Pengalaman sempit wang.

Pada suatu hari, tak berapa lama dahulu di waktu gua masih lagi mempunyai pekerjaan yang tetap yakni kais pagi makan petang, kais petang alamat tak makan langsung, gua telah ditemukan dengan sebuah kejadian. Kejadian ini membuahkan gua pengalaman hidup yang berguna kepada mereka-mereka yang masih belum belajar untuk berjimat cermat dalam berbelanja atau beringat-ingat tatkala senang. Maknanya, beringat sebelum kena. Jangan sakit, baru nak mengadah. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Cegah sebelum parah. Atau apa-apa lah yang seangkatan dengan bidalan atau perumpamaan yang di atas.

OK. Ianya bermula begini. ( ...kepul-kepul awan stratus mula muncul di atas benak kepala menandakan flashback sudahpun dimulakan )

Pagi. Awal pagi. Dan gua sudah pun siap mandi dan usai mengenakan pakai seragam gua ke tempat kerja berupa sepasangan jean kedai bundle yang dipadankan dengan jersi pasukan faveret gua. Itu memang sudah jadi tabii sejak beberapa tahun gua start bekerja walhal masa belajar dulu rajin pula gua gosok kemeja dan seluar slack jenama F.O.S. Mungkin kerana sebab gua bukannya kerja gomen. Atau tidak bekerja tempat yang mempunyai pacuan alat penghawa dingin berkuasa tinggi seperti di bank atau di pejabat berstatus pegawai pemasaran. Gua hanya kerja biasa-biasa. Gaji bulanan pun biasa-biasa. Bonus tidak pernah dirasai. Kenaikan pangkat apatah lagi. Mengenakan jeans bundle dan jersi cap negara jiran sudah cukup memadai. Tapi persoalannya, apa kejadahnya gua terlalu awal bersiap siaga dan bersungguh-sungguh pula hendak ke tempat kerja sedangkan di pejabat gua bukannya ada waktu pejabat 9-5 seperti pekerjaan lain? Jawapannya adalah ini. Malam sebelum pagi itu yakni malam semalan gua runsing. Gua runsing dan tak keruan memikirkan masa depan kandungan dompet dalam poket gua yang sudah kering kontang serta kegersangan itu. Baru tak sampai dua minggu peroleh gaji, ghaib hilang entah ke mana RM-RM gua itu.

Ini tak boleh jadi, bentak hati gua sebelum tidur. Gua mesti lakukan sesuatu untuk merubah nasib.

Gua mesti cari lobang-lobang pekerjaan tambahan demi mencari rejeki lebih ekstra untuk kantogan uwang yang melarat tak sudah. Brengsek punya kantongan! Asik-asik kekosongan. Tiba-tiba gua bermonolong dalam bahasa seberang tak pasal-pasal. Harus tegar dan gigih agar nasib dompet gua berubah. Maka berdentam dentumlah ide-ide bernas di kepala mencari ilham-ilham wang sehingga tidak sedar gua telah bersepai dan bertebar berdengkuran hingga dinihari.

Rupa-rupanya, trafik seawal pagi ke tempat kerja lebih bahana dari waktu biasa gua ke tempat kerja. Jarang-jarang tempat kerja gua luar atau jauh dari kawasan tempat tinggal gua. Inilah kerja pertama gua yang terpaksa menggunakan laluan yang lebih jauh dari kerja-kerja terdahulu. Kalau biasa, pukul 9.30 atau 10 pagi baru gua keluar rumah, tak sampai setengah jam gua dah sampai area ofis untuk sarapan pagi. Ini pukul 7 gua keluar kereta, masuk simpang nak ke highway dah macam rusuhan. Gua jadi kagum satu macam. Macamana orang-orang kat KL ni boleh terlalu tahan dan terlampau tabah mengharungi rona-rona kesesakan jalanraya sebegini rupa hari-hari? Tidak hairanlah gua tidak ditakdirkan menjadi perkeja gomen atau pegawai bank. Kalau tidak, sudah pasti gua akan jadi tahan dan tabah seperti mereka juga.

Kancil tanpa pelekat cukai jalan yang gua tunggang itu cermat gua parkir betul-betul di hadapan opis. Rasa best semacam parking kosong. Selalunya gua parkir jauh, depan warung makan makcik hon atau entah, berselerak. Kadang-kadang gua rasa macam malas nak carik parkir. Malas yang jenis kategori tahap rasa macam nak buat keje opis ala drive thru aje.

Panjat tangga naik ke tingkat atas opis, gua dah jangka. Tak sorang pun ada. Hanya gua dan semangat kerja gua yang berkobar-kobar nyala membara bak obor kemuncak sukan olimpik.

Chantekkkks! Boleh gua layar laman klassified dan laman-laman rejeki extra tambahan yang lain tanpa pengetahuan majikan. Tak sampai beberapa minit gua meluncur, gua baru sedar. Zulfadhli ada rupanya ketiduran kat opis di celah-celah sofa itu. Stayback barangkali. Kesian dia. Stayback-stayback pun tak jugak kaya raya. Tak jugak gua nampak dia angkat kereta Saga 1.3 yang dia sibuk gebang-gebangkan tak berapa lama dahulu. Gua sedar dia berlalu di belakang gua tapi gua terlalu sibuk dan serius berikhtiar di depan komputer gua. Lagi pun dia sedang mamai. Gua ada pengalaman tragis dengan manusia-manusia mamai ni. Gerun gua cakap lu. Tak bohong punya.

Selang beberapa minit, gua dah nampak beberapa prospek dan potensi kewangan. Biarpun belum solid namun cukuplah untuk menghadirkan secebis sinar dan kilau RM di masa depan. Usaha eskalator kejayaan.

Tiba-tiba, bahu gua disapa.

" ...gua tau lu tengah sempit wang, "

Gua syukur serta terharu ada juga sahabat-sahabat yang memahami
keadaan gua di saat gua terumbang-ambing.

" Nah. Ambik ni. Ia mungkin dapat membantu. "


Gua ambik selembar kertas yang dihulur Zulfadhli. Curious tak sudah gua jadinya. Kertas itu berlipat dua. Perlahan-lahan gua buka. Penuh debar suspen dan juga penuh harapan. Perasaan di dada menjadi berbunga-bunga.

Titip kertas itu kini terbuka luas di depan mata gua. Di dadanya itu tertulis :


TERDESAK DUIT? SEMPIT WANG? ANDA MEMERLUKAN $*,*** KE **,*** UNTUK KEGUNAAN SEGERA TETAPI TIDAK TAHU BAGAIMANA? BOSAN DENGAN JANJI-JANJI PALSU DI INTERNET MENGENAI PINJAMAN WANG? JIKA YA, JANGAN SUSAH HATI! KAMI SUDI...


Minat membaca gua luntur begitu pantas tiba-tiba. Gua tidak habiskan bacaam sebab dengan tidak semena-mena, satu jelmaan perasaan yang sangat berkuasa datang dengan tidak diduga.

Perasaan hendak stunner sepasang bahu rapuh serta mencangkuk trakea sekeras-kerasnya bercampur serakah nafsu untuk menumbuk tulang rusuk menggunakan siku kanan dan kiri dengan bersilih ganti manakala lutut pula hendak di sauk pada bahagian bawah dagu sambil menghentak tengkorak kepala gua ke tempurung kepala orang itu hingga tersiat kulit berderai bercebis-cebis kecil berlumuran darah pekat ke lantai.


Mujur gua belum sarapan pagi. Jadi, otomatik zahir gua tidak cukup energy dan tenaga. Kena pula gua tergolong insan sabar dan teguh iman di pagi-pagi indah begini.

Dari jauh lagi gua sudah nampak Zulfadhli mengekek-ngekek di hadapan meja komputernya sambil cuba dikontrol-kontrol.

*&%$#@.


Nak jadi Raja Lawak la tu konon.

.

Ulasan