Raya yang tiada galang ganti hari-harinya.

Seminggu raya sudah berlalu.

Pada bila-bila masa sepanjang kita semua meraikan hari raya ini, gua yakin ini adalah masa yang paling terbaik dan paling tersesuai untuk kunjung-mengunjung ke rumah kawan-kawan dan sedara-mara sama ada diadakan rumah terbuka ataupun tidak. Kita semua boleh pergi ke rumah kawan yang ingin diziarahi atas sebab hari raya dan selalunya di masa hari raya inilah, rumah kawan-kawan dan sedara-mara akan menjadi sasaran terutamanya kalau diadakan majlis rumah terbuka.

Lama tak jumpa untuk bertanya khabar atau lama tak jumpa sebab takde benda dan sebab nak jumpa hari-hari pada hari biasa.

Ada pula sesetengah orang tu pulak, dia tak suka jalan rumah kawan atau sedara-mara malah lebih dia suka kalau orang datang ke rumahnya sahaja. Tidak pasti sama ada sebab dia malas nak gosok baju atau bawak kereta atau tak best nak jalan jauh. Cumanya dia memang jenis yang macam tu. Kalau orang datang rumah dia, dia bukan main lagi seronok. Tak kisahlah. Janji masih ada semangat dan jiwa untuk berjumpa dan bertemu sapa.

Tidak lupa juga kategori yang datang ke rumah tapi memang tak kenal langsung sapa tuan rumah. Kategori ini selalunya jatuh pada budak-budak kecik yang datang secara grouping atau berkumpulan atau berpuak-puak. Pendek kata, berkroni-kronilah mereka walaupun masih dibangku sekolah lagi. Biasanya, modus operandi diorang hanya datang dan mengumpul duit raya. Ini dilakukan oleh gua semasa rajin berjalan di kampung semasa kecil dahulu. Sekarang pun ada juga budak-budak buat, cuma kalau kat bandar ni gua tak berapa nak paham perangai orang-orang bandar(bukan semua). Ada itu hari gua kesian dengar budak-budak ni mengadu cerita kat gua diorang selalu kena halau sebab nak beraya. Kot ye pun dah tau budak-budak ni memang datang nak collect duit, jangan la sampai dihalau begitu sekali. Tau le deme tu banyak duit. Tak luak pun kalau bersedekah jariah barang sesen dua. Tapi sapalah gua nak bagi nasihat sebab gua pun bukannya ustad sangat pun. Gua cuma berkongsi pengalaman.

Sesetengah kawan-kawan atau sedara-mara sungguh jujur dan ikhlas bercerita dan meluah perasaann time raya. Mereka lebih mudah menjadi jujur dan lebih terjurus ke arah luahan-luahan peribadi di waktu-waktu begini. Deria gua jadi lebih peka kerana tatkala mereka berkongsi, maka tercerminlah segala yang kita tidak pernah terlihat dan tergambar sebelum ini. Kadang-kadang ada cerita yang terlalu peribadi sehingga mengejutkan dan menggegarkan fahaman zahir dan batin gua. No wonder, orang membubuh kalimah ucap ‘Maaf Zahir dan Batin’ semasa berutus salam semasa ingin ‘menSelamatkan hari raya’.

Dia bercerita tentang si dia. Yang itu mengadu tentang yang ini. Yang di sana bercakap tentang yang di sini. Yang atas turun ke bawah. Yang bawah naik ke atas. Yang kiri nak ke kanan. Yang kanan nak ke kiri. Yang diam, diam juga.

Makin larut dan dalam, makin tersebar dan terserlah segala. Terungkai rantaian rahsia, sedar tak sedar, manusia memang makhluk jujur dan ikhlas. Bukan hanya kerana kita semua rumpunan bangsa terdidik nilai sensitif dan sentimen, tetapi ramah kita ramah bertaji.

Gua hanya mampu dengar dan tolong-tolong nasihat mana yang termampu boleh.

Sama-samalah kita usaha, ikhtiar dan tawakal untuk mendapatkan yang baik-baik. Sapa yang nak jadi jahat, ye tak? Gua tahu masih ada yang lebih susah, lebih menderita dan lebih sengsara dari apa yang menimpa kita sekarang. Kita wajar bersyukur pada kuih samperit, ketupat palas, rendang ayam dan mercun pop-pop yang masih boleh kita nikmati secara bebas, terbuka dan tanpa sekatan.

Sendunya pula rasa bila sedar ada terlalu banyak janji-janji gua yang harus dilunaskan pada kawan-kawan, sedara-mara dan keluarga-keluarga gua semasa sessi luah-meluah itu. Dan gua sedar janji itu akan tetap datang tidak kira hari raya ataupun bukan. Ya, kami juga berkongsi gelak dan tawa, lucu dan jenaka. Kami juga bergembira-gembira dan bersuka-suka hati. Tapi bila datang kesedaran bahawasanya hidup ini penuh dengan ‘hutang-hutang’ yang belum langsai, manusia akan tetap manusialah jua. Manusia seperti gua yang mudah lupa diri dan sangat jarang berfikir apa yang sudah, sedang dan bakal berlaku. Mungkin gua terlalu sakan ‘beraya’ sebelum raya atau sesudah raya menjelang.

(Jelang? Apa itu jelang??)

Seminggu raya sudah berlalu. Sekali lagi cepat betul semuanya berjalan(berlari?). Ada kawan dan sedara yang sempat gua jumpa bercerita tentang hidup dan masing-masing. Bercerita tentang nasib. Bercerita tentang rezeki. Bercerita tentang petaka dan derita. Bercerita tentang dulu dan sekarang. Bercerita tentang perubahan. Bercerita tentang gua, tentang lu, tentang kita, tentang dia dan tentang semua yang tidak sudah-sudah bercerita tentang cerita-cerita yang akan terus menerus mengisi cerita kita sehari-hari yang mustahil bergerak tanpa cerita-cerita untuk dikongsi, untuk diluah dan untuk dirasa bersama-sama.


p/s: Di negara ini, keraikan rayanya adalah 30 hari bersamaan sebulan, setanding puasa yang sebulan. Itu popular belief.

Ulasan