Maradona pun reti berenti makan nasi lepas waktu tengah malam, inikan pula Halim Napi... ( pepatah bolasepak lama ).

Dalam keghairahan menghadiri dan membaham makanan di upacara-upacara open haus di hujung-hujung musim raya begini, kesihatan dan sahsiah rupa bentuk diri haruslah dijaga. Ini untuk mengelakkan kita daripada mudah menjadi tidak fit ketika membuat aktiviti harian dan menjadi mangsa kepada takungan bahan lebihan di dalam perut serta sudut-sudut tubuh yang lain. Rugilah kalau dah kurangkan berat badan, bakar kandungan lemak dan diet sepanjang puasa, tiba-tiba badan lu naik balik mencanak gara-gara terlalu rakus membaham makanan kat open haus . Pendek kata, janganlah hingga memboroi semula.

Dengan kerana itu, gua telah mendapat jemputan mengejut dari kaki-kaki bekas pasukan kelab bolasepak kejiranan gua dahulu. Ianya didalangi oleh Asrul Rongi, seorang jejaka Jawa peranakan Kelantan. Asrul Rongi telah memanggil hampir kesemua pemain-pemain yang pernah beraksi bersama kelab bolasepak itu suatu masa dahulu berserta beberapa muka baru. Antaranya adalah Abu Hanifah, Bijan, Lopes, Ali Kutik, Faizal Rally dan lain-lain lagi. Budak baru pula adalah seperti Pian Lebai, Daud, Safee Sali, Irwansyah, Suhaimi dan sapa entah yang gua tak ingat namanya. Walaupun Asrul undang punya ramai player, yang datang tak sampai separuh. Faizal Rally tarik diri last minit bersama konco-konconya sebab sibuk menghadirkan diri ke open haus. Mungkin bagi dia open haus adalah lebih penting dari semangat kesukanan. Lagipun, open haus sampai pukul berapa lu nak lepak dengan budak-budak lu tu??! Tuan rumah tu pun gua saspek dah nyampah tengok muka lu melepek kat sana lama-lama. Yang lain gua tak dapat kesan apa sebab tak datang. Akhirnya, main cukup-cukup kaki aje. Mujur tak semua pancit walaupun dah lama tak beraksi bersama. Cuma gua nampak Lopes pura-pura keluar padang tak sampai berapa minit main konon nak beli air dengan alasan kononnya tadi makan tak minum. Walhal mulut dah macam ikan gapi kurang oksigen tak kena rokok. Pian Lebai pula kelihatan tidak berapa konsentrasi di awal saingan akibat curi-curi pandang team makwe court sebelah. Dia ingat gua tak perasan.

Abis game, kami sepakat untuk jadikan team yang dikumpulkan semula setelah sekian lama ini sebagai team bolasepak terkini kami. Ya, kami sudah kembali. Kalau Erik Larsen dan Halim Napi boleh, kami pun boleh. Dan gua telah diberi tugas untuk merekrut lagi kaki-kaki yang lain. Dalam kepala dah ada beberapa listing, cuma hari ni gua sekadar nak test market bersama Asrul Rongi dan ajk-ajk lain. Maka kami pun ke mapley yang terletak di bandar Sunway bernama mapley Sri Bidara Sunway. Tapi mapley ni hampeh sikit. Lopes punya kepala la ni. Orang semua tengah rancak layan game pusingan kelayakan Piala Dunia England lawan Ukraine, dia sibuk ajak pegi pot yang tunjuk dvd cerita GI Joe. Lopes, Lopes... hati kau keras Lopes.

Jawatan dan tugasan telah diagih-agihkan samarata. Ada yang jadi pengurus perlawanan, ada yang jadi pelatih kecergasan, ada yang jadi biro air, ketua kumpulan sorak dan macam-macam lagi jawatan yang berbisa juga. Cuma gua tak sempat dan terlupa nak luahkan pada minit mesyuarat yang bertempat kat mapley Sri Bidara Sunway tadi tentang apa nama yang enak gua nak bubuh untuk team ni, soal displin, pemakaian pemain dan diet selepas game.

Kenapa Lopes dengan Asrul boleh dressing macam nak gi mancing dekat kelong dan kenapa lepas game kita mesti order makanan macam menu nak makan tengahari?

Perkara ini akan gua bawa ke minit mesyuarat akan datang. Perkara ini sungguh sangat serius, ujar gua dalam hati sambil berusaha menghabiskan maggi sup dan nasik goreng secara berturut-turut dan layan GI Joe.

Ulasan