Cerpen Hari Ini berjudul…

.
‘ ISNIN YANG JUNUN ’


Sebuah cerita tiga babak yang penuh pengajaran duniawi dan ukhrawi. Tidak kira di mana jua anda berada. Klasifikasi (U)


Babak 1: Pagi

Pagi itu sungguh awal tapi damai. Gua bangkit dalam keadaan mata berselepet yang belum pun kebah dari hujung minggu yang sungguh sarat dan padat dengan peristiwa-peristiwa penting dalam kalendar bolasepak, lokal dan antarabangsa. Tidur gua pun hanya tidak sampai berapa jam sahaja. Ini semua gua harungi atas dasar tanggungjawab kepada ibu gua yang baru sahaja kehilangan beg sandangnya. Dicuri pencuri semasa di masjid semasa hendak solat di siang hari kelmarin lepas. Orang sekarang kalau memilih profesion sebagai pencuri memang tidak kira. Asal dapat hasil curian, sudah. Azab dan kemudian hari bagi mereka tidak langsung wujud dalam benak akal dan hati.

Tempat pertama yang kami tuju sesudah Subuh itu adalah Balai Polis. Di sana laporan dibuat. Disebabkan hari masih pagi-pagi lagi, gua dapat lihat bagaimana anggota-anggota sedang berhimpun depan balai macam berhimpun depan sekolah hari Isnin, sambil diberikan taklimat kerja masing-masing. Di dalam bangunan itu pula, ada beberapa anggota berpangkat tinggi sedang berbual-bual. Dari segi intonasi dan naik turun bicara suara, gua rasa kaget. Kaget kerana sudah bertahun-tahun rancangan Gerak Khas ke udara di dalam kaca televisyen, rupanya langsung tidak sama dengan gambaran yang gua saksi di luar kaca televisyen. Tapi kenapa sehingga ke hari ini, amat bersungguh-sungguh rancangan Gerak Khas menggunakan dialog-dialog bahasa dewan sedangkan di balai ini biasa-biasa saja gua tengok cara mereka cakap. Televisyen perlu elakkan kekeliruan ini. Polis juga manusia biasa, bukannya pakar bahasa dewan macam yang dalam kaca televisyen itu. Tak ubah macam TV pendidikan sahaja walau sudah lebih 15 musim ke udara.

Lepas, itu kami ke JPN Shah Alam untuk membuat IC sementara ibu gua. Di sana tidak ramai orang sebab hari ini mungkin hari Isnin. Tambah pula cuti sekolah tidak mula lagi. Budak-budak dan orang-orang nak kahwin belum start datang. Atau mungkin ramai orang yang pada asalnya ingin datang ke sini pada peringkat awalnya tidak jadi datang sebab pasukan bolasepak yang mereka puja tewas, langsung kecewa tak sudah. Semasa di kaunter, pegawai yang bertugas bertanyakan kalau ada peluang, bolehkah dia belajar ngaji dengan ibu gua dan berapa bayarannya. Ibu gua dengan tenang menjawab, ‘Datang aje, bayaran tidak dikenakan’. Gaya bahasa ibu gua tiba-tiba sahaja mempunyai ketokohan gaya bahasa persis penjawat awam. Ibu gua percaya bahawa segala ilmu pengetahuan, tambah lagi ilmu agama-agama tidak boleh dihitung dengan wang ringgit atau mana-mana matawang lain. Ilmu pengetahuan dunia lebih-lebih lagi yang akhirat adalah wajib dimiliki dan dikongsi bersama. Mungkin sebab itu ibu gua tidak pernah mengalami krisis kewangan kerana kerja yang dibuat ikhlas dan penuh keredhaan biar segawat manapun ekonomi global. Tak macam gua. Kadang-kadang soal air kosong boleh berkira dan hingga bergaduh-gaduh dengan mamak.

Kemudiannya kami terus ke destinasi seterusnya iaitu di JPJ cawangan Padang Jawa. Gua ingatkan lama berurusan di JPJ ni sebab orangnya lagi ramai merusuh dari Balai Polis dan JPN. Tapi tak sampai setengah jam dah settle se-settle-settle-nya. Gua harus teruskan berguru dengan ibu gua bagaimana hendak melancarkan perjalanan hidup ini walaupun diasak masalah sebesar dinosor dan dicabar dugaan sebesar gunung Kalimanjaro. Gua taktau sebab apa gua pilih perumpaan Kalimanjaro. Cuma bunyinya sedap.

Kalimanjaro.

Tak sampai pun detik jam mencecah jam 12 tengah hari, semuanya sudah diurusi dengan sempurna. Termasuklah dengan kad bank yang telah di blok dan nombor henset 3G yang telah dicantas. Sedangkan gua dah nak masuk 18 bulan, tidak juga langsung me-renew-renew cukai jalan gua yang dah expired berkurun lamanya. Apa nak jadi dengan gua, hanya gua yang tahu. Ibu gua memang handal.


Babak 2:
Petang

Waktu ini tepat jam 3.45 petang, gua ada temujanji merangkap temuduga untuk mendapatkan kerja tetap. Untuk rekod, ini bukanlah temuduga pertama gua semenjak kerancuan ekonomi global melanda dunia. Gua pun tak berapa nak ingat berapa tapi yang pastinya sudahlah banyak kali gua keluar masuk pejabat dan ofis orang minta kerja kosong. Sampai ada 2-3 jawatan tu memang gua tak jangka gua boleh pohon. Akibat terdesak dan tekanan dari masyarakat dan kejiranan, gua belasah aje. Itu pun tak dapat. Mungkin Tuhan tak izinkan gua kejar ‘pekerjaan’ seumpama itu. Out of character barangkali.

Gua sampai lewat ke pejabat yang hendak ditemuduga itu. Alasan yang diberikan cukup lazim iaitu hujan lebat. Padahal iklim takde kena-mengena pun dengan kelewatan gua. Nasib baik makwe yang tanya gua kenapa gua lambat tu cakap ‘Takpe, it’s OK’. Kalau tak jenuh gua nak carik alasan lain dengan syarat tidak membohong. Nanti kalau bohong takut tak dapat keberkatan kerja pula.

Sessi temuduga dijalankan dalam sessi yang semi-formal memandangkan 2 daripada 4 eksekutif yang menemuduga gua itu adalah kroni gua. Tapi disebabkan kroni, yang bukan kroni tanyakan soalan yang agak susah juga. Seperti, ‘Awak ni belum kahwin?’, ‘Awak ni orang Jawa ke?’ dan ‘Berapa gaji nak?’. Gua saspek ada orang dalam feed maklumat peribadi ini kepada eksekutif tersebut. Tapi, gua ada mengaku juga yang gua ada sikit terlepas slanga berbahasa ibunda gua. Sedia maklum, lidah gua tidaklah akrobatik sangat .

Entah kenapa, gua rasa temuduga kali ini rasa macam memakan jerangkap diri sendiri. Ada jawapan yang best sepatutnya gua boleh jawab dalam perjalan balik, gua bagi jawab yang meracau-racau pula tadi. Orang meracau pun tak meracau macam gua. Ada sekali-dua tu, lain yang ditanya… lain pula yang dijawab. Macam luncai kehilangan labu gua rasai.

TIPS/ MORAL: Sebelum pergi temuduga lain kali, jangan lupa mandi. Keadaan kurang air mungkin akan mempengaruhi minda bawah sedar kita.


Babak 3:
Malam

Disebabkan petang hujan, malamnya gua main badminton secara beregu dengan Faizal Kucing, Asrul Ronggeng dan Nik Mat Nik Mut sebagai aksi sukan menggantikan acara tendang bola petang-petang. Asrul Ronggeng yang bayarkan bagi pihak gua sebab gua dah kering untuk hari ini.

Dan oleh kerana itu juga, gua terpaksa buat-buat kalah disebabkan gua sudah terhutang budi pada Asrul Ronggeng. Bukannya gua tak terer membuang smash tanggung macam Alan Budi Kesuma atau bikin backhand pembunuh ala Joko Suprianto di zaman kemuncak . Gua saja tak menang. Nanti kalau gua tunjukkan kemahiran sebenar gua, dituduh berlagak kambing pula. Tambah lagi ada gadis-gadis manis curi-curi tinjau di gelanggang belakang.

Maka, sederhana itu kan adalah lebih bagus adanya.

Permainan badminton kami malam tadi secara keseluruhannya lebih ke arah pertunjukan sarkis bergerak Royal London.

Pantang ada makwe. Mulalah si Ramlee tu.


TAMMAT
.

Ulasan

azyze gomez berkata…
kuasa emak-emak memang sakti... begitu jugalah daulatnya. tambah-tambah bila dia dah suruh berhenti main waktu azan maghrib tapi kita buat-buat tak dengar dan akhirnya terpeleot jatuh ke dalam longkang hingga mencacahkan parut peringatan.

i lef emak.

(woh bab duit tu memang setuju! dia gaji 2-3 ratus je dulu pun boleh sara anak ramai. kita? 2-3 ribu sorang pun berpeluh bila time2 ujung bulan. ajaib)
faizalmukhtar berkata…
[azyze]

sebab kita banyak belanja benda yang takde kena mengena dengan 'unsur emak-emak'. Keberkatan pula sifar.