tahu pandai mahu bodoh.

Setiap diri manusia itu tidak terus menjadi bijak atau mahir akan sesuatu perkara, sebaliknya ia harus dahulu bertitik tolak dari kebodohannya yang tulus. Aku masih ingat pesan kata ini. Sepertimana Da Vinci tidak akan dapat melahirkan mahakarya agung Monalisa sekiranya dia tidak kosong dan rencam pada mulanya. Beatles tidak akan dapat menggubah pop irama dan lagu-lagu ikutan kegilaan yang malar segar sehingga kini sekiranya mereka tidak lompong dan buntu awal terdahulu. Dan begitulah jua pada semua legenda, ikonus dan tokoh sezaman yang ada. Setiap manusia lahir dengan cara yang sama, dengan sifat yang sama, dengan zahir yang sama, dengan serba-serbinya yang sama semasa keluar wujud ke dunia ini. Namun apakah yang membuatkan seseorang manusia itu cukup hebat, outstanding serta lebih terampil di mata manusia-manusia yang lain?

Mungkin ada yang berkata anugerah bakat, aliran gen atau keturunan, faktor dalaman dan diet kesihatan yang dipupuk, tingginya displin diri, pengaruhan alam sekitar secara natural atau tidak natural serta bermacam-macamlah lagi andaian yang lain.

Mungkin semuanya benar dan mungkin juga ada hakikat yang lebih besar dari semua itu. Sesuatu yang tidak masuk laras dek akal. Dan hari ini aku terjemput untuk berfikir tentang keistimewaan manusia-manusia yang luarbiasa itu. Aku merenung panjang. Mendalam bungkam sehingga satu persatu manusia yang pernah aku jadikan ilham dan kenamaan sanubari melubuk kesannya. Tanggapan aku juga berbagai-bagai. Terus-menerus aku rawat dan bedah mereka secara pipih kerangka ke kerangka, perinci demi perinci. Dari seniman dan sarjana-sarjana pujaan aku, guru-guru yang pernah aku rapati, kawan-kawan yang sanggup bersekongkolan cerita dan bersekutu masalah dengan aku, orang tua dan insan-insan terpilih yang meninggalkan kesan kepada aku sehingga ke dasarnya.

Akhirnya aku faham.

Untuk jadi pandai hari ini, memang kena bodoh semalam.

Rasanya tidak sia-sia juga aku berbodoh-bodohan dahulu sebelum memandai-mandai kemudiannya. Dan mujur juga, kebodohan aku itu tulen dan bukannya dibuat-buat. Kerana itulah, didatangkan pengalaman dan dijelmakan pengetahuan sebagai petunjuk dan ilmu hidup. Semakin rancak masa berpencak, semakin ligat waktu berputar, semakin banyak dan padat isi di dalam kantung.

Tapi aku tetap takut. Takut akan kekhuatiran dan kegusaran yang tidak putus-putus menjadi belenggu
merobek restu keyakinan.

Kerana itulah aku tahu aku tidak akan cukup pandai dan akan jadi bodoh sampai bila-bila.

Ulasan