripada bekas-bekas pemain kebangsaan ini akan bermain untuk HMC Vintage manakala yang lain akan mewakili pasukan E-Fan yang lain. Selain daripada HMC Vintage, HMC juga akan diwakili oleh HMC ULTRAS dan HMC Coneli FC. SRC, HKC dan SFC akan menghantar satu pasukan manakala PCC dan KDN akan diwakili 2 pasukan. Pasukan TV3 dan ganusoccer.net (GSN) turut dijemput tapi masih belum memberi kata putus.



Pelbagai aktiviti akan dijalankan pada hari pertandingan tersebut seperti Cabutan Bertuah, Pertandingan Sepakan Penalti, Pertandingan Menimang Bola, Sesi Bergambar dengan bekas pemain dan Sesi Autograph. Untuk menghidupkan lagi suasana pertandingan, HMC turut akan menilai Pasukan Sorak Terbaik daripada semua pasukan E-Fan yang bertanding.

Semua kutipan akan disalurkan terus ke Tabung Jasamu Dikenang Khairul Azman di mana pihak penganjur berharap dapat mengutip lebih daripada RM5,000 untuk disumbangkan kepada bekas penjaga gawang terbaik Asia itu. Selain daripada aktiviti-aktiviti tersebut, kesemua E-Fan yang terlibat telah sepakat untuk mengutip derma ikhlas melalui forum laman web masing-masing.

Adalah diharapkan, sumbangan ini dapat membantu Khairul meneruskan impian beliau untuk mencurahkan segala pengalaman yang ada pada generasi pemain baru yang bakal menjadi asset kepada usaha untuk menaikkan kembali martabat bolasepak kebangsaan.

Khairul, yang dihubungi baru-baru ini, amat terharu dengan usaha yang E-Fan lakukan. Menurut beliau, kecederaan yang dialami sekian lama telah membantutkan perancangan beliau untuk meneruskan kerjaya sebagai jurulatih. Walau bagaimanapun, bekas penjaga gawang kelahiran Kuantan itu turut sedih kerana terpaksa menanggung beban ini tanpa bantuan daripada pihak yang wajib.

Justeru, E-Fan sepakat mengambil alih tanggungjawab ini daripada persatuan bolasepak negeri untuk membuktikan bahawa penyokong juga perlu memainkan peranan untuk mengenang jasa yang pernah ditaburkan oleh bekas-bekas pemain kebangsaan kita.

Bekas-bekas pemain kebangsaan juga amat berbangga dapat terlibat dalam pertandingan amal ini dan berharap lebih ramai pihak dapat mengikut jejak langkah E-Fan ini. Sebagai satu langkah yang positif dan murni, pihak swasta di minta untuk tampil kedepan dan memberi sumbangan berupa wang ringgit dan apa-apa sahaja.

Penganjur juga akan membuka booth perniagaan kepada mana-mana pihak yang sanggup memberikan sumbangan, bergantung pada syarat dan terma. Kemeriahan ini diharap akan dapat menarik peminat bolasepak bersantai bersama-sama dengan semua pemain dihujung minggu.


credit: harimaumalaya.com

Ulasan