Discourse kelab Street Fighter 2, persatuan mesin kuda kencing dan gerakan Darmalinggam terunggul.

Semasa gua sekolah, gua selalu dipaksa-paksa buat benda yang bukan kerelaan hati gua. Benda itu adalah seperti berambut pendek sisir kilat ala pegawai kesihatan, pakai tali leher hari Isnin, lekat lencana sessi kecik tepi kolar yang kalau basuh mesti ghaib, beratur nak beli nasik time rehat, berdiri tegak macam tugu negara bila loceng nak masuk sekolah, main bola padang macam kat Afghanistan, isi kad pinjam buku pusat sumber, karang surat cinta dan jadi posmen cinta untuk kutu-kutu,dan lain-lain lagi.

Paling gua tak ngam bila dipaksa, terpaksa dan kena paksa hadir ko-kurikulum hari Sabtu. Dah la hari Sabtu waktu perdana kartun kat TV. Sistem persekolahan tidak faham langsung dengan keperluan sosiologi dan psikologi gua pada masa itu. Itu nafkah batin gua. Terlepas tengok kartun pagi Sabtu perasaannya ibarat kecewa cinta tidak berbalas yang tidak tergambar dengan kata-kata pada makwe idaman. Dan ko-kurikulum itu umpama orang ketiga yang menghancurkan segala. Bedebah punya ko-kurikulum hari Sabtu. Macamana gua nak debat dan berhadapan dengan Darmalinggam nak konco-konconya nanti?

Tapi berapa ramai yang tidak tahu dan tidak ambik tahu, pada hakikatnya gua telah terlalu banyak bergiat aktif dalam arena ko-kurikulum sekolah sejak dari peringkat KBSR lagi sehinggalah ke peringkat KBSM. Sungguhpun bukan Sabtu, hari-hari biasa pun gua jalankan aktiviti kelab dan persatuan yang gua sertai itu. Ahli pun ramai. Rajin, setia, tanggungjawab dan komitmen tinggi, kedatangan penuh, yuran tak pernah miss dan jadualnya sentiasa padat.

Antara kelab dan persatuan yang gua sertai dan menyandang jawatan-jawatan penting adalah kelab lawan batang aiskrim, panitia sayembara tutup botol oren tahap 1 dan tahap 2, kelab tepuk daun terup mini cap Transformers, GI Joe dan Ninja Turtle (3 tahun berturut-turut), persatuan mansuh Darmalinggam, kelab main game dalam kelas komputer, persatuan arked edisi Super Contra, Galaga, Space Invaders, Street Fighter 2 dan Tetris, persatuan mesin kuda kencing (setengah penggal. Bersara awal atas alasan SPM nak dekat), majlis tertinggi kelab key-burn alatan dan radas makmal sains buat pegi camping kat Sungai Congkak, setiausaha kehormat gerakan ngurat awek-awek sekolah lain aliran cun, kelab sorong basikal dalam kawasan sekolah, kelab tak bawak baju PJ waktu PJ, kelab datang lambat, kelab panjat gate sekolah dan lain-lain lagi.

Kan gua dah cakap. Banyak.

Tapi malangnya, semua persatuan dan kelab ini tidak didaftarkan kepada sekolah dan pihak PIBG kerana terlalu ambitious, subversif dan seorang pelajar jiwa kental bernama Darmalinggam.


p/s: Untuk rekod, gua tidak pernah nampak Darmalinggam bawa buku teks apatah lagi perkakasan tulis ke sekolah. Di dalam bagasi sandangnya kerap sahaja sarat di isi dengan batang aiskrim yang beraneka rona, tutup botol oren bertahil-tahil dan bekas tin coklat. Dalam darjah 2 Teratai, dia digelar Darmalinggam Terunggul. Gua dengar dia tengah berkira-kira nak beli Facebook sekarang ni.

Ulasan